Seorang bekas pemandu e-hailing dijatuhi hukuman penjara lapan tahun enam bulan selepas mengaku bersalah mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, termasuk memaksanya memakan najis sendiri, dalam kejadian pada 2022.
BEKAS PEMANDU e-HAILING DIPENJARA, PAKSA BUDAK MAKAN NAJIS

Gambar NSTP: Chan Wen Jie diiring keluar selepas dijatuhi hukuman penjara lapan tahun enam bulan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.
Tertuduh, Chan Wen Jie, 32, menerima hukuman itu di Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Fareed Abdul Gapoor, turut memerintahkan hukuman penjara berkenaan berjalan mulai tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Oktober 2022.
CCTV dedah perbuatan kejam terhadap kanak-kanak
Dalam penghakimannya, mahkamah mengambil kira rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan pelbagai perbuatan penderaan terhadap mangsa.
Antara perbuatan yang dinyatakan ialah menghentak kepala mangsa, memaksanya melakukan ketuk ketampi, menyuruhnya berdiri untuk tempoh lama serta merotannya.
Lebih mengejutkan, tertuduh turut memaksa kanak-kanak itu memakan najis sendiri daripada lampin pakai buang.
Abdul Fareed menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tindakan tidak bertamadun dan menjatuhkan maruah, selain menegaskan ia sama sekali tidak boleh dianggap sebagai kaedah mendidik seorang kanak-kanak.
Mahkamah turut berpandangan bahawa perbuatan tertuduh melampaui hukuman fizikal biasa, sebaliknya merupakan penderaan keterlaluan terhadap mangsa yang tidak berdaya melindungi dirinya sendiri.
Baca juga: Budak 11 Tahun Maut Terkena Tembakan ‘Ginsok’, Senjata Api Buatan Sendiri Di Pondok Kebun Getah
Mahkamah tolak alasan mahu mendidik mangsa
Mahkamah juga menolak hujah pihak pembelaan yang menyatakan perbuatan tertuduh merupakan cara untuk mendidik mangsa, seperti yang dilakukannya terhadap anak sendiri.
Menurut penghakiman, tertuduh telah mengkhianati kepercayaan bapa mangsa yang mengamanahkannya untuk menjaga kanak-kanak berkenaan.
Abdul Fareed berkata, sekiranya tertuduh tidak mampu menjalankan tanggungjawab itu, dia sepatutnya menyerahkan semula mangsa kepada bapanya.
Dalam menentukan hukuman, mahkamah menimbang faktor pemberatan dan mitigasi sebelum memutuskan hukuman penjara lapan tahun enam bulan bersesuaian dengan kesalahan dilakukan.
Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan seorang penjamin tanpa cagaran. Tertuduh juga diperintahkan menjalankan kerja komuniti selama 36 jam dalam tempoh tidak melebihi enam bulan.
Bagaimanapun, mahkamah tidak mengambil kira pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang telah ditarik balik serta punca kematian mangsa ketika menentukan hukuman bagi pertuduhan pilihan.
Terdahulu, pada 13 Oktober 2022, Chan didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh Lee See Jie, 3, di sebuah rumah di Jalan Ria 2, Taman Skudai Ria, Skudai.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara jam 8 malam hingga 8.30 malam pada 2 Oktober 2022.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong dan Nordiana Zubir, manakala tertuduh diwakili peguam K Sarawanakumar.
Sumber: Buletin TV3
