Terapi

6 Sebab Mama Penat Sangat Walaupun Rasa Macam ‘Tak Buat Apa-apa’

28K
reads

“Nasib baik budak-budak tu nak juga tidur awal hari ni. Aku pun ingat nak masuk tidurlah. Kenapalah aku rasa letih sangat ni. Padahal macam tak ada buat apa-apa pun..”

Tak ramai yang faham bahawa sejak kita bergelar seorang ibu, kita bagaikan tiada lagi hari cuti. Tak kiralah sama ada kita seorang wanita bekerja ataupun surirumah, kedua-duanya bakal mengalami perubahan yang besar dalam rutin harian.

Ada masa tertentu, kita berasa amat letih. Tapi kalau diperiksa, macam ‘tak ada buat apa-apa pun’. Kenapa boleh jadi begini?

6 Sebab Mama Penat Sangat Walaupun Rasa Macam ‘Tak Buat Apa-apa’

1. Tidur Malam Yang Terganggu

Sejak lahirnya bayi, seorang wanita tidak lagi mendapat tidur malam yang cukup. Setiap malam kita akan berjaga untuk menyusukan bayi, mententeramkan mereka, menukar lampin, dan sebagainya. Mungkin ada yang menganggap ini semua perkara biasa dan tak patut diperbesarkan.

Namun, perubahan pada rutin tidur ini sudah tentu akan menjejaskan keupayaan kita untuk bekerja dengan efisyen di siang hari. Menurut sumber dari HealthLine, seseorang perlu tidur 7-8 jam setiap hari supaya otak dapat memberi isyarat kepada tubuh untuk merembeskan hormon dan kompaun yang membantu:

  • mengurangkan risiko terhadap masalah kesihatan
  • mengawal rasa lapar
  • mengekalkan sistem pertahanan badan
  • menyimpan memori

Bayangkan, jika tidur tidak cukup, semua fungsi yang disebutkan di atas akan mengalami gangguan. Maka, tak perlu rasa bersalah jika anda masuk tidur awal atau mengambil beberapa minit untuk tidur sebentar di waktu siang.

Foto Kredit: preciouslittlesleep.com

2. Ya, Jaga Anak Adalah ‘Bekerja’

Sebuah kajian mendapati, secara puratanya seorang ibu akan bangun sekitar jam 6.23 pagi dan semua pekerjaan hanya akan berhenti sekitar jam 8.31 malam (kalau bernasib baik).

Bila ‘celik mata’ saja, mulalah kita menguruskan anak, menyiapkan sarapan, dan seterusnya diikuti pula dengan pelbagai tugas mencuci. Dari semasa ke semasa, kita akan duduk dan melayan anak-anak sambil memenuhi keperluan mereka. Bagi seorang ibu, kita mungkin rasa perbuatan menjaga anak bukanlah dikira ‘pekerjaan’, tapi sebenarnya ia adalah sebaliknya. Tak ada orang akan mengasuh anak kita secara percuma melainkan terpaksa.

Jadi, ya, menjaga anak bukan saja memerlukan kekuatan fizikal, tetapi juga kekuatan mental. Tak hairanlah bila anak demam atau ‘memerap’, anda akan berasa begitu letih walaupun tak ada apa-apa kerja rumah lain yang dapat dibuat.

Tanpa disedari, ini menjadikan jumlah jam seorang ibu bekerja secara purata adalah 98 jam setiap minggu. Tahukah anda, ia bersamaan dengan jam bekerja seseorang mempunyai lebih 2 pekerjaan tetap!

anak susah tidur siang

Foto Kredit: lifeasmama.com

3. Mama Selalu Risau

Tak apalah kalau kita terpaksa bungkus makanan untuk anak-anak hari ini.

Tak apalah kalau rumah kita tak kemas dan cantik macam dalam majalah.

Tak apalah kalau sekali-sekala kita bagi anak tengok kartun dan main game.

Tak apalah kalau anak kita masih tak bercerai lampin dan botol susu walaupun umurnya dah masuk 3 tahun.

Tak apalah kalau kita tak dapat menyusukan bayi dengan susu ibu sehingga 2 tahun.

Wahai Mama, kita perlu menerima hakikat bahawa kita tak mungkin dapat menjadi seorang ibu yang sempurna. Setiap ibu pasti mahu menjadi contoh yang terbaik buat anak-anaknya. Tapi apakan daya, setiap manusia melalui cabaran yang berbeza.

Hanya kita yang tahu dan merasai kesusahannya. Jadi, jangan rasa diri gagal apabila tidak mampu menjadi seperti apa yang diharapkan. Don’t be so hard on yourself. Kerisauan dan expectation inilah yang menjadikan anda begitu letih dan penat setiap hari.

Foto Kredit: greencleanphoenix.com

4. Tiada Masa Untuk Diri Sendiri

Mengikut survey, seorang ibu dah cukup bertuah kalau dapat 7 minit hingga 1 jam waktu untuk diri sendiri. Bila dah jadi mak-mak ni biasalah, kadang-kadang tu nak makan pun tak sempat. Nak ke tandas untuk mandi dan buang air pun boleh ‘berperang’ dengan anak-anak. Apatah lagi nak dapat 1 jam untuk berehat, berbual di telefon, baca buku cerita, atau buat apa-apa yang kita suka.

Kita dah kemas depan, mereka ‘kemas’ bilik. Kita baru nak duduk, baby pula dah menangis. Mana nak sempat buat apa-apa untuk diri sendiri, betul tak?

Bagi yang mengalami masalah ini, jangan malu minta bantuan suami atau ahli keluarga. Terangkan pada mereka bahawa anda perlukan sokongan buat sementara. Setidak-tidaknya, beban ini dapat dikongsi bersama.

Foto Kredit: thevapingmilitia.org

5. Rutin Yang Sama Setiap Hari

Mahu atau tidak, kita perlu melakukan rutin yang sama setiap hari. Bangun tidur, susukan bayi, mandikan mereka, buat sarapan, periksa lampin, dan sebagainya. Begitu juga bagi mereka yang ada anak-anak lebih besar. Nak siapkan mereka ke sekolah, sediakan makan tengahari, dan seterusnya.

Semua ini hampir menjadi rutin yang sama setiap hari, terutamanya bagi seorang surirumah. Tiada alasan, tak ada excuse. Sekurang-kurangnya kerja di pejabat boleh juga minta cuti. Tapi kalau menguruskan anak kecil, takkan nak biarkan mereka buat semua sendiri? Sebab itulah, ibu-ibu seronok sangat kalau sekali-sekala dapat berjalan-jalan, makan di luar, dan pergi bercuti.

Kalau tak, ibu-ibu kenalah kreatif untuk mempelbagaikan rutin harian. Googlekan ada. Macam-macam perkara kita boleh search sekarang. Dengan merangkakan aktiviti yang seronok seperti DIY kraf, buat permainan anak, cuba resepi baru, dan sebagainya, setidaknya ia akan membantu kita lebih ceria.

6. ‘Kerja’ Kita Selalu Dipandang Remeh

Tak kiralah kalau rupa kita nampak kusut-masai, rumah bersepah, atau tak sempat nak masak makan malam, beruntunglah kalau si suami tak pernah mengkritik atau meremehkan kerja kita di rumah. Ini tidak, ditambah pula perangai tak bertimbang rasa dan pemalas menguruskan diri sendiri. Memanglah sakit hati, kan?

Bila tiada langsung sesiapa yang mengucapkan ‘terima kasih’ atau memberi pertolongan, dah tentulah kita tak gembira. Dalam keadaan begini, lebih mudah kita untuk berasa stres, letih, dan tidak bermaya. Tiada yang lebih seronok daripada menerima pelukan, kucupan, dan senyuman daripada seorang suami yang memahami dan menghargai setiap kesusahan yang kita lalui sepanjang menjadi seorang ibu. Barulah rasa semua penat lelah itu amat berbaloi!

Carilah Masa Untuk Berehat Kerana Anda Memang Memerlukannya

Tidak dinafikan semua cabaran ini banyak mengajar kita mematangkan diri. Tapi sehebat mana pun seorang wanita, mereka tetap perlu berehat. Ramai wanita mengakui bahawa ‘berehat’ daripada menjadi seorang ibu dapat membantu mereka menjadi seorang ibu yang lebih baik. Tak kiralah walaupun hanya 15-30 minit sehari atau sekali setiap hujung minggu.

Sekalipun tiada sesiapa yang memberi penghargaan kepada anda, ingatlah bahawa anda perlu tahu bahawa anda berhak menghargai diri sendiri.

You deserve a break, moms!

Yang Popular

To Top