Didik

8 Perkara Anak Perempuan Patut Tahu Sebelum Mencecah Umur 10 Tahun

1
SHARES

Sedar tak sedar, anak dara anda sudah pun memasuki usia 10 tahun. Memang pantas waktu berlalu pergi.

Pada usia inilah, ada yang sudah datang period dan mengalami perubahan pada tubuh badan, menandakan anak kini memasuki alam dewasa.

Sebagai ibu, anda perlu peka dengan perkembangan anak perempuan memandangkan dunia luar sekarang banyak mempengaruhi pembesaran anak-anak.

Jadi, apa yang perlu anak perempuan kita tahu apabila berumur 10 tahun?

1. Anak perempuan mesti tahu masak

Mungkin nampak macam stereotype. Asal perempuan sahaja, kena belajar memasak. Namun ia penting agar anak ada survival skill kelak. Mulakan dengan menanak nasi. Kemudian teruskan dengan penyediaan menu yang simple seperti goreng telur, roti bakar, buat sandwic dan pasta.

Ia bukan sahaja akan memanfaatkan anak anda, malah ia menggalakkan mereka untuk membantu kita di dapur. Sambil itu, menambah kemesraan dalam keluarga.

2. Perubahan tubuh badan dan apa yang perlu dibuat

Beritahu perbezaan antara perubahan fizikal dan mental kanak-kanak lelaki dan perempuan sepanjang membesar. Ingatkan agar jangan benarkan sesiapa menyentuh atau memegang tubuh badannya walaupun ahli keluarga sendiri.

Pada masa yang sama, sudah tiba masanya untuk mereka diingatkan dengan kewajipan menutup aurat. Pastikan mereka berpakaian sopan dan tidak terbiasa mendedahkan tubuh badan.

Walau apa pun, jangan terlalu memaksa semasa memberi peringatan kerana mereka mudah memberontak apabila menginjak usia remaja.

3. Bahaya penggunaan dadah, pil ecstasy dan sewaktu dengannya

Pada usia ini, mereka cenderung mendengar kata kawan-kawan daripada ibu bapa. Mereka juga mudah terjebak dengan anasir yang tidak baik akibat pengaruh kawan-kawan sebaya. Beri pengetahuan mengenai bahayanya dadah, pil khayal yang diberi oleh kawan dan sebagainya.

Cari masa yang sesuai untuk berkongsi perasaan, dan pastikan anda mempunyai masa untuk berbual dengan mereka. Di samping itu, anda perlu memberi perhatian kepada akses telefon pintar dan media sosial daripada disalahgunakan.

Foto Kredit: techpluto.com

Pantau akses internet dan media sosial dengan terperinci. / Foto Kredit: techpluto.com

4. Tingkatkan ilmu agama agar tahu batasan

Tingkatkan mereka dengan ilmu agama terutamanya yang sudah akil baligh. Tekankan kepentingan solat lima waktu yang perlu dijaga setiap hari. Kalau boleh, amalkan solat berjemaah bersama keluarga, sekurang-kurangnya pada hujung minggu.

Dalam usia ini juga ramai anak perempuan mula cenderung terhadap lelaki. Jadi, seelok-eloknya pastikan suami anda memberi perhatian kepada mereka supaya mereka dapat kasih sayang secukupnya daripada seorang lelaki yang sepatutnya, bukan mereka yang belum matang di luar sana!

4 Sebab Kenapa Ayah Penting Pada Anak-anak. Role Model?Rapat dengan bapa mampu mengelakkan anak perempuan daripada terjebak dengan teman lelaki pada usia yang tidak sepatutnya / Foto Kredit: hdimagesinfo.com

5. Risiko yang setiap perbuatan yang dilakukan

Kanak-kanak yang semakin membesar suka mencuba apa sahaja. Jelaskan pada mereka bahayanya mencuba perkara-perkara yang salah di sisi agama dan risiko yang bakal dihadapi.

Dalam pada itu, jangan pula terlalu mengawal sehingga mereka berasa tertekan. Rujuklah buku-buku berkaitan pendidikan anak-anak di usia remaja dan kongsikan masalah bersama ibu yang lain.

6. Berusaha untuk mendapatkan yang diingini

Latih anak menabung duit sendiri jika inginkan sesuatu. Jangan manjakan anak dengan memberi duit dan memenuhi semua keperluan mereka.

Pastikan mereka juga diajar untuk membantu kerja-kerja harian di rumah.  Paling tidak pun, cukuplah dengan menguruskan pakaian dan makanan sendiri. Hal ini penting dalam menjadikan mereka seorang yang bertanggungjawab.

7. Meningkatkan penampilan diri

Latih mereka supaya memakai pakaian yang sesuai lengkap dengan menutup aurat dalam majlis yang dihadiri. Misalnya baju kurung untuk majlis keagamaan dan pakaian formal untuk majlis keraian.

Imej dan keterampilan diri memainkan peranan dalam membentuk identiti mereka. Selain itu, ia mendorong mereka untuk lebih beradab dalam menghadiri majlis.

8. Cabaran dunia luar

Semakin menginjak dewasa, semakin banyak cabaran yang perlu dilalui oleh kaum perempuan. Jelaskan pada mereka yang apa yang mereka perlu hadapi kelak di dunia yang penuh cabaran.

Ceritakan kisah-kisah nabi dan para sahabat, terutamanya wanita yang diceritakan dalam Al-Quran supaya anak-anak dapat mencontohi ketinggian akhlak mereka.

Foto Kredit: sonriemama.com

Luangkan masa dengan anak perempuan supaya mereka tidak teragak-agak bertanyakan sesuatu kepada kita. / Foto Kredit: sonriemama.com

Perlu Sokongan dan Bimbingan Ibu Bapa

Dengan bimbingan dan sokongan berterusan daripada ibu bapa, tidak mustahil anak perempuan anda akan menjadi lebih rapat dan berkongsi pelbagai masalah dengan anda. Perlu diingat, umur ini adalah amat penting kerana mereka sedang menginjak dewasa dan anda perlu menjadi seseorang yang dipercayai oleh mereka.

Dengan tindakan ini, anak dara anda dapat menghindarkan diri daripada masalah sosial yang semakin tidak terkawal dan berleluasa pada zaman sekarang.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×