Sihat

Doktor Kongsi Cara Elak Pedih Ulu Hati Ketika Berpuasa, Jangan Tak Puasa Pula

79
SHARES

Berpuasa adalah ibadah wajib yang ditunaikan oleh umat Islam diseluruh dunia dan bagi mereka yang mampu mengerjakannya. Bagi yang tidak berkemampuan pula mereka perlu menggantikannya di hari lain atau membayar fidyah. Umum mengetahui bahawa dengan berpuasa kita dapat menjadi lebih sihat dan kuat.

Namun begitu bagi sesetengah individu, berpuasa ini akan menyebabkan mereka merasakan kurang selesa dan mengakibatkan rasa pedih ulu hati. Pedih ulu hati ini boleh dielakkan berlaku ketika berpuasa ini. Dr Zubaidi Hj Ahmad melalu laman Facebooknya berkongsi tentang cara untuk anda mengurangkan rasa sakit itu. Jom kita tengok cara-caranya!

Cara Mengurangkan Rasa Sakit Ulu Hati Ketika Puasa

Seperti saya beritahu, berpuasa bukanlah punca utama masalah rasa sakit ulu hati. Secara amnya rasa sakit ulu hati hati ketika berpuasa mungkin dialami oleh beberapa individu, tetapi selalunya akan berkurangan setelah kita memasuki minggu kedua, ketiga dan keempat berpuasa.

Jika masalah berterusan, buatlah pemeriksaan lengkap. Janganlah kita beranggapan ia hanya masalah ‘gastik” saja seperti mana yang selalu kita faham. Ia mungkin masalah yang lebih serius. Bagi mereka yang mengalami masalah rasa sakit di bahagian ulu hati, saya mencadangkan periksa pola pemakanan kita.

1. Hindari Makanan Pedas, Masam dan Berlemak ketika sahur dan berbuka.

Bukan tidak boleh langsung, tetapi berpada-pada (makan dalam kuantiti yang sederhana).

2. Hindari Makanan Karbohidrat Ringkas.

Pada waktu sahur dan berbuka, eloklah mengambil makanan yang kaya dengan serat seperti kurma, sayur-sayuran dan buah-buahan. Elakkan makanan yang mengandungi banyak karbohidrat ringkas dan makanan berproses, seperti nasi putih. Boleh tukarkan kepada beras rebus dan beras perang.

3. Minum air secukupya selepas makan, tetapi jangan terlalu banyak.

Minum air secukupnya dapat mengurangkan kepekatan asid yang berlebihan. Jika diambil terlalu banyak, boleh menyebabkan masalah penghadaman kerana asid menjadi terlalu cair. Elakkan juga minuman yang terlalu manis (bergula) atau bergas.

4. Jangan Makan Terlalu Kenyang.

Apabila makan dalam jumlah banyak, perut akan terpaksa bekerja keras dalam jangka masa yang lebih lama untuk menghadamkan makanan yang diambil. Ini merangsangkan pengeluaran asid yang lebih banyak ke dalam perut. Makan dengan jumlah yang banyak, juga menyebabkan kita menjadi letih dan mengantuk.

5. Hindari Rokok dan Alkohol.

Rasa pedih ulu hati boleh disebabkan dari aktiviti merokok dan pengambilan minuman yang berlakohol (sama ada dalah kuantiti yang tinggi atau rendah). Hentikan tabiaat merokok sepanjang Ramadan. Insya Allah akan mudah menghentikannya di luar Ramadan.

6. Menurunkan Berat Badan.

Menurunkan berat badan sehingga berat badan yang sepatutnya dapat mengurangkan masalah rasa sakit ulu hati terutamanya masalah GERD. Ini kerana apabila terlalu banyak lemak (terutama lemak vesceral) dalam abdomen, secara tidak langsung memudahkan asid masuk ke dalam esofagus.

Amalkan Minyak Zaitun Dan Pengambilan Ubat

Selain daripada cara di atas, dua perkara ini juga boleh diamalkan untuk elak rasa sakit itu.

1. Mengamalkan minyak zaitun ketika perut kosong sebaik selepas bangun pagi untuk bersahur atau ketika bersahur.

Minyak zaitun adalah minyak sihat yang melindungi dan merawat luka dan keradangan pada permukaan dalam perut.

2. Ambil ubat Untuk Meredakan Sakit Ulu Hati. Ubat yang selalu diberikan oleh doktor adalah ubat seperti:

a) Antasid : Berfungsi untuk meneutralkan asid dalam perut.

b) Antagonis Reseptor H-2 (H2RAs) : Berfungsi menurunkan kepekatan dan kauntiti asid dalam perut.

c) Penghalang Pump Proton (PPI) : berfungsi seperti H2RAs untuk menurunkan kepekatan dan kuantiti asid dalam perut.

Namun begitu jika masih berasa sakit selepas seminggu, saya mencadangkan kembali berjumpa doktor yang bertugas agar pemeriksaan yang lebih lengkap dapat dijalankan.

Sumber : Dr Zubaidi Hj Ahmad

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×