Perjalanan seorang ibu hamil tujuh bulan bersama anak lelakinya untuk membeli keperluan harian bertukar tragedi apabila motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan sebelum terbakar di Persimpangan Buluh Gading, Kuala Nerus, Terengganu pada Jumaat lalu.
Baca juga: Anak-Anak Sila ‘Roger’ Mak Ayah Umur 60+, Ini 11 Bantuan & Diskaun Yang Mereka Layak Dapat!
IBU HAMIL CEDERA, ANAK MELECUR 60 PERATUS SELEPAS MOTOSIKAL TERBAKAR

Foto: Buletin TV3
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi pada Jumaat lalu, Ahmad Asyraf Talhah, 13, membonceng motosikal Honda Beat yang ditunggang ibunya, Syafirah Salim, 36. Mereka dalam perjalanan dari rumah di Kampung Tanjung Sabtu ke Pasar Batu Enam.
Bagaimanapun, motosikal mereka dipercayai dirempuh dari belakang oleh sebuah motosikal Yamaha RXZ yang dikaitkan dengan peserta program RXZ Members 8.0.
Menurut siasatan awal polis, penunggang Yamaha RXZ berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh dan menggelongsor ke arah motosikal mangsa.
Akibat pelanggaran itu, berlaku tumpahan minyak sebelum kedua-dua motosikal terbakar. Honda Beat yang dinaiki ibu dan anak itu hangus sepenuhnya, manakala motosikal Yamaha RXZ terbakar kira-kira 80 peratus.
Ahmad Asyraf mengalami kecederaan melecur kira-kira 60 peratus pada bahagian pinggang hingga ke bawah badan.
Ibunya yang sedang hamil tujuh bulan turut mengalami kecederaan melecur pada kedua-dua tangan.
Dirawat Di ICU, Berisiko Dijangkiti Kuman
Ahmad Asyraf kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Menurut bapanya, Talhah Mahmud, 61, anak sulungnya terpaksa ditidurkan bagi membolehkan doktor menjalankan prosedur pembersihan luka dan pemantauan rapi.
Beliau berkata, Ahmad Asyraf sempat sedar seketika pada pagi Ahad, namun kadar degupan jantungnya kembali meningkat menyebabkan dia masih memerlukan rawatan intensif.
Lebih membimbangkan, kawasan melecur yang luas menyebabkan lapisan kulit luar mangsa sudah tiada, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan.
Katanya, pihak hospital kini sedang berbincang untuk mendapatkan tisu kulit bagi membantu menampung bahagian yang cedera sebelum rawatan lanjut dapat diteruskan.
Polis Siasat Punca Kemalangan

Foto: Berita Harian
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, penunggang Yamaha RXZ yang berasal dari Bandar Jengka, Pahang hanya mengalami kecederaan ringan iaitu bengkak pada lutut serta luka di tangan.
Lelaki berusia 24 tahun itu dilaporkan telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi membantu siasatan.
Suami Reda, Hanya Berdoa Isteri Dan Bayi Selamat
Talhah berkata, ketika kejadian isterinya dalam perjalanan ke Pasar Batu Enam untuk membeli keperluan harian.
Dia yang masih menggunakan tongkat akibat kecederaan lutut selepas terbabit dalam kemalangan kira-kira lima bulan lalu mengakui tidak sanggup melihat rakaman video kejadian yang tular di media sosial.
Walaupun berdepan ujian berat, beliau memilih untuk tidak menyalahkan mana-mana pihak dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis.
“Saya tidak salahkan mana-mana pihak. Saya cuma berharap isteri, anak dan bayi dalam kandungan selamat serta cepat sembuh,” katanya.
Semoga mangsa dipermudahkan segala urusan rawatan, dijauhkan daripada sebarang jangkitan dan kembali sembuh seperti sediakala serta bayi dalam kandungan mangsa juga berada dalam keadaan selamat dan terus diberikan kekuatan untuk melalui ujian yang amat berat ini.
Baca juga: Boleh Ke Masuk Masjid Ketika Haid Untuk Hadir Kelas Pengajian? Wanita Wajib Tahu Hukum Ini!
Sumber: Buletin TV3, Harian Metro dan Berita Harian
FT Image: Metro
