Nur

Ramai Keliru Apa Beza Air Mani & Air Mazi, Ustazah Asma’ Jelaskan Termasuk Hukum Mandi Wajib

37
SHARES
air mani dan mazi

Bila menyebut tentang air mani dan mazi, ramai dalam kalangan kita masih mempunyai kekeliruan tentang dua jenis cecair yang keluar dari bahagian sulit ini. Kekeliruan yang berlaku termasuklah sama ada perlu melakukan mandian wajib kerana hadas besar ataupun tidak.

Ternyata, ada perbezaan yang perlu diambil berat tentang air mani dan air mazi ini dalam kalangan lelaki dan wanita supaya badan sentiasa dalam keadaan suci. Berikut merupakan penjelasan dari Ustazah Asma’ Harun cecair ini dalam Islam.

Baca juga: 14 Emoji Makanan Ini Selit Unsur Seksi, Hantar Yang No. 13 Itu Pada Suami, Mengancam Jiwa!

BEZA AIR MANI DAN MAZI SERTA APA HUKUMNYA?

air mani dan mazi

Foto: Warta sulsel

“Ustazah, saya keliru waktu bangun daripada tidur ada cecair yang keluar. Tapi saya tak yakin sama ada itu air mani atau mazi. Macam mana saya nak bezakan dan apa hukumnya?”

Terima kasih atas pertanyaannya, bagi menjawab persoalan ini, kita perlu faham dahulu apa yang dimaksudkan dengan air mani, mazi, cara membezakan sekiranya tidak yakin dan hukumnya.

1.AIR MANI

Pertama, air mani berasal daripada perkataan ( أمْنَى – يُمْنِيْ) dalam bahasa Arab bermaksud terpancut. Dinamakan mani kerana keadaannya yang keluar dengan cara memancut, warnanya putih dan pekat. ia berdasarkan firman Allah SWT:

خُلِقَ مِنْ مَاءٍ دَافِقٍ

Maksudnya: “Diciptakan manusia dari air mani yang terpancar. (Surah Al-Tariq: 6)

Disebutkan juga dalam kitab Taqrirat Sadidah, 3 syarat yang menandakan air yang keluar itu adalah air mani iaitu:

1. Merasa kepuasan selepas keluarnya cecair tersebut.
2. Keluarnya cecair itu dengan cara memancut.
3. Cecair ini mempunyai bau seperti tepung yang diuli apabila ia basah atau berbau hanyir seperti bau putih telur jika ia kering.

Hukum: WAJIB mengangkat hadas besar iaitu MANDI WAJIB meskipun tidak merasa lazat (kepuasan) ketika keluarnya atau jika keluarnya tanpa memancut (bagi lelaki) seperti keluar selepas mandi, sama ada bagi lelaki atau wanita.

2.AIR MAZI

Kedua, air mazi menurut istilah fiqh dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah adalah air jernih (putih), halus, yang melekit keluar ketika timbulnya syahwat.

Menurut Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab menyatakan perbezaan antara mani dan mazi adalah, air mani keluar ketika kemuncak syahwat serta mengakibatkan kepenatan. Adapun mazi keluar ketika bersyahwat tidak mengakibatkan kepenatan. Mazi lelaki dan wanita adalah sama. Dimana wanita keluar mazi apabila bangkit syahwatnya.

Hukum: TIDAK WAJIB MANDI WAJIB dengan sebab keluar mazi, iaitu cecair yang keluar disebabkan syahwat yang paling rendah (mani adalah air kemuncak syahwat). Mazi mempunyai sifat-sifat air mani seperti yang disebutkan berdasarkan hadis daripada Saidina Ali r.a., beliau berkata:

كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَجَعَلْتُ أَغْتَسِلُ حَتَّى تَشَقَّقَ ظَهْرِى فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ (ص) أَوْ ذُكِرَ لَهُ – فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ (ص) لاَ تَفْعَلْ إِذَا رَأَيْتَ الْمَذْىَ فَاغْسِلْ ذَكَرَكَ وَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ فَإِذَا فَضَخْتَ الْمَاءَ فَاغْتَسِلْ

Maksudnya: “Aku adalah seorang lelaki yang sentiasa keluar mazi, aku sentiasa mandi pada musim sejuk sehingga belakangku kelihatan pecah-pecah. Aku bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu lakukan seperti itu, jika kamu melihat mazi maka basuhlah kemaluanmu dan berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk solat. Jika kamu mencurahkan air (mani) maka hendaklah kamu mandi.” (HR Abu Daud, hadis sahih)

APA HUKUM BAGI ORANG YANG KELUAR CECAIR MAZI ATAU MANI?

air mani dan mazi

Foto: Mstar

Disebutkan dalam kitab Taqrirat Sadidah:

يَتَخَييَّر، فَإن شَاء جَعَله مَنِيًّا: فَيَجِبُ عَلَيهِ الغُسْلُ، وَإِنْ شَاءَ جَعَلَه مَذْياً، فَيَنتَقِضُ وُضُوؤُه

Maksudnya: “Sekiranya dia cenderung untuk menganggapnya sebagai air mani, maka wajib ke atasnya untuk mandi. Jika dia cenderung untuk menganggapnya sebagai air mazi, maka wuduknya telah terbatal, dan perlu membasuhnya.

Tetapi, adalah lebih baik (afdhal) untuk dia menghimpunkan kedua-duanya sekali iaitu mandi wajib dan membasuh bahagian yang terkena air tadi. Bahkan pilihan ketiga ini adalah lebih selamat (ahwat) dan keluar daripada khilaf. Wallahu a’lam.

KESIMPULAN:

1. Terdapat perbezaan hukum yang jelas antara cecair mani dan mazi.
2. WAJIB MANDI WAJIB sekiranya yang keluar adalah cecair mani.
3. TIDAK WAJIB MANDI WAJIB dengan sebab keluar mazi, iaitu cecair yang keluar disebabkan syahwat yang paling rendah (mani adalah air kemuncak syahwat).
4. BATAL WHUDUK sekiranya yang keluar adalah cecair mazi.
5. Sekiranya was-was tidak boleh menentukan antara mani dan mazi, maka pilihlah dengan yakin antara keduanya.
6. Jika masih keliru, lebih baik (afdhal) untuk menghimpunkan kedua-duanya sekali iaitu mandi wajib dan membasuh bahagian yang terkena air serta memperbaharui whuduk jika ingin solat.

RUJUKAN:

1. Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan Al Kafi #357: Perbezaan Air Mani, Mazi Dan Wadi.
2. Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan Al Kafi #1546: Adakah Sah Solat Sekiranya Tidak Pasti Keluar Mazi Ketika Solat.
3. Maktabah Al Bakri #1285: Air Mazi Batalkan Puasa.

Baca juga: Isteri Minta Cerai Sebab Suami Tak Mandi Berhari-Hari, Tak Suka Gosok Gigi…Busuk!

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×