BH Didik akan diterbitkan bermula Selasa ini sebagai bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk murid sekolah rendah serta pelajar sekolah menengah.
Penerbitan semula sisipan pendidikan itu memberi tumpuan kepada penyediaan bahan pembelajaran yang berkualiti, selain membantu murid mengikuti perkembangan isu semasa dalam dan luar negara.
BELAJAR LEBIH BIJAK DENGAN BH DIDIK

Antara fokus utama Didik ialah menyediakan kandungan yang boleh dimanfaatkan sebagai persediaan menghadapi Matriks Pembelajaran Tahun Empat bagi sekolah rendah dan Matriks Pembelajaran Tingkatan 3 bagi sekolah menengah.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (Kota Buku), Adibah Omar, berkata kemunculan semula Didik membuktikan akhbar masih mempunyai peranan sebagai medium pendidikan walaupun pembelajaran kini semakin dipengaruhi teknologi digital.
Menurutnya, kerjasama Kota Buku bersama BH dalam membekalkan akhbar ke hampir 7,000 sekolah turut menunjukkan bahan bacaan bercetak masih relevan dalam pendidikan.
“Bahan bacaan berkenaan membantu Kementerian Pendidikan (KPM) mencapai matlamat melahirkan murid yang berpengetahuan serta peka terhadap isu semasa.
“Sebagai bekas guru, saya memahami kegusaran warga pendidik yang sentiasa memerlukan bahan bacaan terkini untuk digunakan dalam pengajaran di bilik darjah.
“Apabila akhbar dibekalkan ke sekolah, ini menjadi sumber pendidikan yang sangat bernilai kerana guru boleh mengaitkan pelbagai isu semasa dengan pembelajaran, sekali gus menjadikan proses PdP lebih menarik dan bermakna,” katanya kepada BH.
Selain melengkapkan pembelajaran berasaskan buku teks, Didik turut mendedahkan murid kepada pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, sains dan teknologi.
Pendedahan itu dapat membantu murid memperluas pengetahuan serta menghubungkan ilmu yang dipelajari di dalam kelas dengan perkembangan dunia sebenar.

Penggunaan akhbar secara kreatif
Dalam masa sama, penggunaan akhbar secara kreatif dalam bilik darjah seperti perbincangan, analisis berita, keratan akhbar dan pembentangan dilihat mampu meningkatkan penglibatan murid serta minat membaca.
Adibah turut menjelaskan bahawa akhbar mempunyai kelebihan berbanding kandungan media sosial kerana menawarkan pelbagai jenis berita dalam satu naskhah tanpa bergantung kepada minat pengguna semata-mata.
“Anak-anak hari ini hidup dalam dunia algoritma. Kalau mereka minat sukan, mereka akan terus melihat kandungan sukan. Kalau mereka minat hiburan, kandungan hiburan sahaja yang muncul.
“Tetapi akhbar berbeza. Dalam satu naskhah ada berita tempatan, antarabangsa, ekonomi, pendidikan, sukan dan pelbagai lagi. Murid tidak memilih apa yang mahu dibaca, sebaliknya mereka didedahkan kepada pelbagai perkara yang mungkin tidak pernah mereka cari sebelum ini.
“Itulah yang membantu membentuk pemikiran lebih luas serta mengurangkan kesan polarisasi maklumat,” jelasnya.
Beliau berkata, Didik juga boleh dijadikan sumber rujukan tambahan untuk membantu murid menambah idea, mengukuhkan pemahaman dan membuat persediaan menghadapi pentaksiran.
“Jawapannya ada di sekeliling kita iaitu dalam akhbar, BH dan Didik. Jadi, saya berharap murid terus memanfaatkan Didik sebagai satu medium untuk menambah ilmu dan menajamkan pemikiran,” ujarnya.
Baca juga: Abang Kantin ‘All Out’ Sediakan Menu RMT Penuh Nutrisi, Kemas Dalam Bekas Bertutup Curi Perhatian!
