2-4 Tahun

8 Perkara Baru Yang Akan Berlaku Pada Anak 2 Tahun. Bersedia Ya!

16.5K
SHARES

“Sejak anak aku masuk umur 2 tahun ni, lain macam pula perangai dia. Memang seronok tengok dia dah pandai macam-macam. Tapi tak menang tangan pula nak melayan. Lagi-lagi kalau kena ‘time’ dia meragam. Memang beginikah perkembangan anak 2 tahun yang normal?”

Sedar tak sedar, bayi anda yang kerap anda dukung dan belai kini sudah menginjak usia 2 tahun. Tahukah anda, usia 2 tahun ini amat signifikan bagi perkembangan anak kerana dalam tempoh ini, mereka sedang beralih daripada fasa bayi kepada anak kecil (toddler). 

Menurut ahli paediatrik, Dr Greene, walaupun ramai yang mengaitkan fasa ini sebagai ‘terrible two’, beliau lebih suka menggelarnya sebagai ‘peringkat keremajaan pertama’. Tempoh ini pada umumnya akan bermula pada sekitar usia 1 setengah tahun hingga 3 tahun. Seperti remaja, perkembangan anak 2 tahun ini tentunya mengujakan, namun ada kalanya mengelirukan, mencabar, dan mengejutkan.

Oleh itu, bersedia ya!

hantara anak ke taska

Foto Kredit: parents.com

8 Perkara Baru Yang Akan Berlaku Dalam Perkembangan Anak 2 Tahun

Berikut adalah beberapa perkara baru yang akan berlaku sekitar perkembangan anak 2 tahun, iaitu fasa ‘keremajaan’ si kecil.

1. Anak Lebih Aktif

Dalam tempoh ini, anak kecil biasanya sudah boleh berjalan. Bila dah dapat ‘kaki’, memang panjanglah langkah mereka. Ada saja yang ingin dilakukan oleh mereka. Kalau duduk sendirian dalam diam, percayalah ada saja idea mereka untuk ‘mengemas’ atau menerokai sesuatu perkara yang baru.

Ini sebenarnya petanda yang baik kerana otak dan deria mereka sedang giat memproses pelbagai maklumat tentang dunia di sekeliling mereka. Jadi, jangan lupa meluangkan masa dengan mereka dan layanlah karenah mereka yang sedang bersemangat ini!

bayi cepat berjalan

Foto Kredit: collegehumor.com

2. Anak Suka Meniru

Jangan ingat anak 2 tahun tak tahu apa-apa. Mereka sebenarnya mempunyai sepasang mata yang sentiasa memerhatikan dan meniru gerak-geri orang di sekelilingnya. Walaubagaimanapun, mereka masih belum mencapai kematangan atau ‘mumaiyiz’ untuk menilai baik dan buruk sesuatu perbuatan.

Oleh itu, kita harus berhati-hati dengan segala perkataan dan perlakuan di depan anak kecil ini kerana mereka mudah sekali meniru apa yang dilakukan tanpa mengetahui akibatnya. Sebagai ibu bapa, tentulah kita yang menjadi contoh ikutan terdekat oleh anak-anak.

anak islam ibu

3. Anak Mahu Belajar Buat Sesuatu Dengan Sendiri

Dalam tempoh ini, anak-anak juga sedang ‘berperang’ dengan emosi sendiri antara kebergantungan terhadap ibu bapa dan keinginan mereka untuk membuat sesuatu dengan sendirinya. Maka, mungkin sekejap mereka mahu perhatian kita, tetapi tiba-tiba mereka mahu bersendirian dan mahu menjauhkan diri pula.

Apabila mereka cuba membuat sesuatu seperti menyuap makanan, mengambil permainan, memanjat, atau bermain bola, berilah galakan kepada mereka. Mungkin ada masanya mereka akan menangis kerana tidak mampu melakukan sesuatu yang diingini oleh sebab keterbatasan kemahiran yang dimiliki. Namun, ini adalah peluang belajar yang sangat bernilai buat mereka.

perkembangan anak 2 tahun

Foto Kredit: kidspot.com.au

4. Ada Bahasa ‘Rahsia’

Tempoh 2 tahun adalah tempoh di mana kebanyakan anak kecil sedang mula belajar bercakap. Segelintir anak-anak kecil memang petah dan laju menuturkan kata, namun sebahagian lagi lebih perlahan dan selalu tersasul. Menurut BabyCenter, apabila mencecah usia 2 tahun, seorang anak biasanya berkebolehan menggunakan 50-75 perkataan. Mereka boleh membuat ayat ringkas dengan menggunakan 2-3 perkataan seperti “Papa main bola” atau “Nak susu”.

Sebagai ibu bapa, jangan ketawakan mereka jika mereka tersalah sebut atau ‘pelat’ semasa bertutur. Hal ini mungkin akan menyebabkan mereka berasa rendah diri dan kurang yakin untuk mempelajari sesuatu perkataan baru. Di samping itu, ibu bapa juga tidak digalakkan mengajuk atau bercakap ‘bahasa bayi’ walaupun ketika mereka masih bayi. Ini kerana, ia boleh mengelirukan dan mengganggu perkembangan bahasa atau kosa kata (vocabulary) anak-anak.

Foto kredit : babycentre.co.uk

Foto kredit : babycentre.co.uk

5. Menunjukkan Minat Untuk Berkawan

Jika sebelum ini bayi anda kelihatan suka ‘berkepit’ dan kurang mesra, kini anak-anak biasanya sudah mula untuk memulakan persahabatan dengan anak-anak lain. Mereka teruja melihat anak-anak seusia mereka dan cepat berinteraksi dengan orang sekeliling.

Namun, jika anak anda seorang yang pemalu, jangan pula memaksa mereka untuk bermesra dengan orang lain. Sebaliknya, beri masa kepada mereka untuk memahami situasi tersebut. Mungkin anda boleh mula berbual-bual dengan anak kecil itu untuk memperlihatkan bagaimana caranya bersosial dengan orang baru. Apabila mereka nampak perbuatan tersebut selamat dan menyeronokkan, barulah mereka akan mencontohinya.

Foto Kredit : e-mahd.com

Foto Kredit : e-mahd.com

6. Mereka Suka Menyanyi

Dalam usia ini, anda tentu akan berasa sedikit ‘tepu’ dengan lagu-lagu dan nyanyian anak anda. Sampai terngiang-ngiang di dalam kepala!

Perkembangan anak 2 tahun sebenarnya amat menakjubkan kerana mereka memiliki daya ingatan yang luar biasa. Mereka boleh mengingat lagu dan kata-kata yang sering didengar, walau belum dapat mengucapkannya dengan sempurna. Oh ya, ini juga adalah tempoh yang baik untuk mendedahkan mereka kepada pelbagai bacaan doa, surah-surah pendek atau zikir-zikir ringkas.

Foto Kredit: imujer.com

Foto Kredit: imujer.com

7. Mereka Amat Kelakar!

Oleh kerana tempoh ini mereka mula belajar mengekspresikan perasaan dan fikirannya dengan lebih baik, ada masanya mereka tidak sengaja membuat aksi dan gaya yang sangat lucu. Ada yang suka mengajuk cara orang tua bercakap, ada yang suka meniru aksi kartun, dan ada yang suka bertanyakan hal yang tak terfikir dek akal.

Jadi, tak hairanlah dalam fasa ini, ramai ibu bapa yang mudah terhibur dan letih melayankan gelagat anak yang bermacam ragam. Ia tentunya menjadi saat istimewa yang akan dikenang seumur hidup!

Foto Kredit: ihappymama.ru

Foto Kredit: ihappymama.ru

8. Sensitif Dan Emosional

Sungguhpun kebanyakan masanya mereka ceria dan gembira, ada masanya mereka akan mula menjadi ‘keras kepala’ dan cepat saja bertukar fikiran. Menurut MayoClinic, ini adalah selari dengan perkembangan anak 2 tahun yang melibatkan peningkatan daya motorik, sosial, emosional, dan intelektual secara major.

Sebenarnya, dalam fasa ini juga, anak menjadi lebih sensitif dan mula mempunyai keinginan untuk menggembirakan anda. Mereka mahu menjadi anak yang baik, mereka mahu menolong, dan mereka bukannya sengaja mahu membuat anda pening kepala! Mereka juga sering keliru dengan emosi sendiri. Oleh itu, konsistensi dalam merespon terhadap tindakan mereka dan rutin dalam kehidupan seharian sedikit sebanyak mampu membantu anak anda mempelajari tentang cara mengawal emosi yang ‘besar’ itu.

perkembangan anak 2 tahun

Foto Kredit: metro.co.uk

Kita Juga Banyak Belajar Daripada Mereka, Bukan?

Memang sesuatu yang normal untuk diselubungi dengan rumah yang bersepah, emosi anak yang sering berubah, dan tenaga mereka yang tak pernah habis. Sebab itu, tidak hairanlah apabila mereka semakin aktif dan memasuki zaman ‘keremajaan’ ini, kita juga akan terasa letih dan ‘tua’.

Walaupun ia adalah fasa yang mencabar, jangan cepat marah kerana mereka sebenarnya sedang belajar. Malah, jika diperhatikan, banyak juga perkara yang kita dapat belajar daripada mereka. Dan inilah juga sumber kekuatan dan semangat kita untuk bangkit dan berjuang setiap hari!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×