Kadang-kadang, bakat kecil yang kita nampak biasa sebenarnya boleh menjadi permulaan kepada sesuatu yang besar. Begitulah kisah seorang budak lelaki yang mencuri perhatian ramai selepas video dirinya jual lukisan anime pada harga serendah RM1 dan RM2 tular di media sosial.
JUAL LUKISAN ANIME RM2, BAKAT KANAK KANAK INI DIPUJI NETIZEN

Foto: Tiktok @addydii
Dalam video berkenaan, seorang lelaki dilihat menegur kanak-kanak tersebut dan bertanya tentang apa yang dijualnya. Dengan penuh sopan, budak itu menjelaskan bahawa dia menjual lukisan anime yang dilukisnya sendiri.
Lukisan anime dijual RM2, yang kurang cantik RM1
Apa yang membuatkan lelaki berkenaan kagum ialah hasil lukisan budak tersebut yang kelihatan cukup kemas dan cantik walaupun usianya masih muda.
Apabila ditanya mengenai harga, budak itu memberitahu bahawa setiap lukisan anime dijual pada harga RM2.
Malah, dia turut menjelaskan bahawa sekiranya ada lukisan yang dirasakan kurang cantik, dia akan menjualnya pada harga RM1 sahaja.
Sambil bercerita, budak itu memberitahu bahawa salah satu lukisannya sudah pun terjual dan dia bercadang untuk melukis lebih banyak lagi selepas ini untuk dijual.
Lelaki itu beri duit sebagai tanda sokongan
Melihat kesungguhan dan bakat yang dimiliki kanak-kanak tersebut, lelaki berkenaan kemudian memberikan sejumlah wang kepadanya untuk disimpan.
Walaupun jumlah wang yang diberikan tidak dapat dilihat dengan jelas dalam video, tindakan kecil itu ternyata cukup bermakna buat budak berkenaan.
Lelaki tersebut turut memberikan kata-kata semangat dengan menyuruhnya terus mengemas dan memperbaiki lukisan kerana hasil karyanya sememangnya cantik.
Bukan sekadar membeli hasil lukisan, sokongan seperti itu mungkin menjadi pembakar semangat untuk seorang kanak-kanak terus mengasah bakat yang dimilikinya.
Netizen puji sikap sopan dan usaha cari rezeki

Foto: Tiktok @addydii
Video tersebut turut mengundang pelbagai komen positif daripada netizen.
Ramai bukan sahaja memuji bakat melukis kanak-kanak itu, malah tersentuh melihat cara dia bercakap yang sopan ketika berkomunikasi dengan orang lebih dewasa.
Antara komen netizen:
“Cara kau bercakap pun sopan santun dik, hormat orang tua. Budak ni zaman payah nak jumpa yang hormat orang tua.”
Ada juga yang terus menawarkan untuk membeli kesemua hasil lukisannya.
“Cakap kat adik ni, saya nak beli semua.”
Tidak kurang juga yang berharap ada pihak menghadiahkan peralatan melukis yang lebih baik supaya bakat kanak-kanak tersebut dapat dikembangkan.
“Hadiahkanlah dia sketch set… biar dia boleh berkarya lagi. Pandai cari rezeki dengan bakat.”
Kisah kecil ini mengingatkan kita bahawa bakat tidak mengenal usia.
Lebih membanggakan, kanak-kanak ini bukan sekadar mempunyai bakat dalam melukis, tetapi sudah belajar berusaha mencari rezeki melalui hasil tangannya sendiri.
Semoga ada lebih ramai yang tampil memberikan sokongan dan peluang kepadanya untuk terus berkarya.
@addydii Tak kesahlah lukisan tu mcm manapun dik.. yg penting kau ada usaha cari rezeki.. lukisan cantik.. tapi perbaiki lebih menarik lagi.. #bismillah #rezeki #allahummashollialasayyidinamuhammad ♬ original sound – Addy
Baca juga: Peluang Jadi Guru MARA! Permohonan Dibuka Hingga 21 Ogos 2026, Ini Syarat Kelayakan & Cara Mohon
Sumber: Tiktok @addydii
