Pemergian Muhammad Idlan Fareeq Shahril berusia 14 tahun selepas ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pada malam Jumaat lalu mengundang rasa pilu ramai pihak. Lebih menyedihkan, kematian pelajar Tingkatan Dua itu turut mencetuskan persoalan mengenai kejadian sebenar yang berlaku sebelum dia dikejarkan ke hospital.
Baca juga: “Kaki Dicucuk Benda Tajam Dari Bawah Rumah”- Suri Rumah OKU Sempat Beritahu Suami Sebelum Maut!
KRONOLOGI KEMATIAN PELAJAR TINGKATAN 2 DI KUALA PILAH

Gambar Malaysia Gazette.
Allahyarham yang berasal dari Gemencheh merupakan anak sulung daripada tiga beradik. Berikut kronologi kejadian berdasarkan laporan berita oleh media tempatan:
25 SEPTEMBER
Muhammad Idlan ditemukan tidak sedarkan diri di asrama
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 8 malam Jumaat di sebuah asrama sekolah menengah di daerah Kuala Pilah.
Muhammad Idlan, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, remaja itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin, mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan. Beliau turut memaklumkan proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.
26 SEPTEMBER
Dakwaan kejadian buli mula tersebar
Susulan berita kematian Allahyarham, satu hantaran di media sosial mendakwa pelajar berkenaan meninggal dunia selepas dipercayai dipukul dan dibuli di asrama sekolah.
Dakwaan tersebut mengundang perhatian orang ramai, namun pihak polis ketika itu memaklumkan bahawa siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Keluarga dedah Allahyarham seorang anak pendiam dan penyayang
Bapa saudara Allahyarham, Kamaruddin Ngatimon, 49, menyifatkan anak saudaranya sebagai seorang yang baik, pendiam dan tidak pernah mencari masalah dengan sesiapa.
Menurutnya, Muhammad Idlan juga sangat menyayangi adik-adiknya dan sering menghubunginya setiap kali pulang ke rumah atau ketika mendapat kebenaran keluar dari asrama.
Malah, pertemuan terakhir mereka kira-kira tiga bulan lalu turut meninggalkan kenangan tersendiri buat keluarga. Dia turut berharap siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan keadilan diberikan kepada anak saudaranya.
Jenazah Muhammad Idlan Fareeq dijangka dibawa balik ke Gemencheh untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan As-Syakirin selepas urusan bedah siasat selesai dan pengurusan jenazah dibuat di HTJ.
Polis tahan pelajar Tingkatan 4, kes kematian pelajar disiasat mengikut Seksyen 302
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, mengesahkan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian Muhammad Idlan.
Suspek yang merupakan pelajar Tingkatan Empat itu direman selama enam hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis turut memaklumkan bahawa siasatan masih tertumpu kepada penelitian fakta dan bukti bagi mengenal pasti punca serta motif sebenar kejadian.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana tindakan tersebut boleh menjejaskan siasatan serta privasi keluarga mangsa.
Polis rekod keterangan 21 individu, punca kematian masih belum dipastikan
Dalam perkembangan pada petang, polis memaklumkan bahawa keterangan 21 individu telah direkodkan bagi membantu siasatan. Individu terbabit termasuk pelajar, guru dan ibu bapa mangsa.
Datuk Alzafny berkata, punca kematian Muhammad Idlan masih belum dapat ditentukan dan pihak polis sedang menunggu keputusan ujian lanjutan.
Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian melibatkan satu insiden mendatangkan kecederaan terhadap pelajar berusia 14 tahun di sekolah berkenaan.
Siasatan awal polis: Insiden dipercayai berkait pelanggaran peraturan sekolah
Pada malam 26 September, polis memaklumkan perkembangan awal siasatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pelanggaran peraturan sekolah.
Suspek yang merupakan pelajar Tingkatan Empat dipercayai menegur dan menghukum Muhammad Idlan berikutan kesalahan tersebut.
Bagaimanapun, maklumat berkenaan merupakan dapatan awal siasatan dan bukan keputusan muktamad mengenai punca kematian atau pertuduhan terhadap mana-mana individu.
Polis masih meneliti keseluruhan fakta serta bukti bagi menentukan motif dan keadaan sebenar kejadian.
27 SEPTEMBER

Gambar Cricket Adiwira N9.
Bekas atlet kriket Negeri Sembilan, pernah raih Naib Juara MSSM 2024
Di sebalik pemergian Muhammad Idlan yang mengejutkan ramai, Allahyarham sebenarnya pernah mengharumkan nama Negeri Sembilan dalam arena sukan kriket apabila berjaya meraih Naib Johan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2024.
Kriket Adiwira Negeri Sembilan menerusi laman sosial berkongsi bahawa Allahyarham merupakan antara pemain Kriket Bawah 12 Tahun negeri yang mewakili Negeri Sembilan dalam kejohanan berkenaan.
Bersama pasukannya, Allahyarham berjaya meraih Naib Johan MSSM 2024, sekali gus meninggalkan kenangan tersendiri buat rakan sepasukan, jurulatih dan warga kriket negeri itu.
Dalam ucapan takziah yang dikongsikan, pihak Kriket Adiwira Negeri Sembilan menyifatkan pemergian remaja berkenaan sebagai kehilangan besar kepada mereka yang pernah mengenali dan bersama-sama melalui perjalanan sukan kriketnya.
Bapa saudara Allahyarham turut memaklumkan bahawa anak saudaranya memang meminati sukan kriket dan pernah menyimpan hasrat untuk memasuki sekolah berkenaan.
Bagaimanapun, difahamkan sukan kriket tidak ditawarkan di sekolah tersebut. Muhammad Idlan kemudian memilih sukan memanah apabila memasuki Tingkatan Dua.
Jenazah Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril tiba di Masjid As-Syakirin, Gemencheh, Negeri Sembilan jam 6.15 petang Ahad dan disolatkan sebelum dikebumikan.
Sumber: Sinar Harian (1) (2) (3) (4) (5) (6) / Utusan Malaysia / Kriket Adiwira Negeri Sembilan

