Seorang pelajar UiTM (Universiti Teknologi MARA) meninggal dunia selepas mengalami masalah berkaitan haba ketika menyertai satu program cabaran ketahanan di kampus UiTM Jengka, Pahang.
Dalam kejadian itu, lapan lagi peserta turut menerima rawatan di hospital selepas mengalami masalah kesihatan ketika menyertai Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC), kelmarin.
Baca juga: “Cer Ambik Gambo” – Ucapan Sultan Perak Ketika Di MAHA Cuit Hari Rakyat, Pekat Betul Loghat Tuanku!
SEORANG PELAJAR UiTM MAUT KOMANDER KESATRIA ENDURANCE CHALLENGE

Foto: Mangsa yang maut.
Menurut laporan Berita Harian, mangsa, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, pada tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, berkata Fadhlan Fakhry merupakan antara dua pelajar yang mendapatkan rawatan di HoSHAS.
Menurutnya, tujuh lagi peserta pula menerima rawatan di Hospital Jengka.
Mengalami masalah berkaitan haba

Foto hiasan.
Hasil pemeriksaan awal mendapati pelajar terbabit mengalami masalah kesihatan berkaitan haba, termasuk kekurangan oksigen ketika menyertai acara ketahanan berkenaan.
Bagaimanapun, pihak polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui perkembangan lanjut berhubung punca kematian mangsa.
“Perkembangan lanjut akan diberikan selepas menerima laporan bedah siasat Fadhlan Fakhry,” katanya.
Fadhlan Fakhry difahamkan mewakili UiTM Negeri Sembilan dalam pertandingan berkenaan dan merupakan pelajar tahun akhir program diploma di kampus UiTM Seremban.
UiTM ucap takziah, batalkan aktiviti luar
Dalam pada itu, UiTM Pahang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Fadhlan Fakhry serta menyediakan bantuan yang diperlukan.
Pihak universiti turut menggerakkan bantuan bagi menguruskan urusan berkaitan jenazah, dokumentasi, pengangkutan serta sokongan emosi kepada keluarga mangsa.
Menurut UiTM, KKEC merupakan program tahunan yang menghimpunkan peserta Komander Kesatria dari cawangan UiTM seluruh negara. Program berkenaan dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 8 September di kampus UiTM Cawangan Pahang di Jengka.
Pihak universiti memaklumkan program tersebut dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan.
Semua peserta juga diwajibkan menjalani saringan kesihatan sebelum program bermula, selain pemeriksaan kesihatan secara berkala sebelum setiap acara.
Malah, beberapa peserta sebelum ini telah diminta menarik diri selepas gagal dalam saringan akhir.
Susulan kejadian berkenaan, pihak penganjur mengambil keputusan untuk membatalkan semua aktiviti luar KKEC yang dijadualkan hari ini sebagai langkah keselamatan.
UiTM turut memaklumkan pihaknya mengambil serius kejadian berkenaan dan akan terus memantau keadaan bagi memastikan kebajikan serta keselamatan semua peserta terpelihara.
Untuk rekod, KKEC merupakan pertandingan ketahanan fizikal dan mental yang dianjurkan bagi menguji pelbagai aspek keupayaan peserta. Antaranya termasuk kekuatan fizikal, kemahiran taktikal, ketangkasan serta kebolehan bekerja dalam pasukan.
Program tersebut melibatkan penyertaan Komander Kesatria dari pelbagai cawangan UiTM di seluruh negara.
Sumber: Berita Harian
