Pejam celik pejam celik, nampaknya kita sudah masuk bulan Syaaban dan ini menandakan bahawa bulan Ramadan juga sudah dekat. Kurang dari 30 hari lagi umat Islam akan menyambut bulan puasa dan di dalam bulan Syabaan inilah ramai yang sedang melatih diri untuk lebih beribadah. Ternyata, banyak amalan bulan Syaaban yang boleh dilakukan sebagai persiapan diri.
Berikut merupakan perkongsian dari Ustazah Asma’ Harun tentang 8 amalan yang amat disarankan untuk anda kejar sempena berada di dalam bulan Syaaban. Selamat beribadah!
Baca juga: Bulan Rejab Dah Tiba! Ini Cara Berdoa Dari Ustaz Don & Amalan Sunat Untuk Gandakan Pahala
8 AMALAN BULAN SYAABAN YANG BOLEH DILAKUKAN
1. SOLAT AWAL WAKTU
Daripada Abdullah Ibnu Mas’ud bertanya kepada Rasulullah SAW:
أَىُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ “الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا”. قَالَ ثُمَّ أَىُّ قَالَ “ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ”. قَالَ ثُمَّ أَىّ قَالَ “الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ”.
Maksudnya: “Apakah amalan yang paling dicintai di sisi Allah SWT? Nabi menjawab: “Solat pada waktunya.” Dia (perawi) bertanya lagi, “Kemudian apa?”, jawab Baginda: “Berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” Dia bertanya lagi, “Kemudian apa?”, jawab Baginda: “Jihad pada jalan Allah SWT.” (HR al-Bukhari, hadis sahih)
2. BANYAKKAN ISTIGHFAR
Daripada Syaddad bin Aus r.a., Rasulullah SAW bersabda:
سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ.
Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah (Tuhan) yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”. (HR al-Bukhari, hadis sahih)
3. BANYAKKAN SELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMAD
Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا.
Maksudnya: “Sesungguhnya barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” (HR Muslim, hadis sahih)
4. PERBANYAKKAN MEMBACA DAN MENTADABBUR (baca terjemahan) AL-QURAN
Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
اقْرَؤُوا القُرْآنَ فإنَّه يَأْتي يَومَ القِيامَةِ شَفِيعًا لأَصْحابِهِ.
Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya (pembacanya). (HR Muslim, hadis sahih)
5. PERBANYAKKAN BERDOA DAN BERMUNAJAT (merintih) KEPADA ILAHI
Rasulullah SAW berpesan kepada Ibnu Abbas r.a.:
إذا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ.
Maksudnya: “Apabila kamu meminta, mintalah pada Allah, dan apabila kamu meminta pertolongan, mintalah dengan Allah. Ketahuilah, jika suatu kumpulan manusia berpakat untuk memberikan kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikan apa-apa melainkan apa yang ditulis oleh Allah SWT untukmu. Dan jika mereka berpakat untuk mengenakan keburukan kepadamu, mereka tidak akan mampu menimpakan apa-apa melainkan apa yang telah Allah tuliskan ke atasmu.” (HR Tirmizi, hadis sahih)
6. PUASA SUNAT ISNIN KHAMIS
Daripada Saidatina Aisyah r.a. Berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ
Maksudnya: “Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.” (HR al-Tirmizi, hadis hasan)
♦️ NIAT PUASA ISNIN KHAMIS
نَوَيْتُ صَوْمَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ / الْخَمِيسِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari Isnin / Khamis kerana Allah Taala.”
7. PUASA SUNAT HARI PUTIH (AYYAMUL BIDH)
Puasa hari putih dikenali sebagai puasa ayyamul bidh iaitu puasa pada hari ke-13, 14 dan 15 di pertengahan setiap bulan Islam (Hijriyyah). Pahala sunnah ini seumpama berpuasa sepanjang tahun. SubhanAllah, sungguh besar gandaan pahala yang Allah kurniakan buat umat Nabi Muhammad SAW.
Berdasarkan hadis, daripada Ibnu Milhan al-Qaisi daripada ayahnya, dia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Rasulullah ﷺ memerintahkan kami agar berpuasa pada hari bidh iaitu pada 13, 14 dan 15. Baginda berkata: hari-hari tersebut umpama setahun.” (HR Abu Daud, hadis sahih)
♦️ NIAT PUASA HARI PUTIH (AYYAMUL BIDH)
نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ الْبَيْضِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana Allah Taala.”
8.PUASA NABI DAUD A.S.
Kaedah puasa Nabi Daud a.s. dilakukan secara selang-seli iaitu sehari berpuasa dan sehari tidak berpuasa. Ia merupakan puasa yang terbaik dan dicintai Allah SWT. Abdullah bin Amar r.a. berkata, Rasulullah SAW berkata kepadaku:
أَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللهِ صِيَامُ دَاوُدَ كَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى اللهِ صَلَاةُ دَاوُدَ كَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ
Maksudnya: “Puasa yang paling disukai oleh Allah SWT ialah puasa Nabi Daud. Baginda berpuasa sehari dan tidak berpuasa sehari. Dan solat yang paling disukai oleh Allah SWT ialah solat Nabi Saud. Baginda tidur pada pertengahan malam, ibadah pada satu pertiga malam dan tidur pada satu perenam malam yang berbaki.” (HR Bukhari, hadis sahih)
♦️ NIAT PUASA NABI DAUD A.S.
نَوَيْتُ صَوْمَ دَاوُدَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat Daud kerana Allah Taala.”
Sheikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menjelaskan berkenaan puasa Nabi Daud a.s. Bahawa:
“Jika hari yang tidak berpuasa (puasa Nabi Daud a.s.), kemudian jatuhnya pada hari itu, disunnahkan untuk berpuasa seperti hari Arafah dan Asyura, yang utama ialah melakukan juga puasa pada hari tersebut. Ia tidaklah menghalang kelebihan berpuasa cara Nabi Daud a.s.”
Sehubungan dengan itu, kita boleh menggabungkan puasa-puasa sunat seperti yang dicadangkan berikut:
1. Rabu-14 Februari 2024 bersamaan 4 Syaaban 1445H (Puasa Nabi Daud A.s.)
2. Khamis-15 Februari 2024 bersamaan 5 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Khamis)
3. Jumaat-16 Februari 2024 bersamaan 6 Syaaban 1445H (Puasa Nabi Daud A.s.)
4. Ahad-18 Februari 2024 bersamaan 8 Syaaban 1445H (Puasa Nabi Daud A.s.)
5. Isnin-19 Februari 2024 bersamaan 9 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Isnin)
6. Selasa-20 Februari 2024 bersamaan 10 Syaaban 1445H (Puasa Nabi Daud A.s.)
7. Khamis-22 Februari 2024 bersamaan 12 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Khamis & Nabi Daud A.s.)
8. Jumaat-23 Februari 2024 bersamaan 13 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Hari Putih)
9. Sabtu-24 Februari 2024 bersamaan 14 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Hari Putih & Nabi Daud A.s.)
10. Ahad-25 Februari 2024 bersamaan 15 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Hari Putih)
11. Isnin-26 Februari 2024 bersamaan 16 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Isnin & Nabi Daud A.s.)
12. Rabu-28 Februari 2024 bersamaan 18 Syaaban 1445H (Puasa Nabi Daud A.s.)
13. Khamis-29 Februari 2024 bersamaan 19 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Khamis)
14. Jumaat-1 Mac 2024 bersamaan 20 Syaaban 1445H (Puasa Nabi Daud A.s.)
15. Ahad-3 Mac 2024 bersamaan 22 Syaaban 1445H (Puasa Nabi Daud A.s.)
16. Isnin-4 Mac 2024 bersamaan 23 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Isnin)
17. Selasa-5 Mac 2024 bersamaan 24 Syaaban 1445H (Puasa Nabi Daud A.s.)
18. Khamis-7 Mac 2024 bersamaan 26 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Khamis & Nabi Daud A.s.)
19. Sabtu-9 Mac 2024 bersamaan 27 Syaaban 1445H (Puasa Nabi Daud A.s.)
20. Isnin- 11 Mac 2024 bersamaan 30 Syaaban 1445H (HARAM PUASA HARI SYAK kecuali puasa Qadha/Nazar/Kafarah sahaja)
♦️ Hari Syak bermakna dinamakan sebagai hari yang meragukan kerana jatuh pada hari terakhir bulan Sya’ban atau hari pertama bulan Ramadan). Puasa pada hari syak diharamkan.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلاَثِينَ
Maksudnya: “Berpuasalah kamu apabila melihatnya (anak bulan Ramadhan) dan berbukalah (berhentilah puasa) juga apabila melihatnya (anak bulan Syawal). Sekiranya ia terlindung daripada (penglihatan) kamu, maka sempurnakan jumlah bilangan bulan Syaaban tiga puluh hari.” (HR Bukhari & Muslim, hadis sahih)
*Dengan perbanyakkan ibadah sebelum Ramadan dapat membantu kita agar lebih kuat untuk hadapi Ramadan dengan lebih tenang dan sabar.
Baca juga: Tatacara Solat Taubat Yang Betul, Langkah Penyucian Diri Untuk Kembali Kepada Allah SWT
Sumber: Ustazah Asma’ Harun
Foto: Free Malaysia Today