Asuh

10 Aktiviti ‘Fine Motor Skills’ Buat Anak Lupa Gajet

1.6K
SHARES
fine-motor-skills

“Hari ni nak buat aktiviti apa ya dengan anak? Ah! Tak tahulah nak buat apa. Bagi dia main tab je la senang. Dia duduk diam, aku pun boleh rileks sementara anak main gajet ni.”

Tidak dinafikan, menjadi ibu bapa kadang kala membuatkan kita buntu memikirkan aktiviti menarik untuk dilakukan besama anak. Apabila idea tidak muncul tiba, jalan penyelesaiannya adalah memberi gajet kepada anak supaya anak boleh menonton video atau pun bermain permainan kegemarannya melalui gajet itu.

Namun, tahukah anda bahawa anak tidak seharusnya didedahkan kepada gajet secara berlebihan kerana ianya mengundang lebih banyak keburukan berbanding kebaikan? Sebaliknya, anak perlu belajar banyak perkara melalui aktiviti-aktiviti yang bersesuaian bagi meningkatkan pelbagai kemahiran dalam diri mereka. Salah satu kemahiran yang seharusnya dikuasai oleh anak adalah ‘fine motor skills’.

Foto Kredit : duraziv.ro

Foto Kredit : duraziv.ro

Apa Itu ‘Fine Motor Skills’?

‘Fine motor skills’ dikenali juga sebagai kemahiran motor halus yang mana ianya melibatkan anggota badan yang kecil seperti pergelangan tangan dan jari jemari dalam melakukan sesuatu perkara.

Menurut Dr. Putri Afzan Maria Zulkifli, Pengasas Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Kinderkaizen, kemahiran motor halus ini melibatkan daya fokus serta koordinasi mata dan tangan yang baik bagi membolehkan anak menguasai kemahiran menulis kelak.

Selain itu, kemahiran motor halus adalah penting bagi membolehkan anak mewarna tanpa membuatkan kertas bergerak, menggunting dan juga menampal.

Dalam kehidupan seharian, kemahiran motor halus ini diperlukan oleh anak untuk membutang baju, mengikat tali kasut, mengikat riben, memegang sudu / garfu untuk makan, serta membuka dan menutup zip pakaian.

10 Aktiviti ‘Fine Motor Skills’ Buat Anak Lupa Gajet

Melihat pada kepentingan kemahiran motor halus ini kepada anak, ibu bapa seharusnya mengawal ketagihan anak bermain gajet dan melatih anak seawal mungkin dengan melakukan pelbagai aktiviti menarik bersama mereka.

Melalui aktiviti yang dilaksanakan, ianya bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran motor halus anak, tetapi secara tidak langsung dapat membuatkan anak lupa pada gajet. Jadi, apabila anak sudah mula bersekolah nanti, mereka tidak akan berasa tertekan dan tidak ketinggalan kerana telah menguasai pelbagai kemahiran asas berkaitan.

Berikut merupakan idea-idea menarik dan menyeronokkan dalam usaha meningkatkan kemahiran motor halus anak serta membuat anak leka bermain tanpa gajet.

1. Buat Rantai Guna Straw

Sediakan  benang yang telah dipotong mengikut saiz rantai yang diingini dan pintal sedikit salah satu bahagian hujung benang tersebut. Potong straw kecil-kecil dan masukkannya ke dalam benang untuk dijadikan rantai. Apabila sudah selesai, ikat bersama kedua-dua hujung rantai tersebut dan ianya siap untuk dipakai. Boleh juga dibuat gelang atau tali pinggang tau!

Melalui aktiviti ini, anak bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran motor halus, tetapi juga dapat belajar menggunting, melatih daya konsentrasi serta meningkatkan koordinasi mata dan tangan mereka.

Foto Kredit : hellowonderful.co

Foto Kredit : hellowonderful.co

2.‘Lacing Cards’

‘Lacing cards’ tidak semestinya dibuat menggunakan kertas, tetapi ia juga boleh diubahsuai dengan menggunakan fabrik seperti kain felt. Sediakan pelbagai bentuk ‘lacing cards’ mengikut kreativiti kita dan minat anak. Kemudian, tebuk lubang di sekeliling bentuk tersebut. Potong tali atau benang mengikut panjang yang bersesuaian untuk dimasukkan ke dalam lubang yang telah ditebuk tadi.

Ajar anak untuk melakukan aktiviti ala-ala menjahit ini dengan memasukkan serta mengeluarkan tali atau benang melalui lubang-lubang di sepanjang bahagian tepi bentuk tersebut.

Dengan aktiviti ini, anak akan belajar untuk fokus, melatih koordinasi mata dan tangan sekaligus meningkatkan kemahiran motor halus mereka.

Foto Kredit : crafthubs.com

Foto Kredit : crafthubs.com

3. ‘Button Snake’

Lukis dan gunting bentuk yang diingini pada kain felt. Tebuk lubang di bahagian tengah kain felt yang telah digunting itu. Seterusnya, potong riben mengikut panjang ‘button snake’ yang dikehendaki dan jahit butang baju pada kedua-dua hujung riben tersebut.

Ajar anak untuk memasukkan butang baju ke dalam lubang pada kain felt tesebut satu persatu. Apabila kesemua kain felt tersebut telah berjaya dimasukkan ke dalam riben, ianya akan kelihatan seperti ular.

Mungkin, pada awalnya agak sukar untuk anak mengawal jari tangan mereka bagi memasukkan butang baju ke dalam lubang yang ditebuk pada kain felt itu. Tetapi lama-kelamaan, mereka pasti dapat melakukannya dengan mudah! Anak perlu fokus dan mempunyai koordinasi mata dan tangan yang baik dalam usaha meningkatkan kemahiran motor halus mereka melalui aktiviti ini.

Foto Kredit : isewblog.blogspot.com

Foto Kredit : isewblog.blogspot.com

4. Main Tanah Liat / ‘Play Dough’

Tidak kira sama ada tanah liat atau ‘play dough’ ini dibeli atau DIY di rumah, ianya mempunyai banyak manfaat untuk anak.

Anak akan belajar menekan, menggunting, menguli, serta menggelek ‘play dough’ ini untuk membuat pelbagai bentuk yang diingini. Ia memerlukan kekuatan otot di bahagian pergelangan tangan dan jari jemari mereka untuk melakukan perkara-perkara tersebut.

Anak pasti seronok bermain ‘play dough’ ini berjam-jam lamanya tanpa menyedari bahawa tujuan sebenar bermain ‘play dough’ tersebut adalah untuk meningkatkan kemahiran motor halus mereka!

Foto Kredit : medicalnews.bg

Foto Kredit : medicalnews.bg

5. MELUKIS GUNA ‘SQUEEZING BOTTLE’

Buat kelainan dalam aktiviti melukis anak dengan menggunakan DIY cat dan ‘squeezing bottle’. Cuma perlu DIY cat mengikut warna kegemaran anak dengan menggunakan tepung jagung sebagai bahan utama dan isikan cat tersebut ke dalam ‘squeezing bottle’.

Biarkan anak melukis mengikut kreativiti dan imaginasi mereka dengan menggunakan DIY cat dalam ‘squeezing bottle’ itu. Anak perlu menggunakan kekuatan kedua-dua belah pergelangan tangan dan jari tangan mereka untuk memicit botol serta mengawal pengaliran cat semasa melukis.

Aktiviti melukis sebegini secara tidak langsung dapat melatih kemahiran motor halus anak sekaligus memberi pengalaman baru buat mereka. Lebih seronok berbanding biarkan anak main gajet, bukan?

6. Mewarna Guna Putik Kapas

Sediakan kertas lukisan kosong atau sebarang lukisan bergambar atau apa-apa objek seperti batu untuk diwarnakan oleh anak dengan menggunakan warna air dan putik kapas.

Aktiviti ini memerlukan kawalan jari tangan yang baik untuk anak mewarna menggunakan putik kapas yang saiznya lebih kecil berbanding berus yang biasa digunakan. Ketika mewarna, ianya melibatkan koordinasi mata dan tangan anak serta melatih anak untuk fokus dan sudah pasti dapat meningkatkan kemahiran motor halus mereka.

Foto Kredit : handsonaswegrow.com

Foto Kredit : handsonaswegrow.com

7. Main Sidai Baju Guna Penyepit Baju

Ikat tali pada kaki meja untuk dijadikan ampaian dan sediakan penyepit baju untuk bermain. Sekiranya berkesempatan, kita boleh membuat replika pakaian dengan menggunakan kotak terpakai atau kain felt. Jika tidak, gunakan pakaian anak yang bersaiz kecil untuk bermain sidai baju ini.

Melalui aktiviti ini, anak akan belajar menyidai pakaian dan menyepit pakaian yang disidai untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kawalan jari yang baik dan kekuatan jari tangan sangat diperlukan untuk memicit penyepit baju tersebut. Kawalan jari tangan yang baik serta jari jemari yang kuat untuk menyepit pakaian menggunakan penyepit pakaian ini menunjukkan peningkatan kemahiran motor halus anak.

Foto Kredit : aliexpress.com

Foto Kredit : aliexpress.com

8. ‘Water Play’ Guna Perkakas Dapur

Aktiviti ini hanya memerlukan perkakas dapur sedia ada seperti cawan plastik, mangkuk plastik, besen kecil, senduk, dan sebagainya untuk dijadikan permainan anak.

Sediakan air di dalam satu bekas dan benarkan anak bermain air dengan menggunakan perkakas dapur tersebut. Boleh juga ditambah dengan sabun bagi menghasilkan buih dan anak turut boleh bermain air bersama buih yang terhasil itu.

‘Water play’ sebegini dapat meningkatkan kemahiran motor halus anak dengan kawalan pergelangan tangan dan jari tangan mereka ketika menceduk dan menuang air. Kalau anak asyik bermain dengan gajet, sudah tentu mereka tidak dapat pengalaman sebegini.

Foto Kredit : henshawnursery.co.uk

Foto Kredit : henshawnursery.co.uk

9. Masukkan Mainan Ke Dalam Kotak Tisu Terpakai

Seperti mana yang kita tahu, kotak tisu hanya mempunyai lubang yang kecil di bahagian atasnya. Pilih mainan anak pelbagai saiz yang muat untuk dimasukkan ke dalam kotak tisu terpakai.

Anak akan meneroka pergerakan pergelangan tangan dan jari tangan mereka ketika cuba memasukkan mainan tersebut ke dalam kotak tisu terpakai ini. Sebagai tambahan, minta anak keluarkan semula mainan yang telah dimasukkan sebentar tadi.

Aktiviti ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran motor halus anak, malah dapat melatih daya konsentrasi serta meningkatkan koordinasi mata dan tangan mereka.

10. Bermain Dengan Bahan Kecil Dan Halus

Bagi meningkatkan kemahiran motor halus anak, bahan yang kecil dan halus boleh digunakan untuk bermain, tetapi memerlukan pengawasan ketat oleh ibu bapa supaya tidak membahayakan anak ketika bermain. Antara bahan yang sesuai untuk dijadikan permainan adalah seperti beras, pasta, manik, labuci, butang baju, dan bola pom pom.

Anak boleh bermain bahan-bahan ini sama ada dengan menggunakan tangan, sudu, senduk, cawan plastik, cawan kertas ‘cupcake’, mangkuk, atau pengepit. Aktiviti ini dapat melatih kawalan jari tangan anak ketika mengutip bahan yang bersaiz kecil dan halus itu. Anak juga dapat berlatih mengawal pergerakan pergelangan tangan dan jari tangan mereka ketika bermain bahan tersebut dengan menggunakan sudu, senduk, cawan plastik, cawan kertas ‘cupcake’, mangkuk, atau pengepit. Sambil bermain, anak juga boleh belajar tentang bentuk, warna dan mengira bilangan bahan-bahan tersebut.

Jika dibandingkan dengan gajet, bermain menggunakan material yang kecil dan halus sebegini dapat melatih anak untuk lebih fokus, meningkatkan koordinasi mata dan tangan anak sekaligus meningkatkan kemahiran motor halus mereka.

anak main gajet

Foto Kredit : mysmallpotatoes.com

Lebih Seronok Daripada Biarkan Anak Main Gajet!

Terdapat pelbagai lagi aktiviti menarik yang boleh dilakukan bersama anak mengikut kreativiti masing-masing. Alih perhatian anak dan hentikan ketagihan mereka bermain gajet. Jadi ibu bapa yang kreatif dan cipta aktiviti baru untuk anak sekerap yang mampu dalam usaha memantapkan kemahiran motor halus mereka.

Apabila anak telah berupaya membuat pelbagai perkara yang melibatkan kemahiran motor halus ini dengan baik, kita pasti berasa sangat gembira dan berpuas hati kerana usaha kita selama ini tidak sia-sia!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×