Hasrat seorang pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) untuk pulang ke kampus selepas menziarahi pusara ibu tidak kesampaian apabila dia terbabit dalam kemalangan maut di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). Nurul Fatehah Alya Kamaruaf’fandi, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan.
Baca juga: Bekas Pemandu e-Hailing Dipenjara 8 Tahun, Tergamak Paksa Kanak-Kanak Makan Najis Sendiri!
PELAJAR UTeM MENINGGAL DUNIA SELEPAS ZIARAH PUSARA IBU

Gambar Facebook My HEPA UTeM: Al-Fatihah buat Nurul Fatehah Alya Kamaruaf’fandi.
Motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 5.30 petang Selasa di Kilometer 211.4, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah selatan, berhampiran Jejantas Ayer Keroh.
Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda Vario 160 secara bersendirian dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan di sebelah kiri. Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke lorong kecemasan dan mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar, mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Akibatnya, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Baca juga: [TERKINI] Pegawai Penyiasat Beritahu Mahkamah, Tiada Bukti Zara Qairina Ditolak Atau Dibun*h
Dalam perjalanan pulang selepas menziarahi kubur ibu

Gambar IPD Alor Gajah: Keadaan motosikal dinaiki Allahyarham Nurul Fatehah Alya.
Allahyarham merupakan penuntut Tahun Dua Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Komputer) dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), UTeM.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, pihak pentadbiran universiti memaklumkan bahawa kemalangan berlaku ketika arwah dalam perjalanan pulang ke kampus di Melaka selepas menziarahi pusara ibunya di Kuala Selangor, Selangor.
“Allahyarham dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di lebuh raya berhampiran Jejantas Ayer Keroh, semalam (Selasa).
“Kemalangan ketika arwah dalam perjalanan pulang selepas menziarah pusara ibunya di Kuala Selangor,” menurut kenyataan universiti berkenaan, semalam.
Pemergian Allahyarham pada usia 20 tahun pastinya menjadi kehilangan besar buat keluarga serta insan terdekat yang mengenalinya.
UTeM bantu urusan jenazah dan salurkan sumbangan
Dalam pada itu, pihak Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UTeM turut membantu menguruskan jenazah Allahyarham sehingga dibawa pulang ke kampung halamannya di Bagan Datuk, Perak, sekitar jam 4.30 petang semalam untuk dikebumikan.
Pihak universiti turut menyampaikan sumbangan khairat kematian RM2,000, selain akan membantu dalam proses tuntutan Insurans Kelompok Pelajar berjumlah RM21,500 serta tuntutan khairat kematian Yayasan Perkasa Siswa (KPT) berjumlah RM2,000.
Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Lina Ervinna Ahmad, menerusi talian 011-59494816 bagi membantu siasatan.
Semoga segala urusan keluarga Allahyarham dipermudahkan dan mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
Sumber: Berita Harian
