Nur

Ustazah Asma’ Harun Kongsi Keistimewaan Nuzul Al-Quran, Surat Cinta Terbaik Sepanjang Zaman!

82
SHARES
nuzul al-quran

Melalui rujukan daripada laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, secara teknikalnya Nuzul Al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali.

Al-Quran merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad S.A.W. Menurut perkongsian Ustazah Asma’ Harun, Al-Quran satu-satunya mukjizat yang masih kekal dan akan kekal sehingga ke hari akhirat. Subhanallah sungguh besar kekuasaan Allah S.W.T.

Baca juga: Ustaz Wadi Annuar Kongsi 6 Ganjaran Orang Berpuasa, Pahala Besar Dari Allah SWT

NUZUL AL-QURAN

nuzul al-quran

AL-QURAN SURAT CINTA PALING MANIS DAN INDAH SEPANJANG ZAMAN

Al-Quran ialah wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril secara mutawatir (berperingkat). Di dalamnya terkandung kisah umat-umat terdahulu, akhlak yang perlu dicontohi, syariat yang perlu diikuti dan sebagainya. Ia menjadi panduan kehidupan bagi seluruh umat Islam.

Firman Allah SWT:

ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa” (Surah al-Baqarah: ayat 2)

nuzul al-quran

Al-Quran adalah satu-satunya mukjizat yang kekal sehingga ke hari akhirat. Berbanding mukjizat-mukjizat lain yang bersifat sementara waktu sahaja.

Sebagai contoh, mukjizat lain bagi Nabi Muhammad adalah membelah bulan, keluarnya air daripada celah-celah jarinya dan sebagainya hanya tertumpu pada waktu itu sahaja. Berbeza dengan mukjizat al-Quran, ia paling agung dan kekal.

PERINGKAT PENURUNAN AL-QURAN

Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia secara sekali gus (30 juzuk) dan kemudian diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur mengikut suasana dan keperluan selama 23 tahun.

nuzul al-quran

Nabi Muhammad SAW menyebutkan bahawa jika seseorang itu berpegang al-Quran dan sunnah baginda, maka dia tidak akan sesat selama-lamanya.

تَركْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ، لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللَّهِ، وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi SAW).” (HR Malik, hadis sahih)

NUZUL AL-QURAN DALAM BULAN RAMADAN

Ramadan merupakan bulan yang amat mulia kerana di dalamnya berlaku proses penurunan al-Quran.

Firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah: ayat 185)

Di dalam Tafsir Ibnu Kathir menyatakan:

“(Dalam ayat ini) Allah SWT memuji bulan puasa -iaitu bulan Ramadan- dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain kerana bulan ini telah dipilih oleh Allah untuk diturunkan al-Quran, tidak pada bulan-bulan lain.”

KEISTIMEWAAN AL-QURAN KEPADA PEMBACANYA

nuzul al-quran

Gambar hiasan – AlMukhlisin

1. PUASA DAN AL-QURAN AKAN MEMBERI SYAFAAT

Nabi Muhammad SAW bersabda:

الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ الصِّيَامُ أَيْ رَبِّ مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ وَيَقُولُ الْقُرْآنُ مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ قَالَ فَيُشَفَّعَانِ

Maksudnya: “Puasa dan al-Quran kelak pada hari kiamat akan memberi syafaat kepada seorang hamba. Puasa berkata, Duhai Rabb, aku telah menahannya dari makanan dan nafsu syahwat di siang hari, maka izinkahlah aku memberi syafaat kepadanya. Dan al-Quran berkata, aku telah menahannya dari tidur di malam hari, maka izinkanlah aku memberi syafaat kepadanya. Beliau melanjutkan sabdanya: maka mereka berdua (puasa dan al-Quran) pun akhirnya memberi syafaat kepadanya.” (HR Ahmad, hadis hasan)

Di dalam hadis lain yang diriwayatkan daripada Abu Umamah Al-Bahili bahawa Nabi SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya.” (HR Muslim, hadis sahih)

2. MENDAPAT SEPULUH KEBAIKAN

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. (HR al-Tirmizi, hadis hasan sahih)

3. TETAP MENDAPAT GANJARAN PAHALA WALAUPUN TIDAK LANCAR

Daripada `Aisyah r.a., Rasulullah SAW pernah bersabda:

الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ

Maksudnya: “Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan sentiasa taat kepada Allah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.” (HR Muslim, hadis sahih)

4. SEBAIK-BAIK MANUSIA IALAH YANG BELAJAR AL-QURAN DAN MENGAJARKANNYA

Daripada Uthman bin Affan RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”. (HR Bukhari, hadis sahih)

NUZUL AL-QURAN: KISAH RASULULLAH BERTADARUS DI BULAN RAMADAN

nuzul al-quran

Apabila menjelang Ramadan, malaikat Jibril a.s. akan datang menemui Nabi Muhammad SAW untuk memperdengarkan bacaannya.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a.:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام يَلْقَاهُ كُلَّ لَيْلَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ يَعْرِضُ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ

Maksudnya: “Nabi SAW merupakan orang yang paling pemurah dengan kebaikan dan sifat pemurahnya semakin memuncak dalam bulan Ramadan, ketika Jibril menemui Baginda. Jibril a.s. menemui Baginda setiap malam di bulan Ramadan sehinggalah selesai Nabi Muhammad SAW memperdengarkan al-Quran kepadanya. Ketika Jibril a.s. datang, Baginda memberikan kebaikan melebihi angin mursalah (yang bertiup atau yang dikirimkan).” (HR Bukhari, hadis sahih)

Di dalam hadis lain ada dinyatakan kelebihan bertadarus al-Quran (membaca al-Quran sambil disemak oleh orang lain).

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Tidaklah sekelompok orang berkumpul di suatu masjid (rumah Allah) untuk membaca al-Quran, melainkan mereka akan diliputi ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya.” (HR Muslim, hadis sahih)

TADARUS ATAU TADABBUR LEBIH BAIK?

nuzul al-quran

Gambar hiasan – Berita Harian / Faiz Anuar

Sahabat, kita telah membincangkan kemuliaan al-Quran. Saya percaya, pasti ramai yang berlumba-lumba ingin mengkhatamkan al-Quran di bulan mulia ini. Dari sini muncul satu persoalan, antara tadarus al-Quran dan tadabbur, manakah yang lebih utama untuk dilakukan ketika bulan Ramadan?

Tadarus ialah membaca al-Quran secara berkumpulan sambil disemak tajwid bacaannya oleh ahli tadarus. Manakala, tadabbur pula merupakan usaha untuk memahami dan mencari makna disebalik zahir sesuatu ayat al-Quran.

Tadabbur tidak terhad kepada individu-individu tertentu. Tujuan penurunan al-Quran itu sendiri adalah untuk diambil iktibar dan diamalkan.

Firman Allah SWT:

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: (Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar. (Surah Sod: ayat 29)

Bagi situasi begini, kita perlulah melihat kepada peribadi seseorang itu. Jika beliau sering mempelajari al-Quran serta rajin menghadiri kelas-kelas tafsir atau tadabbur sebelum bulan Ramadan, maka digalakkan baginya mengkhatamkan al-Quran ketika Ramadan.

Manakala jika seseorang itu jarang meluangkan masa untuk membaca dan mempelajari al-Quran sebelum bulan Ramadan, maka digalakkan baginya membaca al-Quran secara tadabbur supaya dapat memahami isi al-Quran.

Wallahu a’lam.

Sahabat, bersempena dengan Nuzul al-Quran, tingkatkanlah usaha kita untuk membaca dan mempelajari al-Quran.

Nabi Muhammad SAW memberi gambaran orang beriman yang membaca al-Quran seperti sebuah buah yang mempunyai rasa yang sedap dan bau yang wangi, sepertimana yang disebut di dalam hadis:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالأُتْرُجَّةِ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ، وَالَّذِي لاَ يَقْرَأُ كَالتَّمْرَةِ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلاَ رِيحَ لَهَا، وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الرَّيْحَانَةِ، رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ، وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الْحَنْظَلَةِ، طَعْمُهَا مُرٌّ وَلاَ رِيحَ لَهَا ‏”‏‏.

Maksudnya: “Perumpamaan orang yang beriman yang membaca al-Quran ialah seperti buah Utrujah (buah limau) , yang baik rasanya dan baik baunya. Dan perumpamaan orang yang beriman yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah tamar (kurma), mempunyai rasa yang baik tetapi tidak berbau. Dan perumpamaan orang munafik yang membaca al-Quran ialah seperti buah Raihana (kemangi), yang baik baunya tetapi pahit rasanya. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah Hanzalah (labu pahit), pahit rasanya dan tiada apa-apa bau. ” (HR Bukhari, hadis sahih)

Mari amalkan doa ini agar al-Quran sentiasa menjadi sahabat dunia akhirat kita:

الّلَهُمَ ارْحَمْنَا بِالْقُرْآن، واجْعَلْهُ لَنَا إمَامَاً وَنُوْرَاً وَهُدَىً ورحمةً الّلَهُمَ ذَكِّرْنَا مِنْهُ مَا نسيْنَا، وَعَلِّمْنَا مِنْهُ مَا جَهِلْنَا وَارْزُقْنَا تِلَاوَتَهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَأطْرَافَ الْنَهَار واجْعَلهُ لَنَا حُجَّةٌ يَا ربَّ الْعَالَمِيْن

Maksudnya: “Ya Allah rahmatilah kami dengan al-Quran, dan jadikanlah ia sebagai imam, cahaya, petunjuk, serta rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami daripadanya apa yang telah kami dilupakan, dan ajarkan kami darinya apa yang kami jahil serta rezekikanlah kami untuk membacanya siang dan malam, dan jadikanlah ia sebagai hujah kepada kami wahai Tuhan sekalian alam.”

Senarai Rujukan:

1. https://muftiwp.gov.my/…/3322-al-kafi-1226-perbezaan…
2. https://muftiwp.gov.my/…/4036-al-kafi-1549-hukum…
3. https://muftiwp.gov.my/…/3434-irsyad-al-fatwa-khas…
4. https://muftiwp.gov.my/…/4529-irsyad-al-hadith-siri-ke…

Semoga bermanfaat buat ummah. 

Sumber: Facebook Ustazah Asma’ Harun

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×