Kebiasaannya, penghidap kanser lambat menyedari mereka mempunyai penyakit. Ini kerana setiap kanser mempunyai simptom yang berlainan ataupun tiada sebarang gejala. Namun begitu, pengetahuan berkaitan tanda kanser perut atau apa-apa penyakit sekalipun adalah penting sebagai langkah berjaga-jaga.
Kanser perut merupakan kanser kedua yang melibatkan kes kematian tertinggi di seluruh dunia. Simptom seperti loya, berat badan menurun mungkin adalah tanda kanser walaupun tidak spesifik kepada jenis kanser. Penting untuk anda melakukan diagnosis kanser perut jika mendapati tanda-tanda awal penyakit.
Jadi, jom ikuti perkongsian penulis berkaitan tanda kanser perut untuk persediaan sebarang kemungkinan di masa depan.
Baca juga: Bukan Sekadar Sedap, Air Tebu Rupanya Boleh Cegah Sel Kanser
11 TANDA KANSER PERUT
1. BERAT MENURUN
Ketahuilah jika berat badan anda menurun secara tiba-tiba tanpa sebarang usaha, itu mungkin tanda awal kanser. Gejala ini adalah disebabkan oleh simptom kehilangan selera makan yang dihadapi oleh penghidap kanser perut.
Anda perlu melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital dengan kadar segera jika berat badan menurun melebihi 5% dalam tempoh masa 6 hingga 12 bulan tanpa melakukan apa-apa.
2. HILANG SELERA MAKAN
Kehilangan selera makan untuk sehari dua adalah situasi yang normal untuk semua orang. Akan tetapi, jika anda hilang selera makan lebih dari 2 hari, pemeriksaan bersama doktor perlu dilakukan.
Penurunan selera makan merupakan salah satu tanda kanser yang mungkin dihidapi oleh penghidapnya.
3. RASA LOYA
Loya adalah satu simptom yang berlaku kepada pelbagai masalah kesihatan seperti jangkitan, penyakit kronik dan juga kanser. Tetapi, jika ia disertai dengan muntah berdarah, anda berkemungkinan tinggi menghadapi masalah berkaitan perut.
Loya juga berkait rapat dengan selera makan. Jika berlaku dalam tempoh yang panjang, ia berkemungkinan akan mempengaruhi selera makan dan kemudian menurunkan berat badan seseorang.
4. PERUT KENYANG WALAUPUN MAKAN SEDIKIT
Jika ada mengalami situasi ini, janganlah cepat berasa gembira. Ini kerana ada pesakit kanser perut yang tidak mengalami penurunan selera makan tetapi cepat kenyang walaupun mengambil makanan dalam kuantiti sikit.
Gejala ini boleh menjadi tanda kesihatan yang berbahaya seperti kanser perut dan sakit perut yang berpanjangan.
Pesakit kanser perut senang untuk berasa kenyang kerana ketumbuhan telah memenuhi ruangan organ tersebut lalu menyebabkan isipadunya menjadi lebih kecil.
5. SAKIT PERUT BERPANJANGAN ATAU ABDOMEN
Simptom lazim penghidap kanser perut adalah sakit perut berpanjangan. Ia merupakan satu simptom yang menjadi pendorong utama orang awam untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan rawatan.
Namun begitu, sakit perut berpanjangan bukanlah satu gejala yang spesifik kepada kanser perut. Terdapat penyakit kanser lain yang juga mempunyai gejala sakit perut berpanjangan seperti:
- Kanser pankreas
- Kanser hati
- Kanser saluran hempedu
- Kanser hempedu
Gejala ini biasanya akan mempengaruhi aktiviti harian anda. Jika mendapati simptom ini, terus membuat pemeriksaan doktor dengan segera.
6. MUNTAH
Antara simptom yang sering dikaitkan dengan kanser perut adalah muntah, lebih-lebih lagi muntah berdarah. Pesakit perlu bergegas ke hospital jika mengalami muntah berdarah walaupun kuantiti yang sikit kerana gejala ini merupakan kejadian kecemasan perubatan.
Komplikasi seperti pening kepala, kelesuan dan anemia akan berlaku jika jumlah darah yang dimuntahkan adalah banyak dalam suatu tempoh masa.
Tanpa rawatan daripada profesional, pesakit berkemungkinan mendapat kejutan hipovolemik akibat pendarahan yang terjadi dan kematian.
7. RASA TIDAK SELESA PADA PERUT
Selain mengalami sakit perut berpanjangan, ada juga pesakit kanser perut yang hanya mengalami ketidakselesaan pada bahagian di atas pusat. Kebiasaannya, simptom ini diabaikan kerana ia akan reda dengan sendirinya.
Akan tetapi, jika tiada pemeriksaan yang diambil, rasa tidak selesa tersebut akan bertukar menjadi sakit perut berpanjangan.
8. ABDOMEN ATAU PERUT KEMBUNG
Jika mempunyai masalah kembung perut terutamanya selepas makan, anda berkemungkinan menghidap kanser perut. Tetapi, seperti simptom lain, gejala ini tidak spesifik kepada kanser perut semata-mata.
9. PEDIH ULU HATI ATAU KETAKCERNAAN
Kanser perut turut menyebabkan gejala masalah pedih ulu hati kepada pesakitnya. Masalah ketakcernaan juga antara simptom yang sering berkait dengan penghidap kanser perut.
Keadaan ini akan menyebabkan penghidap merasai ketidakselesaan pada perut terutamanya di kawasan atas pusat.
10. ANEMIA DAN KELESUAN
Kebiasaannya, penghidap kanser perut akan mengalami simptom seperti gejala muntah atau berak berdarah. Gejala ini akan menyebabkan badan perlu menghasilkan lebih banyak sel darah merah dan jika gagal, anda boleh mendapati simptom anemia iaitu kurang sel darah merah.
Masalah kelesuan kanser berlaku disebabkan oleh komplikasi ini. Untuk pengetahuan anda, kelesuan kanser tidak boleh diselesaikan dengan tidur atau secawan kopi, berbeza dengan keletihan akibat tidak cukup tidur.
Kelesuan kanser akan menjejaskan produktiviti seseorang. Cuba bandingkan tahap tenaga anda pada 6 atau 12 bulan yang lalu dengan hari ini, jika ada perubahan, buat pemeriksaan di fasiliti kesihatan berdekatan.
11. DARAH DI DALAM NAJIS
Darah di dalam najis lazimnya berpunca daripada jangkitan usus dan buasir, namun perbezaan warna pada najis itu boleh menunjukkan petanda di mana berlakunya pendarahan tersebut.
Kebiasaannya, jika warna darah pada najis hanya merah cair, sumber pendarahan berada di lokasi berdekatan dengan dubur. Namun, jika pendarahan itu berlaku di bahagian perut, warna darah akan biasanya bertukar menjadi lebih gelap dan kadang kala hitam. Situasi ini dikenali sebagai melena.
Keadaan ini terjadi berpunca daripada aktiviti enzim pencernaan dan bakteria usus. Ini kerana warna darah pada najis akan semakin gelap apabila lokasi organ yang mengalami pendarahan daripada lubang dubur semakin jauh.
Jika anda mengalami mana-mana 11 tanda kanser perut di atas, segeralah mendapatkan pemeriksaan kesihatan supaya dapat didiagnosis dengan sebarang kemungkinan pada awal waktu untuk mengelakkan komplikasi yang lebih berbahaya di masa akan datang.
Sumber: Hello Doktor