“Saya lihat depan mata, dua anak nyawa-nyawa ikan,” ujar Saiful Nizam Abdul Sani, 42.
Saiful Nizam merupakan bapa kepada kepada dua beradik yang maut iaitu Muhammad Saiful Hayyan, 6, dan Muhammad Saiful Haider, 10, selepas motosikal yang ditunggang bersama abang sulung mereka, Muhammad Saiful Haikal, 18 tahun, terbabas di Kampung Bechah Tendong, pada Khamis.
Baca juga: Hati Ibu Mana Tak Sebak, Anak Prihatin Bantu Potong Kuku Warga Emas Ada Masalah Penglihatan
BAPA SEBAK MENYAKSIKAN DUA ANAK DALAM KEADAAN NYAWA-NYAWA IKAN

Muhammad Saiful Haider (depan, duduk dari kiri) dan Muhammad Saiful Hayyan (depan, duduk dari kanan) selepas motosikal dinaiki mereka terbabas melanggar tiang di Kampung Bechah, Tendong, Pasir Mas pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu, Muhammad Saiful Haider disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala adiknya, Muhammad Saiful Hayyan, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Saiful Nizam yang bekerja sebagai pembuat kuih berkata, dia tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan keadaan kedua-dua anaknya selepas kemalangan tersebut.
Ketika tiba di lokasi, dia hanya mampu mengajar mereka mengucap sambil berulang kali memberikan kata-kata semangat.
“Papa ada ni… saya ulang ayat itu beberapa kali kepada anak-anak.
“Ketika itu saya hanya mampu berdoa agar dipermudahkan segala urusan selepas kedua-dua mereka berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HRPZ II.
Dalam kejadian itu, anak sulungnya, Muhammad Saiful Haikal, turut mengalami kecederaan berupa luka dan patah jari kaki. Remaja yang merupakan pelajar diploma di sebuah kolej itu kini menerima rawatan di hospital sama.
Abang sulung dipercayai terlelap ketika menunggang motosikal

Gambar Hazelen Liana Kamarudin: Saiful Nizam mengalirkan air mata terkenangkan dua anaknya iaitu Muhammad Saiful Haider dan Muhammad Saiful Hayyan yang telah maut ketika ditemui di Unit Forensik HRPZ II, Kota Bharu pada Khamis.
Mengimbas kembali kejadian, Saiful Nizam memberitahu dia berada di rumah sebelum isterinya, Noor Zuhanis Mohd Noor, 42, memaklumkan mengenai kemalangan berkenaan.
Isterinya terlebih dahulu menerima panggilan daripada tauke kedai yang mengenali motosikal Yamaha Lagenda tersebut kerana ia milik keluarga mereka. Berikutan, pasangan suami isteri itu turut menjual kuih-muih hasil air tangan mereka di kedai berkenaan.
Sebaik menerima berita tersebut, Saiful Nizam terus bergegas ke lokasi untuk melihat keadaan anak-anaknya.
Menurutnya, sebelum kejadian, dia meminta Muhammad Saiful Haikal mengambil adiknya, Muhammad Saiful Haider, dari Sekolah Kebangsaan Othman Talib 1.
Anak sulungnya ketika itu sedang tidur sebelum dikejutkan dan diminta mencuci muka terlebih dahulu sebelum keluar mengambil adiknya.
“Menurut Muhammad Saiful Haikal, dia dikatakan terlelap semasa menunggang motosikal dan kemudian terbabas melanggar tiang. Mungkin dia masih mengantuk ketika itu,” katanya.
Jenazah kedua-dua beradik berkenaan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gaung, Tendong, Pasir Mas selepas selesai proses bedah siasat.
Sumber: Sinar Harian
