Sihat

Kanak-Kanak 12 Tahun Maut Selepas Minum ‘Milkshake’ Coklat, Rupanya Mesin Pengisar Tak Dicuci!

mesin pengisar

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun meninggal dunia selepas mengalami reaksi alahan serius akibat meminum susu kocak (milkshake) coklat yang tercemar dengan sisa kacang hazel daripada mesin pengisar yang tidak dicuci di sebuah kafe di London, England.

Baca juga: Ada Isu Bau & Rasa Pelik, Bubble O2 Tarik Balik Pengeluaran 14 ‘Batch’ & Ini Kod Untuk Pengguna Semak

GARA-GARA MESIN PENGISAR TIDAK DICUCI, BUDAK MAUT SELEPAS MINUM SUSU KOCAK

mesin pengisar

Gambar agensi: Mia Shay St Hilaire.

Mangsa, Mia Shay St Hilaire, mempunyai alahan terhadap kacang hazel. Dia mengalami anafilaksis, iaitu reaksi alahan melampau, selepas menikmati minuman berkenaan di Pop Inn Cafe, Southwark Park Road pada Ogos 2023.

Menurut laporan BBC, inkues kematian Mia di Mahkamah Koroner Inner South London pada Khamis lalu mendapati sisa kacang hazel daripada minuman yang disediakan sebelum itu telah mencemari susu kocak yang diminumnya.

Mesin pengisar sama digunakan tanpa dibersihkan

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pengendali kafe, Baris Yucel, menggunakan mesin pengisar yang sama tanpa membersihkannya terlebih dahulu sebelum menyediakan minuman untuk Mia.

Ketika kejadian, kanak-kanak itu berada di kafe berkenaan bersama ibu saudara dan kakaknya.

Selepas meminum susu kocak tersebut, reaksi alahan yang dialami Mia berkembang dengan pantas sebelum dia rebah di rumah ibu saudaranya.

Mia kemudian dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Bagaimanapun, dia meninggal dunia akibat komplikasi alahan berkenaan.

Siasatan mendapati sisa bahan daripada minuman terdahulu telah mencemari susu kocak Twix yang sepatutnya tidak mengandungi kacang hazel.

Pengendali kafe didenda hampir RM100,000

Susulan kejadian itu, Majlis Perbandaran Southwark mengambil tindakan undang-undang terhadap Yucel atas kegagalan mematuhi peraturan keselamatan makanan.

Pengendali kafe berkenaan mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan, termasuk gagal memaparkan maklumat alergen kepada pelanggan serta tidak mengambil langkah sewajarnya bagi mencegah pencemaran silang ketika menyediakan makanan dan minuman.

Dia turut didapati menghidangkan minuman yang mengandungi bahan pencetus alahan yang tidak sepatutnya berada dalam produk berkenaan.

Pada Januari 2025, Yucel dikenakan denda sebanyak 18,000 paun sterling (RM97,255) dan diperintahkan menjalani 100 jam khidmat masyarakat selepas mengaku bersalah terhadap kesalahan berkaitan keselamatan makanan.

Keluarga gesa pengurusan alergen diperkukuh

Kes kematian Mia kembali mendapat perhatian selepas inkues pada 8 Oktober 2026 memperincikan bagaimana kegagalan membersihkan peralatan penyediaan minuman menyumbang kepada tragedi berkenaan.

Keluarga mangsa turut menggesa supaya prosedur pengurusan alergen di premis makanan diperkukuh bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Baca juga: Jadi Hilang Ingatan & Susah Bercakap, Pelajar Cemerlang Antara 353 Mangsa Keracunan Makanan Di Sekolah!

Cara cuci mesin kisar dengan betul

mesin pengisar

Gambar hiasan: Gemini AI

Mesin pengisar yang digunakan untuk menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman perlu dibersihkan dengan teliti, terutama jika terdapat bahan yang boleh mencetuskan alahan seperti kacang.

Antara langkah yang boleh dilakukan untuk memastikan peralatan ini bersih sebelum digunakan semula ialah:

  1. Buka bahagian yang boleh ditanggalkan. Tanggalkan bekas pengisar, penutup dan komponen lain mengikut arahan pengeluar supaya setiap bahagian dapat dibersihkan dengan sempurna.
  2. Buang sisa minuman terlebih dahulu. Pastikan tiada sisa minuman atau bahan makanan tertinggal pada bekas, penutup dan bahagian mata pisau.
  3. Cuci menggunakan sabun pencuci dan air. Bersihkan semua bahagian yang boleh dibasuh dengan teliti, termasuk kawasan yang mudah memerangkap sisa makanan.
  4. Bilas sehingga bersih. Pastikan sisa sabun dan kotoran dibuang sepenuhnya sebelum peralatan digunakan semula.
  5. Keringkan mengikut arahan pengeluar. Pastikan setiap bahagian dikendalikan dan dikeringkan dengan betul sebelum dipasang semula.

Beri perhatian kepada pencemaran silang. Jika pengisar digunakan untuk menyediakan minuman yang mengandungi alergen seperti kacang, peralatan perlu dibersihkan dengan betul sebelum digunakan untuk pesanan seterusnya, khususnya bagi pelanggan yang mempunyai alahan makanan.

Paling penting, membilas bekas pengisar secara ringkas sahaja tidak semestinya mencukupi untuk menghilangkan semua sisa bahan makanan.

Premis yang menyediakan makanan dan minuman juga perlu mempunyai prosedur pengendalian alergen yang jelas bagi mengurangkan risiko pencemaran silang.

Sumber: Sinar Harian

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×