“Penatnya urus rumah ni. Kejap lagi nak pergi ambil anak balik sekolah pula. Nanti nak masak makanan kegemaran dia. Tentu dia suka.”
Sebagai ibu bapa, setiap daripada kita tentu berusaha sedaya-upaya untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Walaubagaimanapun, ada masanya kita terlalu menunjukkan kasih sayang dengan melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
Bukan tak boleh sayangkan anak, tetapi perbuatan seperti ini boleh menjadikan anak terlalu manja hingga merosakkan masa depan mereka.
Oleh itu, cuba periksa 7 tips didik anak ini dan pertimbangkannya sama ada anda berada di landasan yang betul.
7 Sikap Ibu Bapa Yang Buat Anak Jadi ‘Terlebih’ Manja Tanpa Disedari
Berikut adalah 7 perkara yang anda tak perlu lakukan untuk anak-anak untuk mendidik mereka.
1. Layan Anak Seperti Raja
Setiap anak berhak mendapat didikan dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Namun, mereka tidak sepatutnya mendapat layanan seperti seorang raja.
Mereka perlu tahu limitasi mereka dan realiti bahawa bukan semua kemahuan mereka akan dipenuhi.
Pakailah tips didik anak seperti konsep Umar al Khattab, iaitu : “Tegas tanpa menampakkan kekerasan dan lembut tanpa menunjukkan kelemahan”.
2. Beri Pegang Banyak Duit
Ibu bapa yang dahulunya tak berpeluang membeli mainan, makanan, atau gajet yang mereka mahu suatu masa dahulu sebenarnya cenderung untuk melimpahi kemudahan ini kepada anak-anak kerana tidak mahu mereka berasa tersekat atau susah seperti mereka dahulu.
Tapi hakikatnya, tindakan seperti ini akan menjadikan mereka memandang rendah pada nilai wang tersebut. Maka, jangan berikan wang setiap kali apabila diminta untuk mengelakkan mereka berfikir bahawa wang sentiasa ada. Selain itu, galakkan juga mereka menabung dan bersedekah supaya mereka menyedari bahawa setiap yang kita miliki mempunyai banyak kegunaan lain selain untuk diri sendiri.
3. Halang Anak Bekerja
Ada ibu bapa yang rasa serba salah apabila anak mereka mahu bekerja ketika cuti semester atau sementara menunggu keputusan peperiksaan. Ada juga yang tak mahu orang lain menganggap yang ibu bapa mereka ‘tak mampu’ memberi wang untuk perbelanjaan mereka.
Persepsi ini perlu dihentikan sebelum ia menjadi stigma dalam masyarakat kita. Sebaliknya, ibu bapa perlu memberi kepercayaan di samping menggalakkan anak mereka yang ingin berdikari. Dengan pantauan anda, mereka akan lebih yakin untuk berhadapan dengan dunia sebenar.
Bagi anak yang masih kecil, beri peluang anak ‘bekerja’ dengan mendedahkan mereka kepada kerja rumah atau perniagaan yang dimiliki.
4. Memberi Kebebasan Berkawan
Adakah kita mengongkong kebebasan anak berkawan? Sebenarnya sebagai ibu bapa, sangat relevan untuk kita memantau, bukanlah menyekat pergaulan mereka 100%. Lihat sajalah akaun Facebook, Wechat, dan sebagainya milik anak anda. Adakah mereka benar-benar mengenali kawan-kawan yang beribu-ribu itu?
Ini bukan lagi soal privasi mahupun teknologi, tetapi ibu bapa wajar menjauhkan kawan anak yang berpotensi menjerumuskan mereka ke arah yang negatif. Semasa anak masih kecil inilah, kita perlu menjadi kawan terbaik buat mereka. Jika bukan sekarang kita mula mengamalkan tips didik anak ini, mungkin mereka akan lebih mempercayai dan bergantung kepada teman mereka.
5. Membela Anak Setiap Masa
Bila anak mengamuk, anda yang meminta maaf kepada tetamu. Bila anak buat masalah di sekolah, anda pula menyalahkan guru. Ini menunjukkan anda membelanya setiap masa. Dengan cara ini, akibatnya anak tidak akan belajar bertanggungjawab atas setiap perbuatan mereka.
Walaupun anak masih kecil, mereka perlu difahamkan bahawa kesalahan mereka adalah tidak elok, namun boleh dimaafkan. Lebih baik lagi, ia juga boleh diperbaiki dan anda boleh membantu mereka dalam proses ini.
6. Menyelesaikan Semua Masalahnya
Percaya atau tidak, minda seorang manusia secara automatiknya berfungsi untuk menyelesaikan masalah. Sebagai ibu bapa, ‘part’ yang paling susah adalah menahan diri daripada menolong anak yang kelihatan terkial-kial membutang baju atau menguruskan diri.
Anda perlu lakukan sesuatu untuk membuang tabiat ini. Contohnya: mengira sampai sepuluh, senyum sambil menarik nafas, dan sebagainya. Tapi, jangan sesekali menunjukkan muka kecewa atau marah apabila mereka tidak melakukannya dengan ‘sempurna’! Ini tentunya akan menghalang mereka daripada terus mencuba pada masa akan datang.
7. Beri ‘Hadiah’ Untuk Perkara Yang Tak Sepatutnya
Jangan kerap ‘merasuah’ mereka untuk berkelakuan baik kerana ia perlu dipelajari dan dilakukan dengan sukarela. Contohnya, anda memberikan gula-gula apabila anak berkelakuan baik.
Walaupun anda boleh memberinya hadiah, jangan lupa untuk memilih hadiah yang benar-benar sesuai dan elok untuk mereka. Maka, tidak wajarlah memberi ‘smartphone’ apabila anak tamat UPSR. Jika perlu berhubung waktu kecemasan, cukuplah sekadar ‘handphone’.
Tips Didik Anak
“Bapak yang bersalah dalam soal ini, bapak membesarkan Sazali dengan secara membabi buta saja. Segala apa kemahuan Sazali bapak tunaikan, segala apa hajat Sazali bapak sempurnakan, sehingga Sazali pandai cakap bohong sama bapak. Sehingga Sazali menipu bapak, menipu untuk kepentingan diri…”
Ingat tak cerita ‘Anakku Sazali’ lakonan lagenda Allahyarham P.Ramlee? Dalam kisah tersebut, bapa Sazali bukanlah bertujuan untuk ‘merosakkan’ anaknya, sebaliknya menatang bagai minyak yang penuh. Namun, dia tidak menyedari bahawa perbuatan ini sebenarnya akan membawa impak buruk dalam hidup anaknya.
Di sinilah pentingnya kita mendekatkanlah anak dengan didikan agama. Ketika berhadapan dengan dilema, berbaliklah kepada Allah dan sentiasalah berdoa agar anak kita diberi kekuatan serta kesabaran untuk menempuh ujian tersebut. Sebagai ibu bapa, bukannya tugas kita menggembirakan anak semata-mata, tetapi mendidiknya menjadi insan yang berguna.