2-4 Tahun

5 Kebaikan Bermain Untuk Kanak-kanak

721
reads
5 Kebaikan Bermain Untuk Kanak-kanak

Apa kebaikan bermain untuk kanak-kanak pada zaman sekarang? Anak anda seorang yang aktif? Anak anda sering bermain? Pantang nampak bola, lori dan kereta mainan? Atau dia akan ralit bermain puzzle atau lego?

Anda dapat lihat apa perkembangan dan pelajaran yang dia dapat daripada bermain? Atau anda rasa dia sekadar bermain dan membuang masa dan juga membuat sepah di rumah? Saya bongkarkan rahsia bermain di sini.

Biasa dengar dialog begini?

“ Ya Allah, siapa buat sampai jadi macam ni???? “
 “ Subhanallah, apa nak jadi kamu ni. Tak boleh duduk diam ke??? “
 “ Apa yang degil sangat ni? Mak pukul nanti! “

Itulah dialog yang sering bermain di bibir ibu bapa yang kurang tahan dengan kerenah anak-anak. Terduga juga dengan ‘kelasakan’ dan ‘keaktifan’ mereka. Tidak cukup dengan mulut, kadang-kadang tangan juga yang sampai ke peha dan lengan anak, dengan tujuan agar yang nakal menjadi baik semula.

Tahukah anda bahawa bermain itu adalah hak seorang anak? Mengikut Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu (20 November 1989), menyatakan bahawa bermain itu adalah hak kepada seorang anak (http://pediatrics.aappublications.org/content/119/1/182.full).

Pernahkah anda dengar tagline Milo? Play More, Learn More. Bermain adalah dunia kanak-kanak. Mereka belajar melalui persekitaran mereka. Melihat ke wajah anak-anak, benar-benar membuatkan kita terfikir. Kadang-kadang nasi bertaburan ketika makan. Minum pun sering kali tertumpah ke lantai. Barang permainan pasti sudah tidak sesempurna seperti ketika mula-mula dibeli. Ada yang hilang tayar, ada yang dilekat dengan permainan yang lain dan macam-macam lagi.

Apakah kebaikan bermain untuk kanak-kanak ?

  1. Dengan bermain, mereka akan melompat, berlari, melutut, merangkak, memanjat, mengelungsur dan sebagainya. Ini melatih skil motor kasarnya dan sangat penting bagi perkembangan fizikal serta mental anak. Dengan menggerakkan semua anggota badannya, mereka dapat menggerakkan pula otot-otot kecil mereka.
  2. Bermain dapat membina otot-otot kecil seperti di jari jemari anak. Aktiviti seperti mengutip benda kecil, memasukkan benda kecil ke dalam lubang, menyusun, membina blok dapat mengaktifkan jari mereka. Ini dapat membantu anak untuk cepat menulis.
  3. Bermain juga dapat melatih anak untuk berkomunikasi dengan orang lain. Mereka akan belajar berkawan, menunggu giliran, mengucapkan terima kasih, meminta maaf dan sebagainya.
  4. Selain daripada itu juga, anak akan belajar mengawal emosinya. Dia akan tahu apa itu marah, kecewa, gembira, sedih, kasihan dan sebagainya. Kesemua emosi ini amat penting kerana dia akan belajar bagaimana mengawalnya dengan baik.
  5. Anak akan jadi kreatif, imaginatif dan cuba menyelesaikan masalah. Contohnya dengan bermain Lego atau manipulative, dia akan berimaginasi untuk membina kapal terbang atau kereta. Otaknya berfikir blok apakah yang sesuai untuk melengkapnya menjadi kapal terbang. Anak akan berfikiran kritikal. Ini merangsang untuk otaknya berhubung dan berfingsi dengan baik.

Jadi, biarkan mereka bermain dalam suasana yang selamat dan harmoni kerana bermain memberikannya banyak manfaat.

Yang Popular

To Top