Menurut pengkaji, anak sulung memiliki karakter tertentu dan banyak persamaannya dengan anak tunggal. Mereka ini lebih cepat belajar berbanding adik-beradik lain dan cenderung memiliki skor yang tinggi dari segi akademik.
5 Sebab Anak Sulung Digelar Paling Pintar Dalam Keluarga
Berikut adalah antara fakta anak tunggal dan anak sulung yang sering dikaitkan dengan ciri kepintaran tersebut.
1. Selesa Membuat Keputusan
Dalam kebanyakan hal, anak sulung dan anak tunggal sering dianggap pentingkan diri, tak memikirkan perasaan orang lain, dan hanya akan bertindak mengikut ‘kepala’ sendiri.
Tapi sebenarnya, mereka selesa membuat keputusan dan memiliki rasa tanggungjawab yang lebih tinggi berbanding anak kedua, ketiga, dan anak anak bongsu. Sifat ini banyak membantu mereka membuat pilihan yang baik untuk kejayaan masa depan mereka.
2. Percaya Diri
Menurut Psychology Today, tidak dinafikan bahawa anak tunggal dan anak sulung secara semulajadinya selesa untuk bersendiri. Mereka memiliki hubungan dalaman yang lebih kuat dalam diri mereka. Sebelum kehadiran adik-adik, hubungan inilah yang sebenarnya membantu mereka menangani rasa sunyi.
Secara tidak langsung, ini membina rasa percaya diri yang kuat seawal usia.

Foto Kredit: rd.com
3. IQ Yang Tinggi
Dari segi IQ, anak tunggal dan anak sulung sering dilihat mempunyai skor yang tinggi. Mereka lebih cepat belajar bercakap daripada orang dewasa kerana tidak dipengaruhi oleh persekitaran yang dikelilingi kanak-kanak lain.
Di samping itu, sebuah kajian yang dilaporkan oleh Daily Mail pula, imbasan MRI pada otak mendapati anak tunggal memiliki grey matter yang lebih besar pada supramarginal gyrus, iaitu bahagian otak yang dikaitkan dengan kreativiti dan berfikir di luar kotak.

Foto Kredit: leiturainfantil.com.br
4. Mereka Mudah Tertekan
Percayakah anda, walaupun mempunyai semua kelebihan dari segi kebolehan otak, mereka cenderung untuk berasa tertekan dan ‘perlu’ untuk berjaya dalam hampir kesemua perkara sungguhpun tidak pernah dipaksa oleh kedua ibu bapa mereka!
Namun, mungkin sifat inilah juga yang mendorong mereka untuk lebih maju dan maju lagi.
5. Berfikiran Lebih Matang Berbanding Usia Mereka
Banyak kajian yang menyokong bahawa anak tunggal dan anak sulung mempunyai sifat yang lebih matang kerana mereka dibesarkan dalam lingkungan orang dewasa. Pada usia yang kecil, mereka selesa berkomunikasi dengan orang dewasa dan ia adalah salah satu faktor yang menjadikan mereka lebih cepat belajar berkomunikasi.
Secara tidak langsung, mereka lebih terdorong meniru sifat orang dewasa dan menjadi seorang yang berdikari.
Maka, dari situlah sifat kepimpinan mereka terserlah.
Setiap Anak Adalah Unik
Toni Falbo, seorang pakar psikologi menegaskan bahawa kita tidak sepatutnya melabelkan anak-anak dengan stereotaip yang biasa kita dengar. Apa yang penting, kita perlu melihat mereka semuanya sebagai anak kecil yang memerlukan kasih sayang dan didikan sepertimana semua anak yang lain.
Tidak kiralah anak tunggal, anak sulung, anak bongsu, atau ke berapa pun dalam keluarga, setiap daripada mereka ini adalah unik dan istimewa!