Kes mangsa buli yang tular selepas seorang remaja lelaki dipukul empat individu sebaya sehingga mengalami pendarahan dalam otak dan keretakan tengkorak terus mendapat perhatian ramai.
Terbaharu, ibunya, Zulaikha Sabri, berkongsi perkembangan terkini keadaan anaknya yang kini semakin stabil, namun masih berdepan proses pemulihan yang panjang serta trauma akibat kejadian tersebut.
IBU MANGSA BULI HINGGA TENGKORAK RETAK KONGSI KEADAAN TERKINI ANAKNYA

Tempoh pemulihan boleh ambil sehingga setahun
Menurut Zulaikha, keadaan luaran anaknya kini menunjukkan perkembangan positif apabila sudah boleh makan dan bergerak perlahan seperti biasa. Namun begitu, kecederaan dalaman akibat hentakan kuat di bahagian kepala masih memerlukan pemantauan rapi.
Katanya, pada minggu pertama selepas kejadian, anaknya mengalami sakit kepala yang teruk selain muntah berterusan sebelum keadaannya beransur stabil.
Lebih membimbangkan, doktor memaklumkan keretakan pada tulang tengkorak mengambil masa antara enam hingga 12 bulan untuk pulih sepenuhnya.
Sepanjang tempoh itu, anaknya perlu menjalani pemeriksaan susulan dengan pakar setiap bulan kerana kecederaan di bahagian kepala berisiko tinggi menyebabkan sawan secara tiba-tiba selain komplikasi lain.
Disebabkan itu, remaja berkenaan juga tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti lasak sepanjang tempoh pemulihan. Malah, apabila kembali ke sekolah nanti, dia tidak boleh menyertai aktiviti sukan, permainan mahupun Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK).
Baca juga: Datuk Undur Lori Depan Rumah, Cucu 2 Tahun Maut Dalam Kejadian Pilu Di Gurun!

Trauma masih menghantui mangsa
Selain kecederaan fizikal, Zulaikha berkata anaknya turut mengalami trauma yang masih belum pulih sepenuhnya.
Menurutnya, sepanjang tiga minggu selepas kejadian, anaknya kelihatan takut untuk menjalani kehidupan seperti biasa dan sentiasa mahu ibunya berada di sisi.
“Sepanjang 3 minggu ini dia nampak seperti ketakutan untuk hidup seperti biasa. Dia perlukan saya sepanjang masa. Dia takut dia diserang lagi,” ujarnya.
Jelasnya, sebagai ibu, dia kini memberi sepenuh perhatian bagi membantu anaknya mendapatkan semula keyakinan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
Dalam masa sama, dia memaklumkan siasatan kes masih berjalan dan tidak dapat mendedahkan perkembangan secara terperinci kepada umum.
Bagaimanapun, tuntutan pampasan di Tribunal Antibuli telah difailkan, manakala tindakan undang-undang seterusnya akan diuruskan oleh peguam yang dilantik.
Mengakhiri perkongsian, Zulaikha menyifatkan anaknya sebagai seorang remaja yang baik, rajin membantu keluarga dan menjadi harapan buat dirinya serta adik mangsa.
Dia turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyumbang bagi membantu kos guaman, selain memohon agar masyarakat terus mendoakan kesembuhan penuh buat anaknya serta keadilan dapat ditegakkan.
Sumber: Facebook Zulaikha Sabri
FT Image: Zulaikha Sabri
