Didik

5 Cara Meredakan Marah Pada Anak Kecil

13.3K
SHARES

“Aduh… Kenapa kamu buat macam ni? Kan mama dah kata jangan! Papa pun dah banyak kali pesan tak mau buat macam tu! Tak faham bahasa ke? Degil betul kamu ni! Siapa yang nak kemas semua ni? Dah, pergi masuk bilik!”

Anda biasa dengar dialog sebegini? Kata-kata jeritan tersebut cukup sinonim dengan masyarakat kita masa kini, bukan? Pantang anak kecil buat salah sedikit, pasti anak tersebut akan dimarahi. Sekiranya setiap hari anak buat silap, setiap hari jugalah anak perlu menghadapi kemarahan ibu bapa yang tidak berkesudahan ini.

Tetapi, tahukah anda bahawa dengan menjerit kepada anak ketika marah boleh mendatangkan kesan negatif terhadap anak?

Foto Kredit : parintitandem.ro

Foto Kredit : parintitandem.ro

KESAN MEMARAHI ANAK KECIL

Sesiapa pun tidak suka dimarahi, baik kita sebagai sebagai orang dewasa mahupun anak. Ini kerana, kemarahan merupakan emosi negatif yang mendatangkan banyak kesan buruk tanpa disedari.

Menurut Dr. Norharlina Bahar, Pakar Perunding Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja di salah sebuah hospital tempatan, jeritan kemarahan ibu bapa sebagai orang yang paling rapat dengan anak akan menakutkan anak kecil itu. Anak kecil yang dimarahi ibu bapa akan berasa keliru dengan reaksi ibu bapa yang kadang kala mesra dan kadang kala marah kepada mereka. Anak tidak dapat menangkap apa yang disampaikan oleh ibu bapa ketika dimarahi sekaligus tidak tahu kesalahan yang dilakukan dan akan menyalahkan diri sendiri kerana menyebabkan ibu atau bapanya marah.

Selain itu, perbuatan menjerit kepada anak kecil ketika marah akan mengganggu perkembangan emosi anak, membuatkan mereka kurang keyakinan diri, berasa rendah diri, ragu-ragu dengan kebolehan diri dan tidak berasa selamat untuk meneroka keadaan sekeliling. Dikhuatiri juga, anak akan turut menjerit kepada adik-beradik lain atau kawan-kawan mereka sekiranya berasa marah kerana dibesarkan dalam suasana jeritan ibu bapa yang kerap kali memarahi mereka.

Justeru, kita sebagai ibu bapa seharusnya berfikir terlebih dahulu sebelum mula menjerit memarahi anak kecil atas apa-apa sebab sekali pun.

Foto Kredit : dawnnews.tv

Foto Kredit : dawnnews.tv

SEBELUM MARAH ANAK KECIL, INGAT 5 PERKARA INI

Perasaan marah adalah normal bagi manusia biasa seperti kita semua. Namun, sudah tiba masanya untuk ibu bapa berfikiran lebih rasional sebelum bertindak menjerit kepada anak ketika dalam keadaan marah.

Mari amati dan sematkan 5 perkara ini di hati agar sentiasa kita ingati sebelum memarahi anak. Semoga bermanfaat!

1. ANAK AMANAH ALLAH

Bagi pasangan yang telah berkahwin, berita kehamilan dan kelahiran anak adalah sesuatu yang cukup menggembirakan serta tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Bersyukurlah bagi kita yang dikurniakan zuriat di kala ramai lagi ibu bapa yang masih lagi menantikan kehadiran si comel dalam kehidupan mereka.

Anak adalah kurniaan Allah yang sangat bernilai dan hendaklah dijaga serta dididik dengan sebaik-baiknya, bukan diherdik ketika kemarahan membara.

anak

Foto Kredit : mutluevim.org

2. KITA TIDAK SEMPURNA

Kita semua adalah individu yang tidak sempurna dan tidak akan pernah lari daripada membuat kesilapan. Begitu juga dengan anak kita. Anak kecil perlu lebih banyak belajar dalam kehidupan seharian mereka dan dalam proses pembelajaran ini, sudah tentu mereka akan melakukan kesilapan demi kesilapan. Usah dimarahi anak kecil ini kerana mereka sebenarnya sedang belajar daripada kesilapan. Belajar tentang apa yang baik dan apa yang tidak baik, serta tentang perkara yang salah dan juga yang betul. Maafkanlah mereka atas ketidaksempurnaan dan kesilapan mereka itu.

Walaupun ibu bapa dan anak tidak akan mencapai kesempurnaan dalam hidup ini, teruskan berusaha untuk memperbaiki diri kita dan anak bagi menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

Foto Kredit : filori.net

Foto Kredit : filori.net

3. KASIHANI MEREKA

Bayangkan jika kita berada di tempat anak, sering kali ditengking ibu bapa, acap kali dimarahi dengan jeritan, apa perasaan kita? Sudah pasti emosi kita akan terganggu. Kita akan dibelenggu perasaan sedih dan berasa tidak lagi disayangi oleh ibu bapa. Begitulah juga perasaan anak ketika menghadapi jeritan kita yang sedang marah.

Kasihanilah anak kecil itu. Mereka sangat memerlukan bimbingan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi daripada kita dalam mengenal erti kehidupan ini, bukan dimarahi selalu.

Foto Kredit : tesetturgiyim.com

Foto Kredit : tesetturgiyim.com

4. INGAT KEGEMBIRAAN ANAK

Masih ingatkah lagi kita gelak tawa anak tatkala jiwanya dilimpahi perasaan gembira? Ianya cukup membuatkan kita bahagia dan terhibur. Maka, wajarkah disebabkan kesilapan kecil yang dilakukan oleh anak, kita lantas memarahi mereka sehingga terlupa akan kelebihan mereka, perkara baik dan perkara lebih besar yang pernah membuatkan mereka gembira sebelum ini?

Sentiasa ingat akan senyuman dan kegembiraan anak. Usah padam kegembiraan mereka dengan kesedihan akibat dijerit dan dimarahi ibu bapa sendiri. Jangan biarkan kehidupan mereka diselubungi kedukaan dek kerap kali dimarahi oleh kita.

happy

Foto Kredit : wallpaperscraft.com

5. KITA SALING MEMERLUKAN

Ibu bapa adalah tempat untuk anak kecil bergantung. Mereka masih belum mampu melakukan pelbagai perkara dan amat memerlukan bantuan kita di kala mereka masih kecil ini.

Percaya atau tidak, sebenarnya kita sebagai ibu bapa lebih memerlukan mereka. Mengapa? Kerana mungkin jauh di sudut hati kita sebagai ibu bapa, kita mengharapkan doa daripada anak buat kita tidak kira sama ada ketika kita masih hidup atau apabila kita sudah tiada lagi di dunia ini. Seandainya kita sering memarahi anak sehingga membuatkan anak berasa jauh hati, mungkinkah ada doa itu buat kita? Renung-renungkan.

Di sini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan anak saling memerlukan. Semoga layanan terbaik yang kita berikan buat anak pada hari ini akan dapat membantu kita kelak dengan doa anak yang soleh dan solehah ini.

kids-praying

Foto Kredit : medina-center.ru

BELAJAR KAWAL EMOSI MARAH

Sentiasa ingat bahawa anak adalah rezeki dan anak juga adalah ujian daripada Allah. Allah kurniakan anak kepada kita untuk kita belajar pelbagai perkara termasuk belajar cara untuk mengawal emosi kita.

Mungkin bukan perkara yang mudah untuk kita menghentikan tabiat menjerit kepada anak ketika marah. Walau bagaimanapun, kita sebagai ibu bapa seharusnya belajar mengawal kemarahan dengan cara yang lebih positif dan sentiasa bersabar dalam melayani anak. Antara tips mengawal kemarahan daripada Dr. Norharlina Bahar, beliau mencadangkan agar ibu bapa menarik nafas panjang apabila berasa marah, meninggalkan seketika tempat yang menjadi punca kemarahan kita itu, kemudian kira satu hingga sepuluh atau beristighfar. Apabila telah berasa tenang, barulah kita kembali kepada anak.

Dengan cara ini, In Shaa Allah ibu bapa bukan sahaja dapat memadamkan api kemarahan tadi, malah dapat mengelakkan diri daripada menjerit kepada anak, sekaligus dapat menasihati anak dengan cara yang lebih berhemah. Semoga dengan kawalan emosi yang baik ini, perihal anak tidak lagi menjadi pencetus kemarahan, malah memberi sinar bahagia buat ibu bapa.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×