Euforia Bola 2026
Famili

“Anak Saya Sihat”– Bapa Penuntut UiTM Sebak, Anak Meninggal Dunia Selepas Rebah Ketika Sertai KKEC

strok haba

Ujian ketahanan yang sepatutnya menjadi rutin buat seorang penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertukar tragedi, apabila dia dipercayai mengalami strok haba sebelum rebah ketika menyertai Cabaran Ketahanan Komander Kesatria (KKEC) di UiTM Jengka pada 4 September lalu.

Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, yang juga penuntut Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi UiTM Kampus Seremban, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, kira-kira jam 2 petang Sabtu.

Baca juga: Sikit Lagi Nak Kena Sakau RM10K! Tindakan Pantas Pemandu E-Hailing Selamatkan Nenek Dari ‘Love Scam’

DIPERCAYAI STROK HABA, PENUNTUT UiTM REBAH KETIKA KKEC

strok haba

Gambar T. N. Alagesh: Mohamad Fellimal menunjukkan gambar terakhir yang dirakam bersama anak lelakinya ketika majlis pentauliahan Leftenan Muda Kesatria di UiTM Shah Alam.

Bapanya, Mohamad Fellimal Mohd Sulanah, 50, berkata Fadhlan Fakhry bukanlah pertama kali menyertai cabaran berkenaan kerana dia pernah mengambil bahagian dalam dua edisi terdahulu.

Menurutnya, anaknya berada dalam keadaan sihat sebelum menyertai KKEC tahun ini, malah cukup bersedia memandangkan minatnya yang mendalam dalam bidang sukan.

“Anak saya sangat meminati bidang sukan dan telah membuat persiapan mencukupi untuk menyertai acara ini. Dia berjaya menamatkan cabaran pada dua edisi lalu, malah pasukannya menjadi antara pemenang pada tahun lepas.

“Saya dimaklumkan bahawa anak saya kelihatan lemah apabila semakin menghampiri garisan penamat dalam acara pada Jumaat dan hampir rebah sebelum dikejarkan ke fasiliti perubatan di UiTM Jengka,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HOSHAS semalam.

Janji nak telefon selepas tamat acara

Fellimal berkata, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya adalah menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira jam 6.55 petang pada 4 September.

Dalam perbualan itu, Fadhlan Fakhry berjanji untuk menelefonnya selepas selesai menyertai acara ketahanan berkenaan pada sebelah malam.

Namun, kira-kira jam 11 malam, Fellimal menerima panggilan daripada pegawai UiTM yang memaklumkan anaknya sudah dibawa ke Hospital Jengka.

“Kira-kira jam 11 malam, saya menerima panggilan daripada pegawai UiTM yang memaklumkan bahawa anak saya dibawa ke Hospital Jengka. Saya amat terkejut.

“Ketika saya dan isteri berbincang sama ada mahu bertolak ke Hospital Jengka, saya menerima satu lagi panggilan kira-kira tengah malam memaklumkan anak saya telah dipindahkan ke HOSHAS jadi kami terus bertolak dari Shah Alam dan tiba di sini kira-kira jam 3.30 pagi,” katanya.

Baca juga: Kanak-Kanak 12 Tahun Maut Dihimpit Dua Lori, Selepas Sebuah Kereta Brek Mengejut Di Lampu Isyarat

strok haba

Gambar ihsan dari Mohamad Fellimal yang berdiri di sebelah Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana.

Keluarga kemudian dibenarkan melihat Fadhlan Fakhry dari jarak jauh di katilnya di zon merah. Ketika itu, anaknya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan sedang menerima rawatan selepas dipercayai mengalami strok haba.

Fellimal yang turut membantu mengendalikan sebuah kelab ragbi komuniti berkata, pertemuan terakhirnya bersama Fadhlan Fakhry berlaku pada majlis pentauliahan dan konvokesyen Leftenan Muda Kesatria di UiTM Shah Alam pada 29 Ogos lalu.

“Kami mengambil banyak gambar pada majlis itu dan itulah kenangan terakhir saya serta isteri bersamanya. Dia berada di UiTM selama kira-kira seminggu untuk menjalani latihan dan perbarisan (kawat) sebelum bertolak dari Shah Alam ke UiTM Jengka pada 1 September.

“Anak saya baru sahaja menamatkan pengajian diploma selama tiga tahun dan merancang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, namun kejadian ini pula berlaku,” katanya dengan nada sebak.

Lapan peserta lain turut menerima rawatan

Jenazah Fadhlan Fakhry dibawa ke Masjid Denai Alam untuk disolatkan selepas prosedur bedah siasat selesai kira-kira jam 2.30 pagi dan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina.

Dalam kejadian KKEC pada 4 September lalu, Fadhlan Fakhry dipercayai mengalami masalah kesihatan berkaitan haba bersama lapan peserta lain.

Kesemua lapan pelajar berkenaan turut dimasukkan ke HOSHAS dan Hospital Jengka bagi mendapatkan rawatan.

Sumber: Harian Metro

FT Image: Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×