Sosok Pengiran Raabiatul Adawiyyah Pengiran Haji Bolkiah sebelum ini cukup dikenali dalam kalangan masyarakat Brunei Darussalam, khususnya sebagai isteri kepada Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Malik.
Wanita berusia 22 tahun ketika mendirikan rumah tangga dengan putera Sultan Hassanal Bolkiah itu turut mendapat perhatian kerana latar belakang pendidikan agama serta pencapaiannya dalam bidang pembacaan al-Quran.
KENALI PENGIRAN RAABIATUL ADAWIYYAH PENGIRAN HAJI BOLKIAH

Hasil perkahwinan tersebut, pasangan diraja berkenaan dikurniakan empat cahaya mata.
Berikut merupakan 10 fakta mengenai Pengiran Raabi’atul:
1. Anak kedua daripada 10 adik-beradik
Pengiran Raabi’atul merupakan anak kedua dalam keluarga yang mempunyai 10 orang adik-beradik. Beliau juga mempunyai latar keturunan bangsawan daripada sebelah keluarga ibu dan bapanya.
2. Terima pendidikan agama sejak kecil
Didikan berkaitan agama telah diterapkan dalam kehidupan Pengiran Raabi’atul sejak usia muda. Ibunya sendiri merupakan seorang guru agama yang memainkan peranan dalam memberikan asas pendidikan tersebut.
3. Mempunyai kemahiran tinggi membaca al-Quran
Keupayaannya dalam pembacaan al-Quran membuahkan kejayaan apabila Pengiran Raabi’atul muncul sebagai juara pertandingan membaca kitab suci al-Quran pada tahun 2005 dan sekali lagi pada 2008.
4. Pernah mewakili Brunei dalam pertandingan antarabangsa
Kemahiran membaca al-Quran yang dimilikinya turut membawa Pengiran Raabi’atul ke pentas antarabangsa.
Beliau pernah mewakili Brunei dalam pertandingan Muslimah World 2013 yang berlangsung di Republik Indonesia dan berjaya meraih gelaran Pembaca al-Quran Terbaik.
5. Bertunang dengan Pengiran Muda Abdul Malik
Hubungan Pengiran Raabi’atul dengan Pengiran Muda Abdul Malik mendapat perhatian apabila pertunangan mereka diumumkan pihak istana pada 11 Januari 2015.
Ketika itu, Pengiran Raabi’atul dilaporkan berusia 22 tahun dan bakal menjadi isteri kepada anakanda kelima Sultan Brunei.
6. Pernikahan diraja berlangsung selama 11 hari
Majlis perkahwinan pasangan tersebut berlangsung dalam suasana penuh adat istiadat diraja selama 11 hari.
Pesta pernikahan berkenaan diadakan dari 5 hingga 15 April 2015, manakala istiadat pernikahan berlangsung pada 12 April tahun sama.
7. Dikurniakan gelaran kehormat selepas pernikahan
Susulan istiadat pernikahan tersebut, Pengiran Raabi’atul menerima gelaran kehormat Yang Amat Mulia serta gelaran Pengiran Anak Isteri Pengiran.
Gelaran berkenaan diberikan selepas beliau secara rasmi bergelar isteri kepada Pengiran Muda Abdul Malik.
8. Dikurniakan empat orang cahaya mata
Sepanjang perkahwinan, pasangan diraja tersebut dikurniakan empat orang puteri. Keempat-empat anak mereka dilaporkan berada dalam lingkungan usia antara satu hingga 10 tahun.

9. Kepakaran dalam bidang teknologi maklumat
Selain latar pendidikan agama, Pengiran Raabi’atul turut mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi, komunikasi dan maklumat.
Beliau pernah memperoleh beberapa pensijilan berkaitan teknologi termasuk Internet and Computing Core Certification, Microsoft Office Specialist serta Adobe Certified Certificate.
10. Pernah bekerja sebagai penganalisis data sistem
Pengiran Raabi’atul juga mempunyai pengalaman dalam bidang pekerjaan sebelum bergelar anggota kerabat diraja.
Beliau difahamkan pernah berkhidmat sebagai Analis Data Sistem pada 2012 sebelum meneruskan kerjaya sebagai pengajar dalam bidang teknologi maklumat pada tahun berikutnya.
Gelaran diraja ditarik balik serta-merta
Perkembangan terbaharu dari Istana Darul Iman menyaksikan gelaran Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri yang pernah dikurniakan kepada Pengiran Raabi’atul ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan tersebut dibuat susulan kelakuan yang didakwa tidak melayakkan beliau memegang kedudukan sebagai pasangan kerabat diraja.
Perkara itu turut dikaitkan dengan tindakan yang dikatakan mencemarkan nama baik serta tidak menghormati Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Raja Isteri serta kerabat diraja.
Baca juga: Abang Kantin ‘All Out’ Sediakan Menu RMT Penuh Nutrisi, Kemas Dalam Bekas Bertutup Curi Perhatian!
Sumber: Media Permata
