Asuh

10 Aktiviti Untuk Anak Lasak, Yang Tak Tahu Duduk Diam

534
reads
Anak aktif

“Anak-anak ni memang tak tau penat kan. Tak berhenti bergerak ke sana ke mari. Diam masa tidur je. Kalau macam ni, buat aktiviti dengan anak-anak lagi bagus. Berlari sana sini ada juga faedahnya.”

Pasti ramai ibu bapa yang mempunyai pengalaman sebegini. Anak-anak yang tidak akan berhenti bergerak selagi mereka tidak berasa penat dan belum puas bermain. Kadang-kala, kita pula yang berasa penat atau mungkin ‘annoying’ dengan ragam mereka yang ‘super duper’ aktif itu. Fuh!

Jika dilihat daripada sudut positif, sebenarnya lebih baik mempunyai anak aktif yang sentiasa bersemangat untuk bermain daripada anak yang duduk diam sahaja tidak bergerak. Itu lebih membimbangkan, bukan? Dengan banyak bergerak, ianya menunjukkan perkembangan ‘gross motor skills’ anak yang semakin baik.

Foto Kredit : www.torrehercules.com

Foto Kredit : torrehercules.com

PERKAITAN ‘GROSS MOTOR SKILLS’ DAN ‘FINE MOTOR SKILLS’

‘Gross motor skills’ dikenali juga sebagai kemahiran motor kasar yang mana ianya merupakan kemahiran melibatkan anggota badan yang besar iaitu tangan, kaki dan keseluruhan anggota badan. Ianya termasuklah merangkak, berjalan, berlari, melompat, memanjat, membaling, menangkap, menyepak, bergolek, menunggang, menarik, dan menolak. Kestabilan serta keseimbangan seluruh anggota badan adalah sangat diperlukan dalam melakukan kemahiran-kemahiran tersebut dalam kehidupan seharian mereka.

Antara aktiviti yang sangat sinonim dengan anak-anak adalah menulis dan mewarna yang berkait rapat dengan ‘fine motor skills’ iaitu kemahiran motor halus yang melibatkan anggota badan yang kecil seperti pergelangan tangan dan jari jemari dalam melakukan sesuatu perkara. Walau bagaimanapun, sebelum anak-anak menguasai kemahiran motor halus tersebut, mereka perlu duduk dengan betul, mempunyai kawalan otot leher, bahu dan tangan yang baik serta membina postur badan yang mantap melalui kemahiran motor kasar.

Ianya jelas membuktikan bahawa selain daripada kemahiran motor halus, kemahiran motor kasar ini juga perlu dititikberatkan.

Foto Kredit : vendettaclan.tk

Foto Kredit : vendettaclan.tk

KEKAL AKTIF DENGAN BERMAIN

Memandangkan kemahiran motor kasar ini juga sangat penting dalam perkembangan anak-anak, kita sebagai ibu bapa seharusnya membantu mereka untuk meningkatkan kemahiran tersebut. Lakukan pelbagai aktiviti bersama mereka dan biarkan mereka kekal aktif dengan bermain.

Berikut merupakan aktiviti-aktiviti yang mungkin dianggap biasa tetapi sebenarnya menyeronokkan serta dapat meningkatkan kemahiran motor kasar anak.

1. TINGTING

Sebagaimana yang kita semua tahu, tingting merupakan permainan tradisional yang sememangnya popular sejak zaman dahulu lagi.

Bermain tingting dapat meningkatkan kemahiran motor kasar anak sekaligus menguatkan lagi otot mereka. Ini kerana mereka perlu mengawal dan menyeimbangkan badan mereka untuk melompat ke dalam kotak-kotak tingting tanpa terjatuh.

Foto Kredit : www.jornalahora.com.br

Foto Kredit : jornalahora.com.br

2. ‘BUBBLES / BALLOON PLAY’

Jangan kata anak, ibu bapa juga pasti akan berasa seronok dapat bermain belon atau buih sabun ini. Jika dapat melakukan aktiviti ‘bubbles / balloon play’ ini di luar rumah seperti di padang, ianya sudah tentu lebih menarik kerana anak lebih bebas untuk bergerak.

Dengan berlari, mengejar dan menangkap belon atau buih sabun tersebut, ianya dapat meningkatkan kemahiran motor kasar anak dan menguatkan lagi otot mereka.

Foto Kredit : hdwallpaperimages.in

Foto Kredit : hdwallpaperimages.in

3. ‘GOAL THE TISSUE’

Andaikan bawah kerusi atau bawah meja di rumah sebagai pintu gol. Ambil piring kertas dan kipaskan tisu dari jarak tertentu ke arah pintu gol. Nampak mudah sahaja tetapi ia sebenarnya merupakan aktiviti yang mencabar. Anak perlu mengipas tisu dengan kekuatan tangan mereka sambil bergerak menggunakan kekuatan lutut dan kaki mereka untuk membawa tisu tersebut ke pintu gol.

Aktiviti ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran motor kasar anak tetapi juga dapat melatih daya fokus mereka.

Foto Kredit : Google Images

Foto Kredit : Google Images

4. PERLUMBAAN BOLA POM POM

Tampal pita pelekat pada lantai sebagai trek perlumbaan. Sediakan straw dan bola pom pom sebelum memulakan perlumbaan. Sebaik sahaja perlumbaan bermula, tiup bola pom pom dengan menggunakan straw mengikut trek perlumbaan yang telah disediakan sehingga ke garisan penamat.

Dengan melakukan aktiviti ini, anak dapat melatih keseimbangan badan mereka ketika menunduk, meniarap atau merangkak untuk meniup bola pom pom tersebut dengan menggunakan straw sekaligus dapat meningkatkan kemahiran motor kasar mereka.

Foto Kredit : parties-and-picnics.org

Foto Kredit : parties-and-picnics.org

5. CARI HARTA KARUN

Sediakan senarai barang yang ingin disorokkan dan sembunyikan barang-barang tersebut tanpa pengetahuan anak di tempat yang mencabar untuk dicapai seperti di tempat yang tinggi, tempat yang paling dalam dan sebagainya.

Apabila telah selesai menyembunyikan ‘harta karun’ tersebut, ajak anak untuk mencari barang-barang yang disenaraikan itu. Sekiranya aktiviti dilakukan pada waktu malam, tutup lampu dan gunakan lampu suluh untuk mencari barang-barang tersembunyi. Pencarian harta karun kini bermula! Keseluruhan anggota badan anak akan digunakan dalam melaksanakan aktiviti ini dan secara tidak langsung dapat memperkasa kemahiran motor kasar mereka.

Walaupun mungkin keadaan rumah kita akan kelihatan agak bersepah kelak, tetapi keseronokan anak dalam mencari ‘harta karun’ tersebut pasti dapat mengubat keresahan hati kita untuk mengemas rumah semula selepas itu.

Foto Kredit : www.logopraxis-worb.ch

Foto Kredit : logopraxis-worb.ch

6. BALING DADU DAN BUAT GAYA!

Sediakan dadu sebelum memulakan aktiviti. Setiap nombor pada dadu mewakili satu pergerakan. Contohnya, nombor 1 untuk pergerakan ‘merangkak seperti kucing’, nombor 2 untuk pergerakan ‘melompat seperti katak’ dan sebagainya.

Baling dadu mengikut giliran dan anak perlu membuat gaya mengikut nombor yang tertera. Sekiranya terdapat lebih daripada satu dadu, maka lebih banyak pergerakan dapat dilakukan dalam aktiviti ini.

Pergerakan-pergerakan sebegini dapat melatih kemahiran motor kasar anak dan membantu anak untuk membina otot yang lebih mantap. Anak aktif, barulah best!

Foto Kredit : wikiHow

Foto Kredit : wikiHow

7. BADMINTON BELON

Jom buat kelainan dalam bermain badminton dengan menggunakan piring kertas dan belon sebagai pengganti raket dan bulu tangkis! Cuma perlu tampalkan pemegang pada piring kertas dan tiup belon sebelum mula bermain.

Anak bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran motor kasar mereka dengan berlari, melompat dan memukul belon dengan menggunakan pIring kertas itu tetapi juga dapat melatih daya tumpuan mereka ketika bermain.

Foto Kredit : mimuu.com

Foto Kredit : mimuu.com

8. ‘GRAB THAT SHAPE!’

Gantung tali secara melintang pada laluan pintu masuk bilik atau mana-mana ruang yang bersesuaian. Tali tersebut haruslah digantung lebih tinggi daripada capaian tangan anak. Gunting kain felt pelbagai warna serta bentuk dan gantungkan pada tali tersebut dengan menggunakan penyepit baju, tali atau riben. Berikan anak satu bentuk pada satu-satu masa dan biarkan anak melompat untuk mengambil bentuk-bentuk yang sama yang telah digantung itu.

Melalui aktiviti ini, anak bukan sahaja dapt belajar tentang bentuk dan warna, malah secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran motor kasarnya.

Foto Kredit : Babyblog.ru

Foto Kredit : Babyblog.ru

9. ‘MESSY ART PLAY’

Biasanya, apabila anak-anak mewarna dengan menggunakan pensel warna, krayon, berus dan juga warna air, mereka akan mewarna dengan sangat cermat untuk menghasilkan lukisan yang cantik.

Apa kata kali ini kita benarkan anak untuk menghasilkan karya seni dengan menggunakan bola, riben dan warna air pula tanpa perlu terlalu berhati-hati dalam aktiviti mewarna tersebut. Biarkan sahaja anak menghasilkan karya seni mereka secara ‘messy’. Bagaimana caranya? Hanya perlu celupkan bola dan riben ke dalam warna air dan baling ke atas kertas mahjong di atas lantai yang diletakkan jauh sedikit dari tempat anak berdiri. Aktiviti ini bukan sahaja dapat menghasilkan seni abstrak yang unik, malah dapat meningkatkan kemahiran motor kasar anak dengan balingan tersebut.

Sekiranya aktiviti ini dapat dilakukan di luar, ianya adalah lebih baik kerana kita tidak perlu risau jika anak secara tidak sengaja menghasilkan karya seni di dinding atau perabot kita!

messy-art-play

Foto Kredit : Google+

10. MENYANYI DAN MENARI

Aktiviti ini merupakan aktiviti yang paling mudah. Cuma perlu menyanyi sambil menari bersama anak-anak mengikut lirik lagu yang dinyanyikan.

Contoh lagu kanak-kanak yang menarik untuk aktiviti ini adalah Kalau Rasa Gembira, Hokey Pokey, Bunyi Haiwan, Lompat Si Katak Lompat, ‘Head, Shoulders, Knees and Toes’ dan banyak lagi. Lagu-lagu sebegini memerlukan anak menyanyi sambil membuat gaya menggunakan anggota badan terutamanya tangan dan kaki. Dengan pergerakan besar tersebut, ianya dapat meningkatkan lagi kemahiran motor kasar anak.

Jika ada cermin besar di rumah lagi bagus, boleh tengok cermin sambil menyanyi dan menari. Jangan-jangan, kita juga akan ketawa besar melihat gaya yang kita buat itu nanti.

Foto Kredit : www.dailymail.co.uk

Foto Kredit : dailymail.co.uk

JADIKAN AKTIVITI BERMAIN LEBIH MERIAH

Melihat kepada kepentingan kemahiran motor kasar ini, mari mantapkan kemahiran motor kasar anak dengan bermain. Luangkan sedikit masa dengan bermain bersama-sama mereka. Pasti suasana bermain tersebut lebih meriah, melucukan dan menyeronokkan! Gelak tawa kita bersama anak akan menjadikan aktiviti tersebut lebih menarik dan membuatkan kita serta anak lebih gembira. Komunikasi antara ibu bapa dan anak ketika bermain juga dapat merapatkan lagi hubungan antara kita dengan mereka.

Jangan merungut apabila anak aktif. Itu petanda yang bagus. Banyak sebenarnya manfaat bermain ini terhadap anak. Semoga dengan aktif bermain, anak akan membesar dengan bijak, sihat, cergas dan cerdas!

Yang Popular

To Top