Euforia Bola 2026
Nur

Bolehkah Bernikah Selepas Zina Tanpa Bertaubat? Ini Penjelasan Hukum Yang Perlu Difahami

zina sebelum kahwin

Isu berkaitan pasangan zina sebelum kahwin sering menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat. Antaranya, adakah perkahwinan yang dilakukan selepas berlakunya perbuatan tersebut dianggap sah sekiranya individu terbabit belum sempat bertaubat?

Baca juga: “Bapa Juga Boleh Derhaka?”- Ini Teguran Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri Tentang ‘Dosa’ Ibu Bapa Kepada Anak

ZINA SEBELUM KAHWIN, PERKAHWINAN SAH ATAU TIDAK

ZINA SEBELUM KAHWIN

Dalam Islam, zina merupakan salah satu dosa besar yang ditegah oleh Allah SWT. Namun, para ulama mempunyai perbezaan pandangan dalam menentukan sama ada taubat menjadi syarat sah sebelum seseorang penzina berkahwin.

Menurut penjelasan para ulama, terdapat dua pandangan utama berhubung isu ini. Pandangan pertama menyatakan bahawa seseorang yang pernah melakukan zina perlu bertaubat terlebih dahulu sebelum berkahwin.

Pendapat ini dinisbahkan kepada beberapa sahabat seperti Saidina Ali RA, Al-Bara’, Saidatina Aisyah RA dan Abdullah bin Mas’ud RA serta sebahagian ulama dalam mazhab Hanbali.

Pandangan ini bersandarkan firman Allah SWT dalam Surah An-Nur ayat 3 yang menyebut bahawa lelaki dan wanita yang berzina tidak berkahwin melainkan dengan pasangan yang berzina atau golongan musyrik.

Berdasarkan pandangan ini, seseorang yang benar-benar bertaubat daripada perbuatan zina dianggap telah meninggalkan dosa tersebut dan kembali kepada keadaan yang lebih baik untuk melangsungkan perkahwinan.

Manakala pandangan kedua pula menyatakan bahawa taubat bukanlah syarat untuk menjadikan perkahwinan seseorang penzina itu sah.

Pandangan ini merupakan pendapat majoriti ulama termasuk pandangan yang dikaitkan dengan empat mazhab utama, termasuk mazhab Syafie yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di Malaysia.

Menurut pandangan ini, seseorang yang pernah melakukan zina masih boleh berkahwin dan akad nikah tersebut tetap sah selagi memenuhi syarat-syarat sah pernikahan seperti adanya wali, saksi dan ijab kabul.

Antara hujah yang digunakan ialah firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa ayat 24 yang menjelaskan bahawa selain golongan wanita yang telah diharamkan untuk dinikahi, maka yang selain itu adalah halal.

Selain itu, terdapat riwayat bahawa Saidina Umar RA pernah menghukum pasangan yang berzina dan berusaha menyatukan mereka dalam perkahwinan.

ZINA SEBELUM KAHWIN

Zina tetap dosa besar walaupun perkahwinan sah

Walaupun terdapat perbezaan pandangan mengenai syarat taubat sebelum berkahwin, para ulama sepakat bahawa zina merupakan perbuatan yang dilarang dan wajib dijauhi.

Seseorang yang pernah melakukan zina tetap disarankan untuk segera bertaubat dengan sebenar-benar taubat sebelum membina rumah tangga. Taubat bukan sahaja sebagai usaha memohon keampunan daripada Allah SWT, malah sebagai persediaan untuk memulakan kehidupan berumah tangga dengan lebih baik.

Perkahwinan dalam Islam merupakan satu ibadah, justeru seseorang Muslim perlu berusaha memperbaiki diri dan meninggalkan perkara yang dilarang sebelum memulakan fasa kehidupan baharu.

Rasulullah SAW juga mengingatkan umat Islam agar mengutamakan agama dalam memilih pasangan kerana ia menjadi asas penting dalam membina keluarga yang bahagia.

Baca juga: Ibu Tetap Syurga, Suami Pula Ketua Keluarga…Jadi Siapa Patut Didahulukan Selepas Kahwin?

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×