Asuh

10 Permainan Tradisi Yang Patut Dimainkan Semula Bersama Anak

2.1K
reads

Jika diimbau kembali zaman kanak-kanak kita, kita akan berkumpul setiap petang di padang, halaman rumah mahupun taman permainan untuk bermain bersama rakan-rakan.

Walaupun permainan yang dimainkan ketika itu tidak secanggih permainan di gajet anak-anak pada masa kini, ianya tetap  menghiburkan dan menyeronokkan serta menjadi kenangan terindah buat kita, bukan?

Foto Kredit : picssr.com

Foto Kredit : picssr.com

Tingkatkan Kemahiran Sambil Bermain

Terdapat banyak permainan tradisi yang kita mainkan pada zaman dahulu melibatkan anggota badan yang besar iaitu tangan, kaki dan keseluruhan anggota badan. Ianya termasuklah merangkak, berjalan, berlari, melompat, memanjat, membaling, menangkap, mengejar, menarik, menolak dan sebagainya. Tanpa kita sedari, sebenarnya kesemua pergerakan ini mengukuhkan lagi kestabilan serta keseimbangan seluruh anggota badan kita sekaligus meningkatkan kemahiran motor kasar atau lebih dikenali sebagai ‘gross motor skills’.

Sesetengah permainan pula memerlukan pergerakan anggota badan yang kecil seperti pergelangan tangan dan jari jemari tangan ketika bermain. Melalui permainan tersebut, kemahiran motor halus atau ‘fine motor skills’ dapat diasah dan ditingkatkan.

Foto Kredit : mobile.fourlook.com

Foto Kredit : mobile.fourlook.com

10 Permainan Tradisi Yang Patut Dimainkan Semula Bersama Anak

Berikut merupakan senarai 10 permainan tradisi yang mempunyai banyak manfaaatnya dan patut dimainkan bersama anak-anak atau dimainkan semula oleh mereka.

1. Tingting

Sebagaimana yang kita semua tahu, tingting merupakan permainan tradisional yang sememangnya popular sejak zaman dahulu lagi.

Bermain tingting dapat meningkatkan kemahiran motor kasar anak sekaligus menguatkan lagi otot mereka kerana mereka perlu mengawal dan menyeimbangkan badan mereka untuk melompat ke dalam kotak-kotak tingting tanpa terjatuh.

Foto Kredit : jornalahora.com.br

Foto Kredit : jornalahora.com.br

2. Lompat Tikus

Permainan lompat tikus ini memerlukan pergerakan berlari, melompat dan juga merangkak bagi melepasi halangan tangan serta kaki dua orang rakan sepermainan.

Melalui pergerakan-pergerakan dalam permainan ini, ianya secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran motor kasar anak.

3. Lompat Getah

Lompatan melintasi rantaian gelang getah pada tahap yang rendah sememangnya melegakan. Tetapi apabila ketinggian ditingkatkan, kita pasti memikirkan teknik terbaik untuk melakukan lompatan di atas rantaian gelang getah tersebut. Kadang kala kita perlu berlari dari jauh untuk mendapatkan impak lompatan yang tinggi bagi melepasi gelang getah.

Pasti seronok jika kita dapat bermain permainan lompat getah ini bersama anak. Pergerakan dalam permainan ini dapat melatih kemahiran motor kasar anak dan membantu anak untuk membina otot yang lebih mantap.

Jika dahulu kita menggunakan rantaian gelang getah untuk bermain lompat getah, kini anak-anak boleh bermain lompat getah dengan menggunakan ‘skipping rope’.

Foto Kredit : picssr.com

Foto Kredit : picssr.com

4. Konda Kondi

Permainan konda kondi memerlukan fokus yang tinggi serta koordinasi tangan dan mata yang baik untuk menyungkit kayu anak menggunakan kayu ibu dan berlari sambil mengejar kayu yang dibaling sebelum menangkap kayu tersebut.

Kita pasti gembira melihat keseronokan anak-anak bermain permainan tradisi ini kerana secara tidak langsung ianya dapat memperkasa kemahiran motor kasar mereka.

Foto Kredit : manggar.net

Foto Kredit : manggar.net

5. Pukul Berapa Datuk Harimau

Masih ingatkah lagi kita dengan adegan tarik menarik rakan dan baju rakan kita tatkala dikejar oleh ‘sang harimau’ dalam permainan ‘Pukul Berapa Datuk Harimau’ ini? Akhirnya apabila salah seorang daripada rakan kita terlepas pegangannya, kita semua akan lari bertempiaran. Walaupun debaran sentiasa mencengkam dada kerana takut ditangkap oleh ‘harimau’, tetapi permainan ini tetap menyeronokkan!

Permainan ini melibatkan pergerakan aktif anak dengan berlari, mengejar dan menangkap rakan-rakan mereka sekaligus dapat meningkatkan lagi kemahiran motor kasar anak.

Foto Kredit : gazetadopovo.com.br

Foto Kredit : gazetadopovo.com.br

6. Galah Panjang

Memandangkan permainan galah panjang ini memerlukan ramai pemain, anak-anak mungkin boleh bermain bersama sepupu-sepupu mereka atau jiran-jiran terdekat. Lebih ramai yang dapat bermain, permainan ini pasti lebih meriah!

Setiap ahli kumpulan perlu mempunyai kemahiran berlari laju serta berhenti dengan cepat ketika melepasi petak permainan yang dikawal oleh pasukan lawan. Aktiviti ini bukan sahaja dapat melatih fokus dan meningkatkan kemahiran motor kasar anak, malah dapat merapatkan lagi hubungan persahabatan dengan rakan-rakan sepermainan.

Foto Kredit : rendangtakana.com

Foto Kredit : rendangtakana.com

7. Batu Seremban

Walaupun permainan batu seremban ini merupakan permainan tradisional yang hanya memerlukan kita duduk sahaja untuk bermain, ianya memerlukan fokus yang sangat tinggi serta koordinasi tangan dan mata yang baik untuk membaling dan menangkap semula batu yang dibaling itu.

Dengan pergerakan pergelangan tangan dan jari jemari tangan ketika bermain batu seremban ini, kemahiran motor halus anak dapat ditingkatkan.

8. Congkak

Jangan kata anak, ibu bapa juga pasti akan berasa seronok sekiranya dapat bermain congkak ini. Permainan congkak memerlukan pergerakan tangan, pergelangan tangan dan jari jemari tangan yang cekap untuk bermain.

Dengan bermain congkak, ianya bukan sahaja melatih tahap fokus anak, tetapi juga dapat meningkatkan koordinasi tangan dan mata serta kemahiran motor halus mereka.

Foto Kredit : theodysseyonline.com

Foto Kredit : theodysseyonline.com

9. Main Guli

Bermain guli juga merupakan salah satu permainan yang memerlukan fokus yang tinggi untuk membaling atau menjentik guli tepat pada sasaran. Selain itu, anak-anak juga perlu mempunyai koordinasi tangan dan mata yang baik untuk bermain permainan ini.

Foto Kredit : keren.web.id

Foto Kredit : keren.web.id

10. Main Lidi

Jika dahulu kita menggunakan lidi sate untuk bermain lidi ini, kini, anak-anak mempunyai alternatif untuk bermain lidi dengan menggunakan lidi bewarna-warni yang dijual di pasaran.

Sama seperti bermain guli, bermain lidi juga memerlukan teknik tertentu serta tahap fokus yang tinggi untuk mengambil lidi daripada timbunan lidi tanpa menggerakkan lidi-lidi lain. Dengan koordinasi tangan dan mata yang baik ketika bermain, anak-anak pasti berasa gembira kerana berjaya memperoleh banyak lidi hasil daripada usahanya itu.

permainan tradisi

Foto Kredit : theodysseyonline.com

Kembalikan Nostalgia Zaman Silam

Walaupun kesemua permainan ini sangat popular pada zaman dahulu, tetapi ianya jarang dimainkan pada masa kini. Peredaran masa telah mengubah populariti permainan-permainan tersebut.

Memandangkan terdapat banyak manfaat dengan bermain permainan-permainan ini, jadi apa tunggu lagi? Ayuh kembalikan nostalgia zaman silam kita dengan bermain permainan tradisi ini bersama anak-anak! Semoga dengan cara ini, permainan-permainan tersebut akan sentiasa segar sepanjang zaman dan tidak hilang ditelan arus kemodenan dunia.

Yang Popular

To Top