Asuh

6 Tips Jadikan Pembelajaran Anak Dari Rumah Lebih Menarik!

552
SHARES
bermain sambil belajar

Rumah merupakan sekolah pertama bagi anak. Pelbagai perkara baru anak akan pelajari dari rumah sama ada dari segi perkembangan fizikal, emosi, pertuturan, melakukan kerja-kerja rumah serta pelbagai lagi tugasan seharian. Kesemua ini melibatkan aktiviti bermain sambil belajar yang bermula dari rumah.

bermain sambil belajar

Foto Kredit: i.huffpost.com

Aktiviti Bermain Sambil Belajar

Tidak dapat dinafikan bahawa fitrah dan dunia kanak-kanak adalah bermain. Walaupun mereka sungguh asyik bermain, tetapi secara tidak langsung mereka sebenarnya sedang belajar sekaligus memperoleh banyak ilmu pengetahuan serta kemahiran baru melalui permainan tersebut.

Pelbagai aktiviti bermain sambil belajar di rumah boleh dilakukan oleh anak-anak dan ianya memerlukan usaha kita sebagai ibu bapa dalam untuk menjadikan aktiviti bermain sambil belajar lebih menyeronokkan.

Foto Kredit: newhdwallpaper.com

Foto Kredit: newhdwallpaper.com

6 Tips Jadikan Pembelajaran Anak Dari Rumah Lebih Menarik!

Berikut merupakan 6 tips yang boleh diaplikasikan oleh ibu bapa untuk merancang aktiviti bermain sambil belajar dengan anak-anak di rumah. Tak susah pun sebenarnya!

1. Rancang Tema Mingguan

Bagi memastikan pembelajaran anak dari rumah lebih teratur dan menarik, buat perancangan tentang tema yang ingin diajar kepada anak mengikut minggu dan tetapkan matlamat yang ingin dicapai di penghujung minggu tersebut. Dengan satu tema sahaja, akan muncul seribu satu idea aktiviti yang boleh dimainkan oleh anak sama ada di dalam dan luar rumah.

Sebagai contoh, Minggu 1 – tema buah-buahan, Minggu 2 – tema haiwan peliharaan, Minggu 3 – tema sayur-sayuran, dan begitulah seterusnya setiap minggu. Jika minggu itu bertemakan buah-buahan, antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah membacakan buku cerita berkaitan buah-buahan, susun suai gambar buah-buahan, pergi ke pasar untuk membeli buah-buahan, melukis serta mewarna gambar buah-buahan dan banyak lagi aktiviti yang menyeronokkan.

Tema mingguan adalah sangat baik untuk dirancang kerana ibu bapa dapat memfokuskan kepada sesuatu topik sahaja dalam satu-satu masa yang mana ianya dapat memudahkan anak untuk mengingati dan memahami perkara yang dipelajarinya mengikut tema yang telah ditetapkan setiap minggu. Rekodkan kesemuanya ke dalam buku catatan dan anda akan dapat lihat bahawa telah banyak perkara yang telah dipelajarinya minggu demi minggu!

2. Sediakan Bahan Sebelum Mula Bermain

Sekiranya ibu bapa memilih untuk melakukan aktiviti sendiri di rumah tanpa menggunakan permainan yang biasa dimainkan oleh anak, persediaan perlu dilakukan sebelum bermain. Persediaan yang dilakukan sehari sebelum aktiviti dilakukan adalah lebih baik kerana anak tidak perlu menunggu lagi untuk mula bermain terutamanya apabila mereka memulakan hari baru kerana semuanya telah tersedia.

Anak pasti tidak sabar untuk bermain apabila melihat bahan permainan telah siap disediakan oleh ibu bapanya di atas meja! Sesetengah permainan tidak memerlukan persediaan yang rumit untuk bermain terutamanya permainan berkaitan ‘sensory play’.

Kita hanya perlu memberikan anak bahan-bahan asas yang ada di rumah seperti beras, spaghetti, tepung dan pelbagai lagi bahan lain untuk anak bermain mengikut kreativiti serta imaginasi mereka. Permainan sebegini dapat merangsang deria anak untuk mengenal dan membezakan sifat, rupa, bentuk dan warna bahan-bahan tersebut.

permainan pintar

Foto Kredit: stirthewonder.com

3. DIY Permainan Untuk Anak

Sesekali, ibu bapa boleh cuba untuk menjadi lebih kreatif dengan membuat sendiri permainan untuk anak atau lebih mengujakan lagi, kita lakukan aktiviti ini bersama-sama dengan anak!

Mungkin ada yang berfikir “Ala, aku tak kreatif la.. Lagipun, mana ada masa nak buat..”. Belum cuba, belum tahu! Sebenarnya terdapat pelbagai aktiviti bermain sambil belajar yang menarik dan hanya memerlukan langkah-langkah mudah bagi membuat sendiri permainan anak ini termasuklah membuat dadu gergasi, membina bangunan menggunakan kotak terpakai dan banyak lagi.

Percayalah, pasti anda akan mencapai kepuasan yang tidak dapat digambarkan apabila anak seronok bermain dengan permainan buatan sendiri itu!

4. Tentukan Aktiviti Mengikut Kemahiran Yang Ingin Diterapkan

Ketika bermain, secara tidak langsung, anak akan mempelajari dan memperbaiki pelbagai kemahiran dalam diri mereka. Antaranya adalah kemahiran motor kasar (gross motor skill) iaitu kemahiran yang melibatkan anggota badan yang besar seperti tangan dan kaki, kemahiran motor halus (fine motor skill) iaitu kemahiran yang melibatkan anggota badan yang kecil seperti jari tangan, kemahiran memfokus, koordinasi mata dan tangan (hand-eye coordination), koordinasi kedua-dua belah anggota badan (bilateral coordination) dan banyak lagi.

Kemahiran-kemahiran ini adalah sangat penting untuk dilatih di awal usia agar anak dapat melakukan pelbagai tugasan seharian dengan baik apabila usia mereka meningkat kelak. Sebagai contoh, untuk melatih kemahiran memfokus, anak anda boleh bermain memasukkan duit syiling ke dalam tabung, memasukkan bola ke dalam lubang pada kotak, menuang air ke dalam bekas dan juga memasukkan spaghetti ke dalam lubang pada bakul.

Tetapkan kemahiran yang ingin diterapkan kepada anak dan lakukan aktiviti yang menyeronokkan bersesuaian dengan kemahiran tersebut. Apabila melihat anak semakin bijak dalam melakukan aktiviti tersebut dari semasa ke semasa, kita sebagai ibu bapa pasti akan berasa gembira kerana usaha kita selama ini sangat berbaloi dan telah membuahkan hasil!

Foto Kredit: handsonaswegrow.com

Foto Kredit: handsonaswegrow.com

5. Kenalpasti Minat Dan Beri Galakan

Setiap anak mempunyai minat yang berbeza. Ada anak yang minat bermain dengan air, pasir dan tanah liat. Ada anak yang minat melukis, mewarna dan bermain alat muzik. Ada juga anak yang meminati permainan kenderaan, membina bangunan dan membuat robot.

Sepanjang proses bermain, ibu bapa akan dapat mengenalpasti minat anak masing-masing. Kesemua permainan dan minat anak ini seharusnya diberi galakan agar anak sentiasa berasa seronok ketika bermain dan dapat mempelajari sesuatu daripada minatnya itu. Sekiranya anak meminati permainan berkaitan air, beri galakan dengan memperbanyakkan ‘water play’ untuk anak. Jika anak gemar melukis dan mewarna, ajarkan mereka teknik-teknik melukis dan mewarna dengan cantik.

Seandainya anak sangat berminat dengan kenderaan, perkenalkan kepada mereka nama-nama kenderaan dan cipta kenderaan menggunakan bahan-bahan terpakai. Sekiranya terdapat pihak menganjurkan sebarang pertandingan yang seiring dengan minat anak, usah lepaskan peluang tersebut!

Galakkan anak untuk menyertai pertandingan itu agar mereka dapat mengekspresikan minat dengan lebih berani di khalayak ramai. Dengan cara ini, anak pasti akan lebih bersemangat untuk meningkatkan potensi diri mereka dalam bidang yang diminatinya.

6. Luangkan Masa Bersama Anak

Bagi mewujudkan rasa seronok dalam diri anak untuk bermain di rumah, tidak semestinya kita membelikan semua permainan yang ada di pasaran bagi memenuhi kehendak anak itu. Masa yang dapat diluangkan oleh ibu bapa terhadap anak adalah lebih penting dan cukup bermakna untuk membuatkan mereka berasa gembira.

Dalam kesibukan kita melaksanakan tugasan seharian, usah dilupa mencuri sedikit masa untuk melibatkan diri kita bersama anak untuk merancang aktiviti bermain sambil belajar. Interaksi antara ibu bapa dan anak yang terjalin bukan sahaja dapat merapatkan lagi hubungan antara kedua-duanya, malah dapat mendorong komunikasi dua hala yang baik bagi membantu anak untuk bertutur.

Anak juga akan lebih menghargai ibu bapa kerana kesudian kita untuk bermain bersama mereka walaupun tugasan seharian sedia menunggu untuk dilangsaikan. Rakamkan gambar dan momen bersama-sama mereka dalam aktiviti yang dilakukan. Ianya pasti akan menjadi suatu memori yang cukup indah untuk diabadikan dan kenangan yang tidak dapat dilupakan buat ibu bapa dan anak.

aktiviti bermain sambil belajar

Foto Kredit: sheknows.com

Seronoknya Bermain Di Rumah!

Jom cipta suasana yang terbaik di rumah sebagai tempat yang seronok untuk mempelbagaikan aktiviti bermain sambil belajar! Zaman kanak-kanak mereka hanya dilalui sekali sahaja seumur hidup.

Jadi, berikan anak anda masa untuk menikmati zaman ini dengan riang ria. Kelak, apabila anak menginjak ke alam remaja dan dewasa, bukan sahaja mereka, tetapi kita sebagai ibu bapa pasti akan turut merindui zaman bergembira bersama mereka sewaktu mereka kecil.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×