Asuh

Lakukan 8 Perkara Ini Jika Mahu Anak Petah Bercakap!

6.7K
SHARES
cara ajar anak bercakap

“Anak Mira tu baru umur setahun lebih tapi petah betul bercakap! Anak aku dah masuk 2 tahun tapi masih tak sepetah anak dia. Apa agaknya cara ajar anak bercakap cepat ya?”

Apabila melihat anak jiran, kawan-kawan atau saudara mara yang sudah petah berkata-kata tidak sepadan dengan umurnya, kadang kala terdetik dalam fikiran ibu bapa bagaimana anak sekecil ini sudah mampu bertutur sebegitu. Lebih-lebih lagi apabila anak kita seringkali dibandingkan dengan anak orang lain bahawa anak kita lewat bercakap.

cara ajar anak bercakap

Foto Kredit: praxisvita.de

8 Cara Ajar Anak Bercakap Dengan Mudah. Barulah Petah!

Bagi anak yang normal, yang mana mereka tidak tergolong dalam kumpulan anak-anak yang mempunyai masalah seperti autisme atau disleksia dan sebagainya, berikut merupakan cara ajar anak bercakap yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa.

1. Mulakan Seawal Bayi

Berbuallah dengan bayi seawal usia mereka. Amalkan untuk memberitahu bayi perkara yang sedang kita lakukan sepanjang hari semasa mereka berada bersama kita.

Mungkin ada yang kata “Ala, baby mana faham apa yang kita cakap pun, buat penat je borak dengan dia”.

Kita sebagai ibu bapa usah sesekali memandang rendah terhadap bayi. Walaupun mereka baru sahaja dilahirkan dan dunia ini sangat baru bagi mereka, namun ketahuilah bahawa otak bayi ibarat span.

Tuhan mencipta otak bayi ini sangat hebat yang mana mereka sangat mudah menangkap dan mengingat setiap perkara yang berlaku di sekelilingnya. Sel-sel otak yang sedang berhubung dan berkembang pesat setiap hari mampu menyerap apa sahaja yang dilihat dan didengarinya.

Ianya akan tersimpan di dalam minda bawah sedar mereka dan apabila tiba masanya nanti, jangan terkejut apabila mereka mula menggunakan perkataan-perkataan tersebut!

cara ajar anak bercakap

Foto Kredit: grandparents.com

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

2. Gunakan Bahasa Yang Betul

Sentiasa gunakan bahasa yang betul apabila bertutur dengan anak. Elakkan bercakap pelat kerana anak begitu mudah mengikut apa yang kita ucapkan. Sekiranya kita bercakap pelat dengan anak, adalah tidak mustahil anak akan mengikut cara dan gaya pelat kita itu nanti.

Apabila anak sudah mula bercakap pelat, ianya mungkin lebih sukar bagi kita kerana kita perlu memberitahu anak untuk memperbaiki setiap patah perkataan yang kurang tepat sebutannya itu.

Terpulang sama ada kita mahu menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris atau mungkin kedua-duanya sekali secara serentak sebagai medium komunikasi dengan anak.

Pilihan berada di tangan masing-masing bergantung kepada penerimaan anak dan cara kita sebagai ibu bapa ketika berinteraksi dengan anak. Yang penting, gunakan bahasa yang betul agar perkembangan bahasa anak berada pada tahap yang baik dan memuaskan.

3. Respon & Ulang

Komunikasi yang berkesan melibatkan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak-anak. Selepas anak bercakap, ulang semula perkataan atau perkara yang diucapnya sebagai tanda peneguhan dan kita memahami percakapannya. Dengan cara ini, ianya akan menjadikan anak lebih teruja dan lebih bersemangat untuk bercakap dengan kita setiap hari kerana kita memahami apa yang diperkatakannya.

Dalam memberikan maklumbalas terhadap perkara yang diucap oleh anak, amalkan memberi respon yang lebih banyak berbanding perkataan yang disebut oleh anak. Ianya bukan sahaja dapat menambah kosa kata anak, malah dapat meningkatkan lagi ilmu pengetahuannya tentang pelbagai perkara di awal usia.

Walaupun anak hanya menyebut satu patah perkataan, ibu bapa boleh mempraktikkan untuk respon kepada anak lebih daripada satu perkataan tersebut.

Contohnya, sekiranya anak menyebut perkataan “main”, kita respon dengan ayat sebegini, “Adik nak main? Ok jom kita main sama-sama. Adik nak main apa?”. Atau sekiranya anak menyebut perkataan “pokok”, kita boleh memberikan maklumbalas sebegini,“Haa.. Itu pokok.. Daun pokok warna hijau.. Pokok bergoyang ditiup angin..”.

Walaupun kita rasakan seperti rumit untuk mereka memahami perkara-perkara sebegini, usah gusar! Percayalah anak kita dapat menghadamnya dengan baik dan pasti akan mengeluarkan perkataan-perkataan tersebut apabila tiba masanya kelak!

cara ajar anak bercakap

Foto kredit : essentialbaby.com.au

4. Pelbagaikan Kaedah Bermain

Anak-anak belajar dengan cara bermain. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna kita hanya boleh berkomunikasi dengan mereka melalui permainan sedia ada sahaja.

Terdapat pelbagai kaedah untuk bermain dengan anak-anak termasuk dengan menggunakan barangan yang tidak merbahaya di rumah sebagai bahan permainan seperti mangkuk plastik, periuk, cawan plastik dan banyak lagi. Dengan cara ajar anak bercakap yang unik ini, anak dapat mengenali nama dan sifat pelbagai benda di sekelilingnya sekaligus membantu proses perkembangan bahasa anak-anak.

Ibu bapa juga boleh menjadi kreatif dengan mengajak anak membuat permainan sendiri dengan menggunakan barang-barang terpakai. Sebagai contoh, gunakan kotak terpakai untuk membuat rumah, kenderaan, pakaian, dapur memasak, mesin basuh, dan bermacam-macam lagi.

Berbual sambil membuat permainan tersebut bersama-sama bukan sahaja dapat merapatkan lagi hubungan ibu bapa dan anak, malah dapat meningkatkan kosa kata mereka dengan pelbagai perkataan baru terutamanya kata kerja (menggunting, tekan, tarik, tolak, tampal) dan kata sifat (kecil, panjang, pendek).

Selain itu, lakukan aktiviti bermain sambil menyanyi kerana ia sememangnya sesuatu menyeronokkan! Anak-anak boleh mempelajari banyak perkataan baru melalui lirik lagu yang dinyanyikan.

Foto kredit : 30secondmom.com

Foto kredit : 30secondmom.com

5. Letak Permainan Di Tempat Strategik

Ya, benar sekiranya kita menyimpan permainan anak di tempat yang rendah akan memudahkan anak untuk mengambil permainan tersebut untuk bermain.

Walau bagaimanapun, dengan cara meletak permainan mereka di tempat yang strategik yang mana ianya dapat dilihat tetapi tidak dapat dicapai oleh anak, ianya dapat mendorong anak untuk bertutur. Ini kerana, sekiranya anak ingin bermain dengan permainan tersebut, mereka pasti akan meminta bantuan ibu bapa mengambil permainan tersebut untuk mereka.

Dengan cara ini, secara tidak langsung ianya dapat menggalakkan anak untuk bercakap tanpa sebarang paksaan.

Foto kredit : kranjang.com

Foto kredit : kranjang.com

6. Hadkan Gajet

Di zaman teknologi yang serba moden ini, kita semua tidak boleh lari daripada penggunaan gajet terutamanya telefon bimbit dan televisyen. Tidak dinafikan bahawa anak boleh belajar melalui permainan atau video pembelajaran yang terdapat dalam gajet-gajet ini. Tetapi kita sebagai ibu bapa seharusnya mengawal penggunaan gajet ini terhadap anak.

Berpada-pada dan hadkan masa dalam penggunaan gajet tersebut. Usah disebabkan gajet, anak ketagih untuk bermain permainan di gajet atau menonton rancangan kegemaran mereka sahaja sehingga menyebabkan mereka kurang minat untuk bertutur dek terlalu asyik menghadap skrin telefon bimbit dan televisyen itu.

Foto Kredit : melbournechildpsychology.com.au

Foto Kredit : enikos.gr

7. Ulang, Ulang Dan Ulang

Usah pernah jemu mengulang sesuatu perkara yang telah kita ajarkan kepada anak. Amalan mengulang ini dapat membantu anak untuk mengingat kembali apa yang dipelajarinya sebelum ini.

Selain itu, latih juga diri kita untuk bertanya soalan dan memberikan jawapan yang konsisten kepada anak bagi meningkatkan lagi memori anak terhadap sesuatu perkara.

Dengan cara ajar anak bercakap seperti ini, mereka akan berasa lebih yakin dalam setiap perkara yang dipelajarinya dan tidak mustahil mereka mampu bertutur dengan baik tentang perkara itu kelak.

Foto kredit : parent4success.com

Foto kredit : emaze.com

8. Beri Pujian Setiap Hari

Siapa tidak suka apabila dipuji bukan? Apatah lagi anak-anak, pasti berbunga-bunga hati mereka apabila dipuji oleh ibu bapa. Mereka akan berasa bahawa diri mereka begitu dihargai!

Pujian ibu bapa adalah tidak terhad selepas anak mencapai kejayaan dalam melakukan sesuatu perkara baru atau apabila anak berjaya menyebut perkataan baru sahaja, tetapi ibu bapa seharusnya memberi pujian kepada mereka lebih kerap daripada itu.

Sekiranya kita dapati anak menunjukkan sikap rajin untuk membantu kita melaksanakan tugasan seharian, mendengar nasihat kita serta tidak berkelakuan negatif, berilah pujian kepada mereka. Ianya bertujuan untuk menerapkan nilai positif dalam minda bawah sedar mereka bahawa mereka adalah anak yang rajin, baik, bijak dan sebagainya seterusnya dapat dizahirkan melalui sikap dan perbuatan mereka kelak.

Adalah sangat penting untuk kita sebagai ibu bapa memberi pujian kepada anak-anak setiap hari kerana pujian menunjukkan galakan dan bukti rasa bangga kita terhadap anak sekaligus dapat meningkatkan penghargaan kendiri dalam diri anak itu. Dengan cara ini, anak akan berasa lebih yakin dan bermotivasi tinggi untuk melakukan pelbagai perkara termasuk bertutur dengan lebih baik setiap hari.

Sabar, Usaha, Doa, Tawakal

Walau apa cara ajar anak bercakap yang kita praktikkan, kunci utamanya adalah sabar. Usah terlalu mendesak anak untuk bercakap tetapi laksanakannya dengan cara yang lebih santai agar mereka berasa gembira dalam proses pembelajaran untuk bertutur.

Sentiasa ingatkan diri kita bahawa lain anak, lain penerimaannya dan lain anak, lain pula tahap perkembangannya. Usah putus asa dan teruskan usaha.

Selebihnya, sentiasa berdoa memohon yang terbaik buat anak kita dan akhir sekali tawakal kepada Tuhan. Semoga Tuhan memakbulkan doa dan impian kita untuk melihat anak kita petah bertutur kelak. Yakinlah bahawa usaha kita ini pasti akan membuahkan hasil di penghujungnya suatu hari nanti.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×