Sungguh enak apabila dapat menikmati hidangan berasaskan siput sedut. Kadang-kadang teringin nak masak sendiri tapi disebabkan tidak tahu membersihkannya, maka dibeli sahaja hidangan siput sedut yang sudah dimasak. Justeru itu, apa kata anda belajar sendiri cara bersihkan siput sedut di rumah.
Boleh ikuti tips mudah yang dikongsikan oleh Puan Intan Suraya Haron seperti di bawah ini yang hanya menggunakan hampas kelapa sebagai satu-satunya bahan pencuci yang diperlukan. Jom cuba!
Baca juga: Tips Simpan Udang Kekal Segar & Manis, Biarpun Dah Lama Beli
TIPS MUDAH BERSIHKAN SIPUT SEDUT
Assalammualaikum. Tadi nampak ada yang bertanya pasal siput sedut. Kebetulan masak siput hari ini, boleh lah share tips. Saya pun jarang masak sebab tak berapa rajin, kerjanya agak remeh. Tapi sedap bila dah masak dan anak-anak semua suka makan, maka terpaksa lah rajinkan diri.
Saya beli petang semalam siput sedut ini.
CARA BERSIHKAN SIPUT SEDUT
1. Bawa balik masukkan dalam periuk yang agak-agak muat. Gaulkan dengan hampas kelapa, biar semalaman supaya siput itu muntahkan segala kekotoran dalam badan dia. Santannya simpan untuk masak gulai.
Tidak perlu cuci siput sedut terlebih dahulu atau masukkan air.
2. Jangan lupa tutup dengan penapis rapat-rapat. Saya tindihkan dengan lesung batu.
3. Kerat hujung buntot siput jangan pendek sangat, takut susah nak sedut. Agak-agak sahaja. Saya kerat guna cutter.
4. Cuci bersih dan boleh lah terus masak. Kalau ada daun pucuk ubi semasa cuci siput tu boleh gonyoh-gonyohkan supaya kekotoran dibadannya senang tanggal. Kalau tak ada pun tak apa, saya sental je dengan span cuci pinggan huhu.
Masak lemak cili api, saya guna resepi biasa je. Tumbuk cili api, kunyit hidup, serai, daun kunyit. Kalau ada keladi lagi lah sedap.
Renehkan sekejap, terus masukkan siput dan kacau jangan bagi pecah minyak. Agak-agak dah menggelegak 2 – 3 boleh dah tutup api.
Siappp untuk dihidang. Saya lawankan dengan kerisi goreng, sambal tempoyak dan ulam-ulaman. Memang kelautan dalam lah diet hari ini huhu. Selamat mencuba.
Sumber: Facebook Intan Suraya Haron via Masak Apa Hari Ni..(MAHN)