Famili

[TERKINI] Pegawai Penyiasat Beritahu Mahkamah, Tiada Bukti Zara Qairina Ditolak Atau Dibun*h

zara qairina

Perkembangan prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir terus menjadi perhatian apabila pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Koroner bahawa tiada individu dikenal pasti menolak atau membunuh Allahyarham berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan setakat ini.

Baca juga: Jururawat Ditik*m Suami Enam Kali, Mahkamah Sahkan Cerai Taklik Selepas Langgar Janji Perkahwinan

TIADA BUKTI ZARA QAIRINA DITOLAK ATAU DIBUNUH

zara qairina

Gambar hiasan.

Inspektor Wong Yew Zhung berkata, siasatan polis tidak menemukan sebarang unsur mencurigakan berhubung kematian remaja berkenaan ketika beliau memberikan keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Bagaimanapun, apabila ditanya peguam Joan Goh sama ada kematian Zara berkemungkinan berpunca daripada kemalangan, beliau menjelaskan perkara itu perlu dirujuk kepada pakar.

Siasatan turut teliti hubungan Zara dengan keluarga

Ketika prosiding berlangsung, Yew Zhung mengesahkan bahawa pihaknya turut meneliti hubungan Zara dengan ahli keluarganya sebagai sebahagian daripada siasatan.

Menurut keterangannya, kira-kira 200 individu telah dipanggil untuk diambil keterangan berhubung kes berkenaan.

Peguam Joan Goh turut bertanyakan sama ada polis mengenal pasti mana-mana pihak yang mempunyai motif untuk memalsukan tulisan tangan Zara dalam diari serta 15 helaian kertas yang diserahkan kepada pegawai penyiasat itu.

Menjawab soalan berkenaan, Yew Zhung berkata:

“Tiada sebarang kepentingan bagi mana-mana pihak untuk berbuat demikian,” jawabnya.

Keterangan itu antara perkara yang dibangkitkan ketika mahkamah meneliti hasil siasatan berkaitan kematian Zara, termasuk maklumat yang diperoleh daripada bahan bertulis milik Allahyarham.

Baca juga: Zara Qairina Tidak Tunjuk Corak Kemurungan Berat Atau Niat B*nuh Diri – Pakar

Punca kematian diketahui sebelum bedah siasat

zara qairina

Gambar hiasan.

Terdahulu, ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri, Yew Zhung berkata punca kematian Zara telah dikenal pasti melalui diagnosis doktor sebelum bedah siasat dijalankan.

Sebelum ini, ibu Zara dilaporkan dimaklumkan oleh Dr Pavankumar Balachandran bahawa anaknya meninggal dunia akibat ‘severe traumatic brain injury with hypoxic ischemic encephalopathy’, iaitu kecederaan otak traumatik teruk yang dikaitkan dengan ensefalopati iskemia hipoksik.

Yew Zhung turut bersetuju bahawa bedah siasat masih perlu dilakukan sekiranya punca kematian telah diketahui tetapi terdapat keadaan atau perkara di sekeliling kejadian yang mencurigakan.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada beliau percaya wujud keadaan mencurigakan di sebalik kematian Zara, pegawai penyiasat itu berkata penilaian awal tidak menemukan sebarang kejanggalan.

Penilaian tersebut dibuat berdasarkan pemeriksaan di lokasi kejadian, maklumat dalam diari Zara serta diagnosis doktor.

Beliau turut memaklumkan bahawa hasil akhir siasatan tidak menemukan kecederaan lain pada tubuh mangsa selain kecederaan yang berpunca daripada jatuh dari tempat tinggi.

Inkues ditubuhkan untuk menentukan keadaan kematian Zara

Untuk rekod, Zara ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Pada 20 Ogos 2025, lima pesalah kanak-kanak yang dikenal pasti menggunakan pseudonim Pelajar A, B, C, D dan E dihadapkan ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atas pertuduhan menghina Zara. Kesemua mereka mengaku tidak bersalah.

Prosiding inkues kematian Zara pula bermula pada 3 September 2025 bagi menentukan punca sebenar kematian serta keadaan yang mengelilinginya, termasuk menyiasat sama ada terdapat pembabitan unsur jenayah.

Keterangan yang dikemukakan di mahkamah merupakan sebahagian daripada prosiding untuk meneliti fakta dan keadaan berkaitan kematian Allahyarham. Penentuan akhir mengenai perkara yang berada dalam skop inkues perlu dibuat berdasarkan keseluruhan keterangan dan penemuan mahkamah.

Sumber: Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×