Seorang ibu tunggal sanggup menjadikan kereta Perodua Viva miliknya sebagai tempat berteduh bersama dua anak yang masih kecil selepas memilih untuk keluar dari rumah keluarga dan memulakan hidup baharu.
Nur Syuhada Naquiyyah Abdul Majid, 33, berkata dia dan dua anaknya yang berusia dua dan 11 tahun tidur di dalam kereta sejak Rabu lalu dengan hanya membawa pakaian, dokumen penting anak, barangan mandian dan wang simpanan sekitar RM500.
DEMI ANAK, IBU TUNGGAL BERTEDUH DALAM KERETA

Gambar ihsan Nur Syuhada Naquiyyah Abdul Majid: Nur Syuhada kini tiada tempat tinggal dan berumah dalam kereta bersama dua daripada lima anaknya.
Nur Syuhada menjelaskan dia bukan dihalau dari rumah keluarga, sebaliknya membuat keputusan sendiri untuk keluar kerana tidak mahu terus bergantung kepada orang lain.
“Tak pernah terlintas di fikiran saya akan sampai ke tahap ini. Namun, sebagai ibu, saya akan usaha bawa anak keluar daripada kesusahan ini,” katanya kepada Harian Metro.
Ruang kecil dalam kereta kini menjadi tempat mereka berlindung daripada hujan dan panas serta berehat pada waktu malam.
Menurut Nur Syuhada, tidur di dalam kereta bukan perkara mudah, malah anak-anak turut mengadu tidak selesa.
“Memang sukar dan memenatkan tidur di dalam kereta, malah anak pun mengadu tak selesa kerana sakit badan.
“Tapi saya tak boleh tinggalkan mereka jadi kena bawa bersama. Anak ikut saja walaupun tak faham apa sebenarnya yang berlaku. Saya juga tiada perancangan dan tak tahu nak ke mana,” katanya.
Baca juga: Padah ‘Ratah’ Anak Sendiri, Bapa & Juga Guru Dipenjara 270 Tahun 180 Sebatan!
Mandi di tandas stesen minyak dan pantai
Sebelum ini, Nur Syuhada pernah bekerja sebagai pembantu pembedahan pergigian di sebuah klinik kesihatan, namun berhenti pada Julai 2024. Kini dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya mengambil upah menyunting video.
“Buat masa ini, saya bertahan dengan wang yang ada untuk makan dan minum. Tapi dalam keadaan begini, saya hanya bawa anak makan apabila benar-benar lapar.
“Kami bersihkan diri di tandas stesen minyak atau tandas awam di kawasan pantai kerana bukan semua tempat dibenarkan untuk mandi.
“Pada sebelah malam, saya akan cari tempat selamat untuk parkir kereta, kebiasaannya kawasan tidak ramai orang dan dekat dengan sekolah.
“Ia kerana anak masih bersekolah dan saya tak nak dia ketinggalan dalam pelajaran hanya sebab kami tiada tempat tinggal,” katanya.

Sebak lihat wajah anak terpaksa tempuh kehidupan sukar bersamanya
Sejak hari pertama tidak mempunyai tempat tinggal, mereka tidur di dalam kereta. Namun pada malam sebelumnya, Nur Syuhada dan anak-anak sempat bermalam di sebuah hotel bajet hasil bantuan salah seorang sepupunya.
Sebagai seorang ibu, dia mengakui sering sebak setiap kali memandang wajah anak-anak yang masih kecil tetapi terpaksa menempuh kehidupan yang sukar bersamanya.
Ada waktunya, Nur Syuhada Naquiyyah berasa dirinya seorang ibu yang gagal, malah ada individu mendakwa dia mementingkan diri kerana mengheret anak dalam masalahnya selepas berkongsi video di media sosial.
Tambahnya, video yang dikongsikan di media sosial pada awalnya hanyalah untuk mengurangkan tekanan yang ditanggungnya. Namun dia tidak menyangka perkongsian itu mendapat perhatian ramai.
“Tapi walau macam mana pun, saya tak sanggup tinggalkan anak kerana enggan berjauhan dengan mereka. Niat saya kongsi video di media sosial baru-baru ini sebenarnya untuk kurangkan tekanan.
“Tak sangka dapat perhatian ramai dan melihat ruangan komen, ada juga yang berkongsi pengalaman sama dan segelintirnya ajak berjumpa dengan niat membantu.
“Ramai juga minta kod imbasan QR untuk menyumbang duit tapi tak beri kepada semua kerana segelintirnya bukan ingin membantu tapi meminta imbalan semula. Namun ada sumbangan saya terima kerana mereka katakan untuk anak.
“Sekarang, saya sedang berusaha mengumpul duit untuk membayar wang pendahuluan bagi menyewa rumah kerana ada usaha cari bilik sewa, tetapi tiada yang membenarkan membawa anak kecil bersama,” katanya.
Sumber: Harian Metro
FT Image: Nur Syuhada
