Asuh

10 Ayat Magik Ini Akan Buat Anak Anda Bertenang & Berhenti Menangis

11K
SHARES

“Pening kepala tengok anak suka menangis ni. Kita penat-penat balik kerja, dia pula nak buat perangai. Cakap elok-elok dia buat tak peduli, karang aku menjerit lagi teruk jadinya.”

Ada masanya kesabaran ibu bapa juga ada hadnya, apatah lagi anak kecil yang belum pandai mengawal emosi. Kadangkala, anak kecil bukannya sengaja mahu menangis dan menjerit-jerit. Tetapi, mereka tidak mampu mengawal emosi yang sedang bergelora. Pada kebanyakan masa, mereka sendiri tidak pasti dengan apa yang mereka rasakan.

Menurut ahli paediatrik, emosi anak kecil semasa bayi adalah mudah. Mereka gembira, marah, atau sedih. Namun, setelah anak semakin meningkat usia ‘toddler’ iaitu sekitar 2-4 tahun, pelbagai emosi sudah mula dirasai buat pertama kalinya. Contohnya seperti perasaan bangga, bersalah, malu, geram, kecewa, gagal, dan sebagainya. Ternyata, ia sebenarnya lebih kompleks daripada apa yang anda fikirkan!

Anak dengar cakap

Foto Kredit: special-ism.com

10 Ayat Magik Yang Boleh Buat Anak Anda Bertenang

Berikut adalah 10 ayat yang perlu diperbetulkan untuk menenangkan anak suka menangis atau yang sedang marah.

1. Jangan cakap: “Ssshhh. Diam!”

Cuba ini: “Mama ada kat sini. Mama kan sayang kamu. Tak payah susah hati lagi ya.” 

Tahukah anda, semasa anak-anak ‘buat perangai’ atau mengamuk, tubuh badan mereka mengalami respon stres di mana mereka berasa kurang selamat atas sebab-sebab yang mereka sendiri kurang pasti.

Dengan memberitahu anak bahawa mereka disayangi dan selamat di samping anda, ia tentu akan dapat membantu mereka untuk mengatasi emosi tersebut dengan baik.

2. Jangan cakap: “Kenapa kamu ni asyik nak mengamuk tak tentu pasal?”

Cuba ini: “Jom kita cuba kira 1 sampai 10 sama-sama. Lepas itu kamu boleh beritahu Papa apa yang berlaku.”

Mungkin anda pernah dengar bahawa ini merupakan sebuah teknik mengawal emosi yang telah dipraktikkan sejak bertahun-tahun lamanya. Menurut ahli psikiatrik melalui WebMD, 2 elemen utama yang membantu anak suka menangis dan mengamuk untuk mengawal emosi adalah – menangguhkan masa dan mengalihkan perhatian.

Dengan cara ini juga, ‘tenaga’ seseorang yang terkumpul akan terlepas secara perlahan-lahan.

anak terlalu aktif

Foto Kredit: momjunction.com

3. Jangan cakap: “Janganlah buat macam ni depan orang ramai. Memalukan!”

Cuba ini: “Mari kita cuba cari tempat yang lebih tenang.”

Ingat. Yang sedang dilanda emosi adalah anak, bukannya kita. Jadi, betulkan fokus kita untuk membantu mereka.

Maka, tak sepatutnya kita melibatkan emosi kita dalam hal ini. Apatah lagi menambah lagi ‘rasa bersalah’ anak dengan memarahi mereka di hadapan orang ramai. Silap hari bulan, makin teruk mereka meraung.

4. Jangan cakap: “Kenapa pukul Adik tu, dia kan kecil lagi!”

Cuba ini: “Kamu boleh menangis atau marah, tapi Mama tak boleh biarkan kamu cederakan sesiapa ya.”

Mesej yang anda cuba sampaikan adalah mereka boleh menunjukkan emosi, tetapi mesti mengawal tindakan.

Ini akan membantu mereka untuk meluahkan perasaan, tetapi pada masa yang sama mengawal tindak-tanduk yang dilakukan.

7 Cara Elak Anak Bergaduh. Cuba Petua & Tips Mudah Ini!

Foto Kredit: faithfulchoices.com

5. Jangan cakap: “Kenapa baling mainan? Kutip balik!”

Cuba ini: “Kalau Adik baling mainan, Mama rasa Adik tak suka bermain dengannya lagi. Betulkah begitu?”

Melalui teknik ini, anda bukan saja cuba memulakan perbualan dengan anak, tetapi anda juga cuba memberitahu apa yang anda rasakan.

Perbualan seperti ini akan memberi peluang kepada anak untuk meluahkan pendapat mereka dan memberitahu apa yang sebenarnya membuatkan mereka tidak puas hati.

6. Jangan cakap: “Kamu kan dah besar, janganlah menangis lagi!”

Cuba ini: “Mama dan Papa pun kadang-kadang rasa sedih dan marah. Sabar ya, sekejap lagi kamu akan OK.”

Memberitahu anak bahawa mereka perlu menyembunyikan perasaan mereka apabila mereka semakin besar adalah salah. Padahal, semakin seseorang dewasa, semakin besar masalah yang mereka akan hadapi.

Dengan memberitahu mereka bahawa anda juga kadangkala berperasaan seperti mereka, sedikit sebanyak menunjukkan bahawa anda sedang cuba memahami perasaan mereka. Ia juga membantu anak untuk berasa selesa dengan diri sendiri.

anak suka menangis

Foto Kredit: parenting.com

7. Jangan cakap: “Kalau kamu tak berhenti menangis, Papa tak nak bawa kamu keluar jalan-jalan petang ini.”

Cuba ini: “Tak perlulah bersedih lagi, kita kan nak keluar jalan-jalan petang ini.”

Kesilapan yang kita biasa lakukan adalah mengugut anak dengan sesuatu perkara yang mereka suka. Menurut laman web Psychology Today, walaupun pada awalnya nampak berkesan, tetapi sebenarnya anak anda lebih bijak daripada apa yang anda sangkakan.

Bukan itu saja, jika kita tidak konsisten terhadap apa yang kita ugutkan, mungkin anak akan cepat melabel kita sebagai ‘penipu’ dan ibu bapa mungkin terpaksa memikirkan muslihat lain untuk mengugut mereka. Dalam jangka masa panjang, hubungan dan keakraban boleh terjejas kerana anak-anak sukar mempercayai ibu bapa lagi.

8. Jangan cakap: “Sudah! Pergi mandi sekarang!”

Cuba ini: “Kamu nak bawa Elmo atau Bear untuk mandi bersama?”

Dalam kebanyakan masa, anak suka menangis sebagai salah satu tanda protes dan cara mereka mahu mengawal situasi tersebut.

Dengan memberi pilihan, anda membantu anak untuk mengalirkan tenaga tersebut dan sekaligus memberi mereka peluang untuk ‘mengawal’ satu-satu keadaan.

perkembangan anak 2 tahun

Foto Kredit: romper.com

9. Jangan cakap: “Mama takkan layan kamu sampailah kamu berhenti menangis.”

Cuba ini: “Mama akan duduk di sini sampailah kamu bersedia untuk peluk Mama.”

Semasa anak kecil sedang memberontak, penting untuk kita memberi mesej kepada anak bahawa kita akan sentiasa ada dengan mereka walau apa pun yang terjadi kerana perasaan mereka sebenarnya sedang goyah.

Kita boleh beri mereka ruang sebentar untuk bersendiri, tapi jangan terus ‘memulaukan’ mereka. Ini kerana, emosi mereka mungkin akan berasa lebih terganggu kerana mereka masih belum dapat berfikir tentang sebab-akibat secara matang.

10. Jangan cakap: “Kamu ni memang keras kepala, menangislah puas-puas!”

Cuba ini: “Nampaknya hari ini serba tak kena bagi kamu. Penat ya? Apa kata kita cuba tarik nafas sama-sama.”

Sebolehnya, jangan melabelkan anak sebagai malas, degil, atau apa saja perlakuan negatif. Sebaliknya, tekankan pada emosi mereka dan cuba bantu mereka mengatasinya dengan lebih tenang.

Kalau kita rasa dah tak boleh sabar dengan mereka lagi, cuba berhenti daripada bercakap kerana kita mungkin akan mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Oleh itu, menarik nafas sedalam-dalamnya dapat membantu anda berdua untuk berasa lebih tenang.

Foto Kredit: undepress.net

Foto Kredit: undepress.net

Anak Akan Mencontohi Perbuatan Kita

Percayalah bahawa anak suka menangis itu bukanlah semata-mata mahu ‘membuat perangai’ atau menyusahkan anda. Tetapi, mereka sebenarnya sedang cuba untuk belajar mengenal pelbagai jenis perasaan dan menanganinya.

Oleh itu, kitalah yang menjadi contoh terdekat kepada mereka. Selagi kita tak mampu mengawal emosi, tentu sukar untuk anak-anak turut berbuat demikian, bukan?

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×