Pemegang Kad OKU bukan sahaja mempunyai akses kepada kemudahan kesihatan dan kebajikan, malah turut menikmati pelbagai keistimewaan dalam sektor pendidikan.
Menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), terdapat beberapa bentuk bantuan dan kemudahan disediakan khusus untuk Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) bagi memastikan mereka mendapat peluang pendidikan yang lebih inklusif.
Baca juga: Takut Terlepas Kertas Matematik SPM, Guru Ambil Murid Terkandas Di Dua Stesen LRT
PEMEGANG KAD OKU, INI KEISTIMEWAAN PENDIDIKAN UNTUK ANDA

Kemudahan ini merangkumi bantuan kewangan, sokongan tenaga pakar, program pendidikan khas serta kelonggaran ketika menduduki peperiksaan awam.
Justeru, ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak berstatus OKU perlu mengetahui kemudahan yang disediakan supaya mereka tidak terlepas daripada menerima manfaat berkenaan.
Berikut merupakan empat keistimewaan pendidikan yang boleh dimanfaatkan oleh murid OKU menerusi KPM.
1. Bantuan kewangan dan kebajikan murid
Antara kemudahan utama yang disediakan ialah bantuan kewangan dan kebajikan bagi meringankan beban keluarga serta membantu murid meneruskan persekolahan.
Antara bantuan yang ditawarkan termasuk:
– Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK): Elaun sebanyak RM150 sebulan diberikan kepada murid OKU yang bersekolah di sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan serta institut latihan kemahiran awam atau swasta yang dibiayai sepenuhnya oleh KPM.
– Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM): Bantuan tambahan disediakan kepada MBPK daripada kategori miskin tegar bagi membantu mengelakkan keciciran dalam pendidikan.
– Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan susu: Murid MBPK Tahun 1 hingga Tahun 6 yang memenuhi syarat kelayakan boleh menikmati makanan dan susu percuma. Pemberian ini tertakluk kepada kategori serta ketetapan yang ditetapkan KPM.
– Kemudahan asrama: Murid yang layak boleh menikmati pengecualian yuran makanan asrama serta bantuan pengangkutan atau perjalanan.
2. Sokongan pengurusan dan tenaga pakar
Selain bantuan kewangan, KPM turut menyediakan sokongan pengurusan serta tenaga pakar bagi membantu memenuhi keperluan pembelajaran dan perkembangan murid OKU.
Antara kemudahan yang disediakan ialah:
– Pembantu Pengurusan Murid (PPM): Bertanggungjawab membantu guru dalam menjaga kebajikan, keselamatan dan pengurusan diri MBPK ketika berada di kelas serta asrama di sekolah pendidikan khas.
– Guru RESOS: Guru pendidikan khas yang berperanan sebagai pembimbing bagi membantu meningkatkan kesediaan MBPK dengan ketidakupayaan penglihatan di sekolah harian.
– Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK): Menyediakan perkhidmatan saringan, penilaian dan terapi untuk kanak-kanak berusia empat tahun ke atas. Antara perkhidmatan ditawarkan termasuk psikologi, terapi cara kerja, terapi pertuturan-bahasa, audiologi dan fisioterapi.

Gambar hiasan.
3. Peluang mengikuti program pendidikan khas
Murid OKU turut mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan menerusi beberapa program yang disediakan mengikut keperluan dan tahap keupayaan masing-masing.
Antara pilihan pendidikan khas yang boleh diikuti ialah:
– Sekolah Pendidikan Khas (SPK): Institusi pendidikan yang menyediakan persekitaran pembelajaran khusus untuk MBPK.
– Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI): Program yang disediakan di sekolah harian biasa bagi membolehkan MBPK mengikuti pembelajaran dalam kelas pendidikan khas.
– Program Pendidikan Inklusif (PPI): Memberi peluang kepada MBPK mengikuti pembelajaran bersama-sama murid arus perdana dalam kelas yang sama, sama ada secara penuh atau separa.
Selain itu, terdapat juga Pusat PERMATA Kurnia yang menyediakan perkhidmatan intervensi awal dan bimbingan keluarga khusus untuk kanak-kanak autisme berusia dua hingga enam tahun.
4. Keistimewaan ketika menduduki peperiksaan awam
Mungkin masih ramai ibu bapa tidak mengetahui bahawa murid OKU turut boleh menikmati kemudahan tertentu ketika menduduki peperiksaan awam.
Kemudahan ini diberikan berdasarkan keperluan individu serta kelulusan pihak berkuasa peperiksaan.
Antaranya termasuk:
– Masa tambahan: Kelonggaran masa menjawab soalan peperiksaan berdasarkan kelulusan Lembaga Peperiksaan (LP) atau Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).
– Alatan sokongan peperiksaan: Murid boleh menggunakan peralatan bersesuaian mengikut keperluan masing-masing seperti mesin Braille, kanta pembesar CCTV, komputer dan kertas soalan bercetak besar.
– Khidmat bantuan: Kemudahan pembaca, jurutulis dan guru pendamping turut disediakan bagi membantu calon OKU menduduki peperiksaan.
Kesemua kemudahan ini bertujuan memastikan murid OKU mendapat peluang pendidikan yang adil, bersesuaian dengan keperluan mereka dan tidak tercicir daripada sistem pendidikan negara.
Oleh itu, ibu bapa dan penjaga disarankan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak sekolah atau KPM bagi mengetahui syarat kelayakan serta prosedur permohonan setiap bantuan.
Baca juga: Pengacara RARETV Kapten AA Meninggal Dunia Malam Jumaat Di Oman
