Nur

‘Alamak! Tertelan Kahak..’- Ustaz Azhar Idrus Senaraikan Perkara Batalkan Puasa Andai Anda Terlupa

40
SHARES
telan kahak batal puasa

Sedia maklum semasa kecil lagi, kita telah diajar mengenai hukum dan isu yang membatalkan puasa. Antara perkara membatalkan puasa adalah persetubuhan suami isteri di siang hari. Namun, ada juga perbuatan yang menjadikan seseorang itu kurang pasti hukumnya seperti telan kahak batal puasa, ke?

Kadang-kadang sebagai manusia kita alpa dan lupa mengenai hukum di atas isu tersebut. Kali ini, mari kita mengulang kaji semula hukum fiqah berkenaan perkara membatalkan puasa dengan konteks yang lebih mendalam bersama Ustaz Azhar Idrus.

Baca juga: Ustazah Asma’ Kongsi 10 Tips Penting Dalam Bulan Ramadan, Belum Terlambat Nak Tambah Pahala!

TELAN KAHAK BATAL PUASA KE?

telan kahak batal puasa

FIQAH PUASA BAHAGIAN 6 – PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

A. MAKAN DAN MINUM

Siapa yang sengaja makan dan minum walaupun sedikit ketika sedang berpuasa wajib atau sunat maka puasanya batal. Meninggalkan makan dan minum adalah intipati puasa yang paling penting dalam perintah berpuasa.

Diharuskan makan minum pada waktu malam kerana arti puasa ialah meninggalkan makan minum pada waktu siang.

Firman Allah:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Artinya : “Dan makanlah kamu dan minumlah kamu sehingga nyata bagi kamu benang yang putih dari benang yang hitam yakni waktu subuh telah masuk. Kemudian hendaklah kamu berpuasa sehingga tiba waktu malam.” (Al-Baqarah : 187)

Maka jelas pada ayat ini waktu diharamkan makan minum bagi yang berpuasa ialah dengan masuknya waktu subuh sehingga waktu maghrib.

Dan diharamkan juga makan dan minum ke atas orang yang wajib berpuasa pada hari itu. Walaupun, dia tidak berpuasa seperti orang yang sengaja tidak berniat puasa atau terlupa berniat atau orang yang puasa yang merosakkan puasanya dengan sebab yang lain dari makan dan minum.

1. HUKUM MAKAN ATAU MINUM SEDIKIT SEPERTI SEBIJI NASI ATAU SETITIK AIR

telan kahak batal puasa

Batal puasa seorang yang makan dengan sengaja sekalipun makanan yang dimakan itu sedikit atau air yang sedikit. Contoh sedikit yang boleh membatalkan puasa itu ialah sebiji nasi atau satu biji lada atau setitik air.

Dan sama ada yang dimakan itu makanan atau minuman atau bukan makanan dan minuman seperti ubat atau batu atau pasir atau seumpamanya.

2. HUKUM MAKANAN ATAU MINUMAN YANG BELUM MELEPASI KERONGKONG

Maksud makan dan minum ialah memasukkan makanan atau minuman sampai melepasi had yang batin yaitu kerongkong. Jika tidak melepasi kerongkong seperti makanan atau air hanya berada di dalam mulut sahaja maka tidak membatalkan puasa.

Dan tidak membatalkan puasa jika hanya meletakkan makanan pada bibir mulut atau masuk ke dalam mulut tetapi tidak ditelannya tetapi perbuatan tersebut adalah dimakruhkan jika dengan tiada tujuan.

Oleh itu, orang yang memasak makanan kemudian meletakkan sedikit pada lidahnya kerana merasa makanan tersebut untuk diketahui samada masin atau tawar, umpamanya. Maka, tidaklah membatalkan puasa kecuali ditelannya makanan tersebut.

Sebahagian ulamak memakruhkan merasa makanan seperti ini tetapi mereka tidak mengatakan ia membatalkan puasa.

Wajib berhenti menelan makanan dan minuman apabila telah masuk waktu subuh. Sekalipun belum azan seperti dilihat pada jam bahawa waktu subuh telah masuk dengan yakin kerana azan itu terkadang awal dan terkadang lewat dari waktu subuh yang sebenar.

3. HUKUM MENELAN AIR LIUR DI DALAM MULUT

telan kahak batal puasa

Tidak batal puasa dengan sebab menelan air liur yang berada di dalam mulut sekalipun banyak. Tetapi jika air liur sudah berada di luar mulut seperti berada pada bahagian bibir yang luar lalu ditelannya kembali maka batal puasanya.

Begitu juga batal puasa sebab menelan air liur yang dikeluarkan dari mulutnya diletakkan di dalam umpama cawan kemudian menelannya kembali.

4. HUKUM MENELAN KAHAK!

Demikian lagi tidak batal menelan kahak yang berada di dalam mulut akan tetapi sebaiknya tidak ditelannya kerana ada perselisihan ulamak pada batalnya. Ada pun kahak yang di keluarkan dari dalam dada atau perut lalu dikeluarkannya kepada mulut kemudian ditelannya kembali maka batal puasanya.

Tidak batal menelan kahak yang berada di bahagian dalam kerongkong atau bahagian dada.

5. HUKUM MENELAN SISA MAKANAN & AIR LIUR BERCAMPUR SISA MAKANAN ATAU DARAH GUSI!

Jika ada sisa makanan yang kecil di celah giginya kemudian ditelannya maka, batal puasanya kerana kesengajaannya. Ada pun jika tertelan maka, tidak membatalkan puasa. Demikian lagi batal puasa sengaja menelan air liur yang bercampur dengan sisa makanan atau darah gusi.

Jika terasa manis kesan air minumnya ketika bersahur maka hendaklah diludahnya. Jika ditelan rasa manis itu maka batal puasanya akan tetapi jika sukar hendak dipelihara dari tertelan rasa manis bersama air liurnya maka dimaaf kerana sedikitnya.

B. MAKAN MINUM SELEPAS AZAN SUBUH

telan kahak batal puasa

Jika pada negeri tersebut hanya ada sekali azan subuh maka wajib berhenti makan minum apabila terdengar azan.

Ada pun pada negeri yang ada azan dua kali iaitu sekali sebelum subuh dan sekali lagi bila masuk waktu subuh maka, harus ia meneruskan makan dan minum selepas azan yang pertama. Ini kerana azan pertama bukan menandakan masuk waktu subuh tetapi ia merupakan pemberitahuan waktu bersahur.

Dari Ibnu Umar r.a. katanya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ بِلالا يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ

Artinya : “Sungguhnya Bilal azan ia ketika masih malam. Maka makan dan minumlah kamu sehingga azan pula olih Ibnu Ummi Maktum.” (Hadith Bukhari & Muslim)

Siapa yang masih yakin fajar subuh belum masuk maka harus ia makan dan minum.

Berkata Umar Al-Khattab r.a.:

إذا شك الرجلان في الفجر فليأكلا حتى يستيقنا

Artinya : “Jika dua orang berasa ragu tentang masuknya waktu subuh maka makanlah sehingga yakin olehnya.”

Jika seorang itu telah yakin masuk waktu subuh seperti nampak ia akan fajar, maka wajib dia berhenti makan sekalipun jamnya belum menunjukkan telah masuk waktu atau azan belum dilaungkan.

C. MAKAN MINUM TANPA SENGAJA

telan kahak batal puasa

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:

مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ, فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ, فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ, فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اَللَّهُ وَسَقَاهُ

Artinya : “Siapa yang terlupa dia sedang berpuasa lalu dia makan dan minum maka teruskanlah puasanya kerana sungguhnya Allah memberi ia makan dan minum.” (Hadith riwayat Bukhari)

Jelas dari hadith ini siapa yang makan dan minum dengan tidak sengaja samada pada awal hari puasa atau pertengahannya atau hujungnya dan samada makan minum yang sedikit atau banyak menurut qaul yang lebih sahih di sisi Imam Nawawi dan samada sekali atau beberapa kali terlupa maka puasanya tidak batal dan hendaklah ia teruskan berpuasa.

Menyebut oleh Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi :

فَلَو كثر ذَلِك فَوَجْهَانِ الْأَصَح عِنْد الرَّافِعِيّ يفْطر لِأَن النسْيَان مَعَ الْكَثْرَة نَادِر وَلِهَذَا قُلْنَا تبطل الصَّلَاة بالْكلَام الْكثير وَإِن كَانَ نَاسِيا وَالأَصَح عِنْد النَّوَوِيّ أَنه لَا يفْطر لعُمُوم الأخبار

Artinya : “Maka jikalau tersalah makan minum yang banyak maka ada dua pendapat. Yang lebih sahih di sisi Imam Ar-Rafie ialah membatalkan jika tersalah makan yang banyak kerana banyak itu jarang terjadi. Dan kerana itulah kami berkata dengan batal solat dengan sebab terlupa berkata-kata yang banyak. Dan pendapat yang lebih sahih di sisi Imam Nawawi bahawasanya terlupa makan yang banyak tidak membatalkan puasa kerana umum segala hadith.” (Kitab Kifayatul Akhyar)

Jika ditakdirkan seorang itu lupa sungguh lalu dia makan minum sepanjang bulan Ramadhan sekaliannya maka, puasanya tetap sah tetapi jarang berlaku seperti itu. Dan apabila tidak batal puasa makan dan minum dengan bukan sengaja, maka tidak ada atasnya kewajipan qadha atau membayar kafarah.

Pada hadith riwayat Al-Hakim Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:

مَنْ أَفْطَرَ فِي رَمَضَانَ نَاسِيًا فَلَا قَضَاءَ عَلَيْهِ وَلَا كَفَّارَةَ

Artinya : “Siapa yang berbuka (yakni makan atau minum) pada Ramadhan hal kedaannya terlupa maka tiada qadha atasnya dan tiada kafarah.”

Dan wajiblah orang yang sedang makan minum dalam keadaan lupa ini berhenti menelan makanan atau minuman sebaik sahaja dia teringat sedang berpuasa.

Jika selepas teringat bahawa dia sedang berpuasa lalu dia masih makan atau minum sedikit sahaja, maka batal puasanya dan berdosa. Dan wajib atasnya qadha dan adalah yang membatalkan puasanya ketika itu ialah makannya selepas dia ingat, bukan sebab makannya ketika dia lupa.

1. HUKUM TERTELAN SERANGGA 

Dan seperti itu juga tidak batal puasanya jika tertelan serangga yang sedang terbang atau selain serangga yang masuk ke dalam mulutnya terus tertelan ke dalam perut maka tidak membatalkan puasa.

2. HUKUM MENELAN ANGIN & ASAP

telan kahak batal puasa

Tidak membatalkan puasa menelan angin sekalipun sengaja seperti seorang itu duduk ia di tepi laut dan membuka mulutnya menghadap angin. Hal ini kerana, angin tidak terhitung sebagai jirim. Tetapi batal puasa dengan sebab menelan asap samada asap suatu yang dibakar atau asap rokok.

3. HUKUM SUAMI ISTERI TIDAK SENGAJA BERSETUBUH

Ulama mengkiaskan dengan terlupa pada masalah makan minum itu dengan masalah terlupa melakukan jimak.

Maka tidak juga membatalkan puasa sekalipun jimak ia beberapa kali atau beberapa jam dengan syarat memang dalam kelupaannya. Akan tetapi ketika teringat ia sedang berpuasa, maka wajib atas yang teringat itu sama suami atau isteri atau keduanya mengeluarkan zakar dengan segera.

4. HUKUM TERINGAT PUASA KETIKA BERSETUBUH TETAPI DIDIAMKAN…

Gambar hiasan.

Jika isterinya yang sedang dijimak itu teringat sedang berpuasa tetapi dia diamkan, tidak diberitahu akan suaminya maka batal puasa isteri tersebut dan berdosa tetapi, tidak batal puasa suaminya.

Dan begitu juga jika suami teringat sedang berpuasa tetapi didiamkannya dan meneruskan jimak, maka batal puasa suami dan berdosa tetapi tidak batal puasa isteri.

Tersebut pada Kitab Fathul Qarib:

وأما الجماع ناسيا فكالأكل ناسيا

Artinya : “Dan adapun jimak seorang yang terlupa maka hukumnya sama seperti makan orang yang lupa yakni tidak batal.”

Dan dikiaskan juga dengan terlupa memasukkan suatu benda ke dalam rongga terbuka yang selain mulut maka, tidak membatalkan puasa kerana kelupaannya itu. Semua masalah terlupa dan tersalah yang telah disebut tidak membatalkan puasa dan tidak berdosa.

Firman Allah:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَٰكِنْ مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Artinya: “ Dan tiada atas kamu dosa pada perkara yang kamu tersalah dengannya dan tetapi dosa itu pada perkara yang kamu sengaja olih hatimu. Dan Allah itu adalah Ia maha pengampun dan maha pengasih.” ( Al-Ahzab : 5)

D. BERENANG ATAU MENYELAM KETIKA PUASA

telan kahak batal puasa

Perbuatan berenang atau menyelam ketika berpuasa tidak membatalkan puasa selagi tidak berlaku menelan air atau masuk air ke dalam rongga yang terbuka kepada had batin.

Jika menelan air atau masuk air ke dalam rongga yang terbuka ketika berenang dan menyelam itu maka ia membatalkan puasa. Jika masuk air melalui kulit atau kepalanya yang bukan rongga terbuka maka tidak batal puasanya.

Berkata Syeikh Bujairimi:

قَالَ الْأَذْرَعِيُّ لَوْ عَرَفَ مِنْ عَادَتِهِ أَنَّهُ يَصِلُ الْمَاءُ إلَى جَوْفِهِ مِنْ ذَلِكَ لَوْ انْغَمَسَ وَلَا يُمْكِنُهُ التَّحَرُّزُ عَنْ ذَلِكَ حَرُمَ عَلَيْهِ الِانْغِمَاسُ وَأَفْطَرَ بِذَلِكَ

Artinya : “Telah berkata olih Imam Al-’Azra’ie jika seorang itu sudah tahu pada kebiasaannya akan masuk air kepada perutnya dari yang demikian itu jikalau dia menyelam dan dia tidak mampu memelihara dari masuk air itu maka haram atasnya menyelam dan batal puasanya dengan menyelamnya itu.” (Kitab Hasyiah Bujairimi ‘ala Al-Minhaj)

1. HUKUM UBAT DIMASUKKAN MELALUI KERONGKONG, DUBUR & FARAJ

Demikian juga tidak batal menyuntik ubat ke dalam kulit atau dagingnya yang bukan rongga terbuka. Akan tetapi jika disuntik masuk ubat melalui rongga terbuka seperti masuk ubat itu melalui kerongkongnya atau duburnya atau farajnya maka batal puasanya.

Dan seperti demikian tidak batal mencabut gigi ketika puasa dengan syarat tidak ada menelan ubat atau air ketika proses mencabutnya.

Wallahua’lam, Ustaz Azhar Idrus.

Sumber: Facebook Ustaz Azhar Idrus

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×