Nur

Bila Dah Kahwin, Suami WAJIB Utamakan Nafkah Kepada Isteri Atau Ibu Bapa Dahulu?

21
SHARES
nafkah suami kepada isteri

Menjadi tanggungjawab seorang lelaki yang belum berkahwin atau yang sudah bergelar suami, untuk membiasakan diri dengan pemberian nafkah kepada isteri serta anak-anak. Hal ini kerana, masih ramai dalam kalangan lelaki yang tidak tahu apa nafkah suami kepada isteri yang perlu diberikan dan apakah turutan nafkah yang betul?

Jadi, jangan pening-pening kerana berikut merupakan penjelasan dari Mufti WP mengenai turutan nafkah suami kepada isteri yang sepatutnya diambil perhatian oleh kaum lelaki.

Baca juga: “Nafkah Saya Macam Mana?”- Ini Apa Si Isteri Perlu Ambil Tahu Bila Suami Meninggal Dunia

NAFKAH SUAMI KEPADA ISTERI, TURUTAN PALING PENTING

nafkah suami kepada isteri

Hal ini kerana, ramai yang mempersoalkan apabila sudah berkahwin, siapakah yang perlu diberi kepentingan dalam pemberian nafkah? Patut diberi keutamaan kepada isteri atau ibu bapa dahulu?

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Antara nafkah isteri dan nafkah ibu bapa kita, mana satukah yang lebih perlu diutamakan?

1. Dalam pemberian nafkah, seorang suami hendaklah mendahulukan isteri dan anak-anak dari orang lain (termasuk ibu-bapa). Turutan nafkah adalah seperti berikut:

a) Diri sendiri

b) Isteri

c) Anak

d) Bapa

e) Ibu

f) Cucu

g) Datuk

h) Saudara

i) Ahli-ahli keluarga berikutnya.

Turutan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang menegaskan;

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا ، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا

“Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu”

(Riwayat Imam Muslim dan an-Nasai dari Jabir r.a.. al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 46).

Berkata Imam an-Nawawi mengulas hadis ini; di antara kesimpulan dari hadis ini ialah; hendaklah pemberian nafkah dimulakan mengikut tertib yang tersebut (dalam hadis). (Syarah Soheh Muslim, juz 7, Kitab az-Zakah, bab al-Ibtida’ Fi an-Nafaqah Bin-Nafsi Tsumma Ahlihi Tsumma al-Qarabah).

NAFKAH WAJIB WALAUPUN ISTERI KAYA..

nafkah suami kepada isteri

Perlu disebut juga di sini bahawa nafkah untuk isteri wajib diberikan oleh suami sekalipun isteri kaya dan berada. Suami yang gagal memberi nafkah sewajarnya kepada isterinya -mengikut kemampuannya- ia dianggap berhutang dengan isterinya kecualilah jika isteri menggugurkan haknya dengan kerelaannya sendiri. Begitu juga, isteri boleh menuntut fasakh di atas kegagalan suaminya memberi nafkah. Adapun nafkah kepada orang lain selain isteri, ia tidak wajib melainkan apabila memenuhi dua syarat;

a) Mereka adalah miskin, tidak memiliki harta dan tidak mempunyai sumber pendapatan. Jika mereka mempunyai harta atau memiliki sumber pendapatan sendiri, tidaklah wajib lagi ia menyara mereka. Namun digalakkan ia meneruskan pemberiannya kepada mereka untuk mengekal kasih sayang dan silaturrahim.

b) Ia mempunyai kemampuan untuk menanggung mereka; sama ada dengan hartanya atau dengan sumber pendapatannya. Kemampuan ini merangkumi kos saraan untuk diri sendiri dan isteri. Jika ada lebihan (setelah ditolak keperluan diri dan isteri), barulah ia wajib menyara ahli-ahli keluarga yang lain.

Merujuk kepada soalan di atas, tidak harus suami mengabaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak dengan alasan ingin membantu ibu-bapa di kampung kerana menafkahi isteri dan anak-anak adalah wajib. Jika benar ibu-bapa memerlukan nafkah darinya, ia hendaklah menafkahi mereka tanpa mengabaikan isteri dan anak-anak. Itupun jika ia mampu menampung semua mereka. Jika tidak, hendaklah ia mendahulukan isteri dan anak-anak.

Wallahu a’lam. Rujukan;
1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi.
2. Manar as-Sabil, Ibnu Dhuyan

*Jadi, janganlah asyik lari apabila sebut mengenai nafkah. Nak menjaga diri sendiri pun memerlukan persediaan yang banyak, apatah lagi menjaga anak perempuan orang yang dijadikan isteri bukan?

Sumber: Mufti WP, Sahabat Mahkamah Syariah

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×