Tragedi menyayat hati menimpa seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun apabila dia maut selepas terkena tembakan di kepala di sebuah pondok kebun getah di Kampung Mampulut, Sook, Sabah. Kejadian itu dipercayai melibatkan senjata api buatan sendiri yang dikenali sebagai ginsok.
Menurut Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Erwansyah Abdul Basir, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu itu pada jam 2.35 petang.
Baca juga: Kanak-Kanak 12 Tahun Maut Selepas Minum ‘Milkshake’ Coklat, Rupanya Mesin Pengisar Tak Dicuci!
BUDAK 11 TAHUN MAUT AKIBAT TEMBAKAN SENJATA API BUATAN SENDIRI DI KEPALA
Dipercayai terkena tembakan senjata api jenis ginsok
Erwansyah berkata, mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala yang dipercayai berpunca daripada tembakan senjata api.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang lagi kanak-kanak berada di pondok tersebut sebelum satu das tembakan berlaku.
“Kejadian dipercayai melibatkan senjata api buatan sendiri yang dikenali sebagai ginsok,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Selepas kejadian, mangsa dikejarkan ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Bagaimanapun, nyawanya tidak dapat diselamatkan.
Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, mengesahkan punca kematian adalah kecederaan akibat tembakan pada bahagian kepala.
Baca juga: Jururawat Ditik*m Suami Enam Kali, Mahkamah Sahkan Cerai Taklik Selepas Langgar Janji Perkahwinan
Polis siasat bagaimana senjata api diperoleh

Gambar fail.
Susulan kejadian itu, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti bagaimana senjata api buatan sendiri berkenaan diperoleh, disimpan dan dikendalikan sehingga insiden tersebut berlaku.
“Pemeriksaan forensik dan balistik turut diberi perhatian bagi menentukan mekanisme tembakan serta kaitan senjata yang disyaki dengan kecederaan mangsa.
“Pihak polis turut meneliti aspek pemilikan senjata api tanpa lesen serta kemungkinan pengabaian yang mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya,” ujarnya.
Menurut Erwansyah, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian dan pendedahan kanak-kanak kepada kecederaan, serta Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960 berkaitan pemilikan, jagaan atau kawalan senjata api tanpa lesen atau permit yang sah.
Kejadian ini turut mengingatkan orang ramai tentang pentingnya memastikan senjata api disimpan dan dikendalikan dengan selamat bagi mengelakkan kanak-kanak terdedah kepada bahaya yang boleh membawa akibat tragis.
Sumber: Sinar Harian

