Didik

‘Biar Dia Ada Sifat Gentleman Pada Perempuan’ – Cara Didik Anak Lelaki Agar Lebih Bertanggungjawab

4.3K
SHARES

Anak ibarat kain putih yang dicorakkan oleh kedua ibu bapanya. Jika ‘corakkan’ tersebut cantik dan sempurna maka anak akan membesar dengan segalanya sempurna. Tidak kiralah daripada segi agama, perlakuan, pelajaran dan sebagainya. Semuanya menjadi peranan ibu bapa untuk mencorakkannya.

Memang menjadi cabaran yang besar untuk mendidik anak-anak kan? Orang kata, nak jaga dan didik anak perempuan lebih susah berbanding lelaki, tapi percayalah pada zaman moden kini ianya tiada beza. Ibu bapa akan melalui cabaran yang sama dan anak lelaki juga perlu dididik sama seperti anak perempuan. Ini kerana, anak lelaki mempunyai ‘tanggungjawab’ yang lebih besar bila mereka sudah berumahtangga kelak.

Mungkin perkongsian oleh seorang bapa ini boleh anda contohi tentang bagaimana dia mendidik anak-anak lelakinya untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab, ada sifat ‘chivalry‘ dan ‘gentleman‘.

Bagaimana Nak Didik Anak Lelaki Untuk Jadi Bertanggungjawab?

Anak-anak aku ada 2 orang lelaki dan 2 orang perempuan.

Orang kata susah jaga anak perempuan. Bagi aku jaga anak lelaki tak kurang susahnya juga, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang. Kena ajar anak lelaki supaya tidak dibuli dan tidak membuli orang lain, terutamanya pasangan mereka nanti.

Apa yang aku ajar pada anak lelaki?

House chores

Anak-anak lelaki aku semuanya wajib buat kerja-kerja rumah. Tak ada yang boleh melepak sesuka hati tanpa ke dapur atau ke laman.

Ini asas dalam kemahiran hidup. Didik dari awal agar besar nanti tidak menyerahkan semua kerja rumah pada isteri.

Apa jenis-jenis house chores yang perlu anak lelaki buat?

1. Basuh pinggan
2. Basuh baju
3. Sidai baju
4. Gosok baju
5. Lipat baju
6. Memasak
7. Kemas tempat tidur
8. Sapu sampah
9. Buang sampah
10. Siram dan jaga pokok
11. Basuh tandas

Semua ini diajar serta dibiasakan. Ada yang dibuat setiap hari, ada yang ikut jadual.

Lepas makan, terus basuh pinggan. Jangan campak saja dalam sinki, harapkan orang lain yang basuh. Ini setiap kali makan harus dibuat.

Lama-lama anak dah pandai masak

Sekali atau dua kali seminggu, anak-anak akan ke dapur untuk masak. Aku dan isteri cuma pantau saja. Alhamdulillah, ada yang dah boleh masak asam pedas dan spaghetti. Hari-hari lain yang tak memasak, mereka akan bantu sediakan bahan.

Basuh baju, ajar macam mana guna mesin basuh. Baju jenis apa yang boleh dibasuh sekali, baju apa yang kena asingkan. Air berapa banyak, sabun berapa banyak, nak spin berapa lama. Ajar sekali, insya-Allah lepas itu dah senang.

Kena ajar cara sidai, gosok dan susun baju yang betul

Foto: Mycomel

Sidai baju pun sama. Kadang-kadang kita rasa common sense tapi tak semua budak-budak boleh faham. Cara sidai kena ajar, nak pakai penyakut ke tidak, kain tu kena kibas sebelum sidai, susun baju dekat penyidai jangan terlalu padat.

Sidai pakaian dalam jangan sebarang. Ajar supaya pakaian dalam ini disidai tersorok sikit dari pakaian lain, itu aurat keluarga kita.

Baju yang dah kering perlu dilipat atau digosok. Maka aku dan isteri ajar mereka cara lipat yang betul, bukan main bungkus saja.

Gosok baju pun begitu juga. Kalau ada ‘steam generator iron’ jenama Philips tu senanglah, tak takut baju berlubang. Kalau tak ada, perlu ajar suhu iron yang betul untuk pelbagai jenis baju. Jangan main hentam saja gosok baju kain lycra pun kau letak suhu untuk baju kain cotton.

Kena ajar juga cara nak sental tandas

Foto: Forceofnatureclean.com

Basuh tandas, ini memang paling tidak digemari oleh sesiapa pun. Dan biasalah, tandas ini selalu orang pandang sepi saja. Lepas flush, terus keluar. Tapi kalau tak dibasuh, mau berkulat dibuatnya. Lantai putih pun dah jadi oren.

Jadi kena ajar celah-celah mana yang perlu disental, guna pencuci apa. Teknik menyental pun kena tahu untuk menjimatkan masa dan tenaga.

Kongsi minat anda dengan anak

Foto: Allpurposeplantfood.com

Kebetulan, aku pun minat tanam pokok. Jadi anak-anak pun turut sama diajar untuk bermain dengan tanah dan baja. Selang beberapa hari kena cabut rumput. Ajar bancuh baja macam mana, bila nak siram, bila nak buang daun-daun dari pokok, bila nak petik buah.

Kalau di kampung, senang sikit. Ada dusun dan pokok besar-besar untuk ajar anak lelaki jadi lasak, boleh mereka panjat pokok duku dan rambutan. Di bandar ini, ajar jaga pokok renek dan pokok dalam pasu pun bolehlah. Janji tahu berbakti pada tanah dan tak jadi penggeli.

Jadi, adakah anak lelaki aku terus jadi gentleman?

Belum lagi, ini kira benda asas yang perlu mereka tahu dan amalkan dalam kehidupan. Jangan berharap pada pembantu atau bibik, apatah lagi memperkulikan pasangan atau ibu bapa sendiri. Sekurang-kurangnya, beri mereka pendedahan, latihan dan pemantauan berterusan agar jadi rutin dan ‘habit’.

Malas, culas, bagi alasan, itu biasa. Kita pun dulu waktu kecil selalu mengelat juga. Namun sebagai ibu bapa, perlulah bijak memberi galakan dan motivasi pada anak-anak agar tugas-tugas di rumah ini jadi satu kebiasaan dan bukan sesuatu yang janggal di mata mereka.

Ayuh, sama-sama kita didik anak lelaki agar jadi bertanggungjawab, ada sifat ‘chivalry’ dan ‘gentleman’ pada orang perempuan.

Sumber: Ahmad Affzan Abdullah

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×