Taaruf merupakan kaedah paling selamat yang digariskan Islam untuk mencari jodoh antara lelaki dan wanita, sebelum menuju ke fasa seterusnya (jika ada kesefahaman bersama) iaitu menikah. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir individu yang belum beberapa faham akan konsep dan sesi taaruf yang disyorkan agama ini.
Melalui perkongsian bermanfaat Asmah Chem, terdapat beberapa proses yang dilakukannya dan suami dalam sesi taaruf sebelum bersetuju untuk bernikah. Justeru itu, mari ikuti pengalaman beliau di bawah.
Baca juga: Boleh Ke Kain Kafan Jenazah Selain Warna Putih? Ustaz Cakap Harus Kalau Kena Syarat Ini!
SESI TAARUF & PROSESNYA

Gambar: Ihsan penulis.
Sebenarnya ramai yang tak faham konsep ta’aruf. Bila baca komen, ramai yang percaya bercinta sebelum nikah adalah jalan terbaik mengenali pasangan. Malah, ada yang kata tindakan saya menyelidik melalui keluarga dan sahabat-handai adalah “psycho”.
Sebenarnya taaruf adalah jalan yang sebenar. Ia dilakukan sejak di zaman para sahabat. Tidak ada konsep bercinta sebelum nikah di dalam Islam.
Memang tak dinafikan, berkahwin dengan orang yang tidak dikenali adalah bahaya! Oleh sebab itu, taaruf dengan menyiasat latar belakang pasangan dan ahli keluarganya semasa taaruf adalah langkah yang digariskan oleh Islam.
Penyiasatan boleh sahaja dilakukan oleh wali, ibu bapa calon suami atau isteri, ataupun calon itu sendiri yang melakukan penyiasatan.
Baca juga: Ingatkan Tak Boleh, Mesti Ramai Terkejut Lepas Tahu Hukum Wanita Baca Quran Tak Tutup Aurat!
PERJALANAN TAARUF MELALUI 15 PROSES DILAKUKAN ASMAH CHEM
Saya bagi contoh perjalanan taaruf saya. Oleh kerana saya bukanlah dijodohkan oleh ibu bapa, maka saya melakukan penyiasatan sendiri.
Mungkin sesetengah wanita menggunakan orang tengah untuk menyiasat, tapi tidak pada saya. Saya hanya akan berpuas hati jika menyiasatnya secara langsung.
Saya ringkaskan, beberapa perkara yang saya buat dalam tempoh taaruf.
Baca juga: Nak Rujuk Dalam Tempoh Iddah, Boleh Ke Berlaku Dengan Hanya Syahwat? Ini Kata Mufti!
1. Pihak lelaki sampaikan hasrat ingin bertaaruf melalui email
Saya tak kenal suami. Kali pertama bertemu dalam program muallaf, di Kajang.
Selesai program, suami berminat bertaaruf dengan saya dan beliau mengirim email menyampaikan hasrat untuk bertaaruf (beliau menyemak alamat email saya melalui borang penyertaan).
2. Minta maklumat peribadi dan buat carian latar belakang di medial sosial
Apabila suami mengajak taaruf, perkara pertama saya lakukan adalah meminta personal details, gambar beserta jawapan kepada soalan-soalan berkait.
Kemudian, saya buat carian latar belakang beliau di Google, Facebook atau apa sahaja media sosial yang wujud ketika itu.
3. Selidik maklumat dengan rakan sekerjanya
Saya mendapat tahu beliau merupakan tenaga pengajar di Hidayah Center ketika itu.
Maka, saya hubungi akhawat yang terlibat dalam kerja dakwah beliau dan bertanya sekiranya saya boleh mendapatkan maklumat mengenai beliau.
4. Bertanyakan maklumat daripada pelajarnya
Saya menjemput pelajar-pelajar mualaf beliau datang ke rumah saya. Saya bertanya tentang ‘ustaz’ mereka adakah rapat dengan pelajar wanita, pernah keluar dengan pelajar wanita dan lain-lain.
Kebetulan salah seorang pelajar beliau bernama Mei Ling akan berpindah ke Shah Alam dan tiada tempat tinggal, saya offer tinggal bersama saya buat seketika.
Dari Mei Ling, terlalu banyak cerita yang saya dapat kerana Mei Ling tertarik dengan Islam kerana dakwah beliau. Mei Ling mempelajari Islam selama 5 tahun dengan beliau. Segala kelemahan beliau diceritakan oleh Mei Ling (sepanjang pengetahuannya).
5. Istikharah selama sebulan sebelum setuju bertaaruf
Saya istikharah selama sebulan, barulah saya bersetuju untuk taaruf melibatkan keluarga.
6. Taaruf melalui email
Sepanjang taaruf, kami bersoal jawab melalui email sahaja. Lebih mudah untuk bertanya dan menjelaskan tentang sesuatu perkara, secara lengkap.
Saya bertanya tentang latar belakang, penyakit yang dihidapi (jika ada), perancangan masa hadapan dan perkara-perkara yang diingini atau dibenci pada pasangan.
Saya meminta nombor telefon ahli keluarga untuk dihubungi.
7. Menghubungi keluarga pihak lelaki
Saya berhubung dengan anak saudara beliau (Nadia) dan bertanya tentang banyak perkara berkaitan gaya hidup dan lain-lain.
Saya juga menghubungi ibu beliau untuk klarifikasi status beliau atau perkara berkait.
8. Dapatkan maklumat pegangan fiqh dari sahabatnya
Saya menghubungi sahabat dakwah yang mengenali beliau dan bertanya tentang pegangan beliau berkait hukum-hukum fiqh. Bimbang tak sehaluan.
Terus-terang, saya tak berminat kepada lelaki ahli tarikat atau lelaki yang taksub jemaah.
9. Ambil tahu tentang pekerjaannya
Saya bertanya tentang pekerjaannya, selain menulis buku-buku dakwah dan mengajar mualaf.
Beliau tanpa segan silu bercerita kerja-kerja sampingan yang dilakukan termasuk membuat kuih dan muffin untuk dibekalkan ke sekolah-sekolah sekitar Bangi setiap pagi.
10. Buat saringan kesihatan
Kami bersepakat membuat saringan kesihatan menyeluruh sebelum taaruf diteruskan ke peringkat seterusnya. Alhamdulillah, hasil saringan baik di kedua belah pihak.
Baca juga: Trend ‘GRWM’ Di Media Sosial Makin Melampau, Hijabis Tak Malu Siap Tunjuk Tengah Butang Baju!

Gambar hiasan: Ihsan penulis
11. Ahli keluarga mula datang rumah
Ahli keluarganya datang ke rumah ibu bapa saya. Ibunya menginap selama 3 hari di rumah saya (hanya ibunya sahaja).
12. Seminggu kemudian datang meminang
Selepas 3 hari, ibunya pulang dan datang semula selang seminggu kemudian untuk meminang saya.
13. Baru mula guna WhatsApp untuk berhubung berkaitan hal penting
Kami menguruskan permohonan nikah, menetapkan tarikh dan lain-lain perkara.
Waktu ini, barulah kami gunakan WhatsApp sebagai medium berhubung. WhatsApp perkara penting sahaja, tidak melibatkan hal-hal lain.
14. Hanya 2 kali berjumpa atas urusan proses nikah
Perjumpaan sebanyak 2 kali sahaja sepanjang menguruskan permohonan nikah, ditemani sahabat baik.
15. Berkahwin
Berkahwin pada tarikh yang ditetapkan. Tiada wang hantaran, tiada dulang hantaran, malah tiada cincin atau barang kemas. Hanya mas kahwin sahaja.
Begitulah serba sedikit, saya gunakan masa berbulan-bulan untuk menyiasat latar belakang pasangan. Tiada perasaan cinta yang terlibat.
Islam sudah menggariskan kaedah paling selamat. Taaruf dan selidik latar belakang pasangan dan keluarga. Istikharah. Selebihnya tawakkal.
Simple, tapi tak ramai yang pilih kaedah yang digariskan Islam sebagai cara hidup. Insha Allah.
Baca juga:
Sumber: Asmah Chem
FT Image: Ihsan penulis