Selepas 20 tahun berpisah, siapa sangka Saniah Saad, 51, dan Abdul Aris Majid, 60, akhirnya kembali disatukan sebagai suami isteri pada 3 Oktober lalu. Pasangan itu dinikahkan di rumah anak tunggal mereka, Dr Nabila Abdul Aris, 34, di Rawang, Selangor, dengan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat.
Lebih menyentuh hati, Dr Nabila sendiri membimbing bapanya melafazkan akad nikah dalam keadaan Abdul Aris masih terbaring di atas katil.
JODOH BERTAUT SEMULA SELEPAS 20 TAHUN BERPISAH

TikTok @silkylarabydrnabila: Dr Nabila (kiri) di samping ibu dan ayahnya selepas selesai sesi akad nikah.
Berpisah ketika anak berusia 14 tahun
Menurut Dr Nabila, ibu bapanya berpisah pada 2005 ketika dia berusia 14 tahun kerana tidak sehaluan.
Walaupun sudah membawa haluan masing-masing, hubungan Saniah dan Abdul Aris masih baik selepas perceraian.
“Selepas berpisah, hubungan mereka masih baik manakala saya pula tinggal bersama mak,” katanya yang juga ibu kepada dua anak.
Saniah kemudiannya mendirikan rumah tangga sekali lagi pada 2008. Namun, perkahwinan itu tidak bertahan lama apabila mereka berpisah pada 2013 selepas lima tahun bersama.
Sementara itu, Abdul Aris pula tidak berkahwin lagi selepas perpisahan mereka.
Kehidupan kedua-duanya terus berjalan sehinggalah satu kejadian pada Februari lalu mengubah keadaan Abdul Aris.
Abah kemalangan, mak mula terfikir untuk kembali
Abdul Aris terbabit dalam kemalangan apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kereta.
Kemalangan itu menyebabkan dia mengalami pelbagai kecederaan termasuk tulang belakang retak, kaki dan tangan patah serta kerosakan pada organ dalaman. Dia kemudian menerima rawatan di hospital selama hampir tiga bulan.
Selepas dibenarkan keluar, Dr Nabila yang merupakan anak tunggal pasangan berkenaan mengambil tanggungjawab menjaga bapanya dan membawanya tinggal bersama.
Namun, pada awal September lalu, Saniah membuat satu keputusan yang tidak pernah dijangka oleh anaknya.

TikTok @silkylarabydrnabila: Dr Nabila membimbing bapanya melafazkan akad nikah dalam keadaan Abdul Aris masih terbaring di atas katil (kiri). Saniah Saad mencium tangan suaminya selepas disatukan semula (kanan).
“Namun, segalanya bermula pada awal September lalu apabila mak beritahu dia mahu bernikah semula dengan abah kerana mahu menjaganya.
“Ketika itu, perasan saya bercampur baur kerana perkara itu tidak pernah terlintas di fikiran dan tidak menyangka mereka akan kembali menjadi suami isteri,” katanya.
Pada awalnya, Dr Nabila bimbang ibunya akan terbeban dan mahu Saniah menikmati usia tuanya dengan berehat. Bagaimanapun, wanita itu sudah mempunyai alasan tersendiri untuk kembali bersama Abdul Aris.
“Mak beritahu dia mahu cari pahala, jadi dengan berkahwin dengan abah, dia boleh kumpul pahala selain memang hajatnya mahu ditemani suami pada akhir usianya,” katanya.
Baca juga: “Tak Ada Kekurangan Pada Mata Saya”- Lelaki Ini Nekad Kahwini Wanita Kudung Tangan Kiri & Kedua Kaki
Persiapan nikah dibuat dalam masa dua minggu
Selepas Saniah menyatakan hasrat tersebut, persiapan pernikahan mereka dibuat dalam tempoh kira-kira dua minggu.
Bagi Dr Nabila, walaupun keputusan itu pada mulanya mengejutkan, dia akhirnya memilih untuk memberikan peluang kepada kedua-dua ibu bapanya.
Dia tidak mahu mereka menyimpan penyesalan sekiranya tidak mencuba untuk menjalani kehidupan bersama semula.
“Sebagai anak, saya rasa mereka patut diberi peluang. Saya tidak mahu ada penyesalan pada kemudian hari kerana tidak memberi peluang kepada mak dan abah untuk bersama semula.
“Perkahwinan mereka bukan sekadar menyatukan kembali dua insan yang pernah berpisah sebaliknya memberi peluang kepada mereka untuk saling menemani dan menjaga antara satu sama lain,” katanya.
Terdahulu, Dr Nabila berkongsi video momen pernikahan ibu bapanya di TikTok. Setakat ini, video berkenaan mendapat 1.8 juta tontonan dengan lebih 149,000 tanda suka.
@silkylarabydrnabila3.10.2026, kenangan baru tercipta. Saya sendiri susah nak gambarkan apa yang saya rasa. Selepas 20 tahun, keluarga ini dipertemukan kembali dengan cara yang langsung tidak pernah di rancang. Kita tak pernah tahu bagaimana Allah menyusun perjalanan hidup seseorang. Ada yang berpisah untuk satu tempoh yang sangat lama… dan ada yang dipertemukan semula ketika mereka paling memerlukan satu sama lain. Untuk mak, terima kasih kerana memilih untuk menjaga abah.
Sumber: Harian Metro
FT Image: TikTok @silkylarabydrnabila
