“Asyik bermain je. Nampaknya anak aku tak ada minat langsung nak menulis. Dah macam-macam buku aku beli. Bukannya yang murah, siap ada kartun kegemarannya. Apa lagi cara ajar anak menulis dengan seronok ya?”
Walaupun anak anda akan belajar menulis semasa berada di sekolah, anda masih boleh memperkenalkannya dengan beberapa aktiviti untuk mengasah kemahiran ini.
Cuba lakukan beberapa trik dan tips ajar anak menulis supaya mereka ‘enjoy’ dan tidak berasa bosan.
6 Cara Ajar Anak Menulis Dengan Seronok, Tak Payah ‘Tension’ Lagi
Berikut adalah 6 cara ajar anak menulis dengan seronok dan kreatif. Tentu anak takkan bosan dan ‘tension’!
1. Jangan Guna Buku
Walau apa jenis buku yang anda gunakan, anak-anak akan menganggapnya sebagai ‘kerja’ yang perlu disiapkan di meja belajar.
Untuk membangkitkan semangat mereka, anda boleh aplikasikan cara ajar anak menulis yang ‘gila-gila’ untuk membentuk abjad atau nombor.
Contohnya, seperti menggunakan:
- warna air atau ‘finger paint’
- ‘shaving cream’
- pasir
- tanah liat atau play-doh
- blok binaan atau Lego
- kayu aiskrim
Tidak kiralah sama ada mereka belajar membuat hanya satu atau dua abjad sehari. Yang penting, anda dapat menyampaikan mesej bahawa belajar menulis tidaklah sesukar yang disangka. Malah, ia amat menyeronokkan!
2. Mulakan Dengan Menulis Nama
Antara perkara yang paling mudah untuk diingat oleh anak adalah nama mereka sendiri. Ini juga adalah identiti mereka.
Oleh itu, mulakanlah dengan menulis nama mereka sendiri. Sedikit sebanyak, mereka akan berasa bangga kerana mampu menulis nama sendiri.
3. Gunakan Huruf Kecil
Menurut Dawn Audibert melalui laman web Parents.com, menulis huruf besar sememangnya lebih mudah berbanding huruf kecil.
Tetapi, kebiasaan menulis huruf besar ini biasanya akan terbawa-bawa dan sukar diperbetulkan apabila anak mula belajar menulis di tadika atau sekolah.
Oleh itu, cuba mula ajar anak menulis nama mereka dengan huruf kecil, kemudian barulah belajar menulis huruf besar.
4. Pilih Alat Yang Sesuai
Sebenarnya, pensel yang kita biasakan adalah terlalu panjang. Ini akan menyukarkan anak kecil untuk memegang dan mengawal pensel dengan betul, lalu tulisan pun akan menjadi buruk.
Kalau buruk, tentu mereka akan rasa kurang termotivasi dan cepat ‘frust’ untuk meneruskan usahanya.
Sebab itulah mereka lebih suka menggunakan set pensel warna yang pendek seperti yang biasa dijual dalam kotak. Pendek-pendek dan comel belaka, baru sesuai!
Kalau tak ada, boleh juga menggunakan alatan lain yang lebih sesuai untuk saiz tangan mereka. Contohnya, kapur tulis atau alat magnetik seperti dalam gambar di bawah.
5. Ikut Turutan Huruf Yang Paling Mudah
Selepas menulis nama mereka dengan huruf kecil, anda boleh mulakan pula dengan huruf besar.
Menurut Jan Olsen, pencetus Handwriting Without Tears, cara ajar anak menulis yang betul adalah dengan turutan berikut.
Paling Mudah: E F H I L T
Sederhana: B C D G J O P Q S U
Sukar: A K M N R V W X Y Z
6. Praktis Aktiviti Motorik
Selain cara ajar menulis di atas, anda juga boleh melatih kemahiran tangan anak dengan menggalakkannya bermain Lego, puzzle, play doh, pasir, butiran manik, atau makanan.
Kemahiran memegang ini akan membantunya mengawal pergerakan jari serta saraf untuk dikoordinasikan dengan mata.
Kena Kreatif, Jangan Memaksa
Tak perlu risau jika mereka belum menunjukkan minat untuk mengenal abjad mahupun belajar menulis.
Jika anda konsisten dan sentiasa cuba menarik minat mereka dengan idea-idea baru dan mudah, tak mustahil mereka akan terbuka hati untuk mencuba. Cukuplah walaupun sekadar ingin menulis 2-3 huruf sebagai permulaan.
Yang penting, janganlah memaksa mereka kerana ia akan menjadikan pengalaman ‘belajar’ amat menakutkan.