Asuh

13 Tips Mendidik Anak Lelaki Supaya Tak Jadi ‘Boss’ Sangat Dalam Rumah

81.9K
SHARES
mendidik anak lelaki

Tipikal budaya kita, kerja rumah adalah tugas hakiki kaum wanita. Maka lelaki hanya mencari rezeki. Boleh kita lihat dan baca saban hari, isteri bekerja atau surirumah merungut tidak dibantu suami. Apa peranan kita sebagai ibu dalam mengubah budaya ini? Mari kita mulakan dengan mendidik anak lelaki kita.

Lelaki Atau Perempuan, Kedua-duanya Patut Diajar Dengan Kerja Rumah

Zaman bergerak pantas, tugas hakiki kerja rumah bertukar menjadi tugasan ibu semata-mata, kebanyakkan anak perempuan juga sudah tidak tahu melakukan kerja rumah, apatah lagi lelaki. Mereka hanya disuruh fokus pada pelajaran sekolah semata-mata. Kita lupa pelajaran skil kelangsungan hidup ini juga sepatutnya diberi perhatian. Hasilnya mulalah masing-masing kita menunding jari sesama kita.

Kata lelaki, sejak azali budaya keturunan kita kerja rumah tugas perempuan, kata perempuan pula tugas isteri hanya melayan suami, lagi pun dah kawin boleh belajar. Akhirnya semua kerja rumah diletakkan di atas bahu ibu.

Gajet melanda, penyakit ini kian parah. Adalah dianggap bijak dan comel jika anak kecil pandai mengendalikan sebuah gajet, tetapi dianggap bahaya ataupun mendera jika diajar memasak dan melakukan kerja rumah seawal usia, sudah pastilah segalanya dalam pantaun ibu bapa.

Fahaman begini bukan sahaja menjauhkan anak-anak dari membantu membuat kerja rumah. Malah, perasaan simpati dan kemanusian untuk membantu juga makin luput di benak dan hati mereka. Melihat ibu sibuk dengan urusan rumah yang tiada kesudahan, anak-anak duduk membatu menghadap gajet atau TV tanpa rasa bersalah.

tips-mendidik-anak-lelaki

Apakah Generasi Yang Bakal Kita Lahirkan?

Kisahnya, tersentuh hati saya bila sepasang ibubapa tua bertanya pada ibubapa saya bagaimana nak mendidik anak lelaki mahupun perempuan agar membantu kerja rumah. Memang agak terlewat kerana semua anak-anak tersebut sudah dewasa malah ada yang sudah berumahtangga. Dalam hal ini kebanyakan ibubapa berpendapat, kecil lagi, biarkan mereka fokus pada pelajaran sahaja, nanti dah besar pandailah mereka tolong.

Bayangkan dikala anak-anaknya berkumpul tidur di rumah saudara, melihat sepupu mereka (anak si tuan rumah) memasak mengacau sekawah rendang ayam sambil mendukung bayi, mereka lelaki dan perempuan tiada rasa belas ihsan untuk membantu. Sebaliknya terus leka berbual, gelak ketawa dan bermain gajet. Seolah-olah tiada apa berlaku di sebelah mereka. Inilah sedikit contoh generasi masa kini.

Alhamdulillah, saya dilahirkan dari keluarga yang harus membantu kerja rumah tanpa mengira jantina. Melihat Abah menyapu dan memasak perkara biasa. Alhamdulillah, suami juga dididik begitu. Malah beliau tidak kekok memasak, mengemas dan mencuci pakaian di rumah mertua.

Apabila ada teman mengadu atau minta pendapat bagaimana saya mengajar anak-anak membantu kerja rumah?

Ini jawapan saya.

13 Tips Mendidik Anak Lelaki (Dan Perempuan) Membantu Ibu Bapa

Ini tips yang saya praktikkan untuk mendidik anak lelaki dan juga anak perempuan saya agar ‘ringan tangan’ membantu ibu bapa.

1. Kurangkan Gajet

Kurangkan masa atau jauhkan mereka dengan gajet dan TV.

tips-mendidik-anak-lelaki-7

2. Jangan Larang Mereka Hendak Membantu

Galakkan dan beri tunjuk ajar. Bila mereka bantu barulah mereka merasai sendiri dan faham susah senang tugasan tersebut. InsyaAllah mereka lebih prihatin untuk membantu ibubapa.

3. Peranan Bapa

Untuk mendidik anak lelaki, peranan bapa sangat penting dalam menjadi contoh tauladan dan idola mereka. Namun, jika suami bukan jenis membantu, tariklah minat anak dengan bercerita keperibadian Saidina Rasulullah, tunjukkan contoh chef terkenal seperti Jamie Oliver, video rakan sebaya mereka yang melakukan kerja rumah dan sebagainya.

tips-mendidik-anak-lelaki-10

4. Ceritakan Pahala Membantu Ibubapa

Ajak, ajar, agih dan arahkan mereka membantu. Biasalah budak, ada pasang surutnya.

Adakala mudah, tak suruh pun pandai buat dan ada kala pula perlu pendekatan yang tegas dan disuruh.

5. Mulakan Sekarang!

Mulakan dengan mengajar mereka mengemas tempat tidur, tempat main, laundry dan membantu menyiapkan bahan masakkan. Anak seawal 7-9 bulan pun jika diajar, sudah pandai menghantar lampin pakai buang ke bakul sampah dan pakaian kotor ke bakul setiap kali mereka keluar dari bilik air. Menjadi rutin begitu.

Jika kita biarkan tanpa diajar (sebab asyik fikir mereka masih kecil), 10 tingkat diapers tersusun depan bilik air pun tidak dipedulikan anak-anak, kecuali dijadikan mainan. (Kan haru?)

tips-didik-anak-lelaki

6. Puji & Beri Galakan

Puji setiap apa yang mereka bantu biarpun tidak menepati piawaian kita. Bersabar, simpan tak puas hati tu. Tegur secara berhemah. Mereka dalam proses belajar kan?

7. Sabar Dalam Mendidik

Bersabar dengan sepah, berterabur dan pelbagai lagi hasil pertolongan mereka.

tips-mendidik-anak-lelaki-2

8. Cari Tips Mudah

Ajar mereka tips and trik mengemas, memasak, menggosok baju, basuh bilik air dan sebagainya agar lebih mudah dilakukan. Boleh cari di Google dan YouTube.

9. Jangan Lupa Titikberatkan Keselamatan

Ajar mereka teknik yang betul penggunaan peralatan serta langkah keselamatan terutama di dapur dan barangan elektrik. Boleh cari di YouTube juga.

tips-mendidik-anak-lelaki-8

10. Rancang Bersama

Rancang bersama mereka apa kerja rumah yang hendak dibuat, jika perlu ajak mereka menonton video atau gambar cara untuk melakukannya. Ini akan membangkitkan rasa teruja dalam diri mereka.

11. Terima Idea Mereka

Beri peluang dan kepercayaan untuk mereka berkongsi idea dan lakukan sendiri susunan, resepi, masakan, hidangan dan sebagainya mengikut idea mereka. Kita guide dan pantau sahaja.

tips-mendidik-anak-lelaki-6

12. Laburkan Wang Untuk Projek Mereka

Jika mereka ingin membeli sesuatu barang atau peralatan berkaitan nak menghias, mengemas, memasak, layankan saja. Itu lagi bagus dari beli gajet, junk food atau mainan. Lagi bagus jika Mak kreatif ajak mereka DIY sendiri. Jimat!

13. Libatkan Rakan Sebaya

Contohnya bila berkumpul di kampung, aturkan aktiviti dan tugasan untuk mereka lakukan bersama secara santai. Biasanya kanak-kanak lebih suka jika dapat buat bersama kawan atau sepupu. Selain itu biasakan menghantar mereka menyertai kelas seperti masakan, pembuatan makanan dan sebagainya.

Seperti kita, penyertaan ke kelas sebegini juga mampu menyuntik semangat dan motivasi kepada anak-anak untuk membantu kita.

tips mendidik anak lelaki

Teruskan Mendidik Demi Masa Depan

Saya masih berusaha mengajar mereka. Memang perlu gigih dan kadangkala menguji kesabaran. Tapi tidak mengapa demi masa hadapan. Kita berusaha mendidik mereka dari peringkat awal, mudah-mudahan akan dijadikan amalan hidup membantu ibubapa dan keluarga sendiri dalam membuat kerja rumah nanti tanpa mengira jantina, insyaAllah.

Apabila kita mendidik anak lelaki dengan kerja rumah, kita sebenarnya bukan sahaja menjadikan mereka mahir melakukan kerja rumah, malah setiap gerak kerja tersebut membantu meransang otak serta skil motor mereka, membentuk keperibadian dan emosi mereka sebagai bakal pemimpin rumah tangga. Selain itu, ianya sangat membantu mereka untuk survive jika terdesak atau ketika ketiadaan kita.

 

*Sumber asal artikel ini adalah daripada Puan Rosnah melalui perkongsian Facebook dan ia diterbitkan semula atas kebenaran beliau.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×