“Kawan aku si Aisyah ni katanya memang kerap bagi anak tengok video dan main ‘game’ kat ‘handphone’ hari-hari. Jarang sangat main dengan anak. Katanya senang nak buat kerja, anak duduk diam tengok ‘handphone’ tu. Macam mana aku nak beritahu pada dia tentang manfaat bermain dengan anak setiap hari ya?”
Sesetengah ibu bapa begitu sibuk dengan tugasan seharian sehingga tidak sempat untuk bermain dengan anak. Dalam kesibukan itu, anda merasakan bahawa anak perlu duduk diam supaya tidak mengganggu anda melakukan tugasan. Jalan penyelesaian paling mudah adalah membiarkan anak menonton video atau bermain ‘game’ di gajet berjam-jam lamanya.
Tetapi, sedarkah anda bahawa tindakan seperti ini adalah tidak wajar? Tahukah anda bahawa sebenarnya ibu bapa wajib bermain dengan anak setiap hari?
Kawal Penggunaan Gajet
Sekiranya ibu bapa memilih untuk membenarkan anak kecil menonton video atau bermain ‘game’ di gajet, pastikan penggunaan gajet tersebut berada di bawah kawalan. Tonton video bersama-sama mereka dan tetapkan masa untuk anak bermain ‘game’ di gajet tersebut.
Adalah tidak wajar ibu bapa membiarkan anak kecil menghadap gajet tersebut berjam-jam lamanya kerana ianya bukan sahaja boleh menyebabkan ketagihan gajet malah berisiko membantutkan perkembangan mereka. Selain itu, ianya juga boleh menyebabkan anak-anak terjebak menonton perkara-perkara yang negatif sekiranya tiada kawalan dan pemantauan daripada ibu bapa dalam penggunaan gajet tersebut.
Oleh itu, usah terlalu memanjakan anak kecil dengan gajet. Ibu bapa perlu mengawal penggunaan gajet dan meluangkan masa untuk bermain bersama anak kecil setiap hari kerana terdapat banyak manfaat dengan melakukan pelbagai aktiviti ketika bermain bersama mereka ini.
5 Manfaat Bermain Dengan Anak Setiap Hari
Berikut merupakan 5 manfaat bermain dengan anak setiap hari serta perbandingan jika anak didedahkan kepada gajet secara berlebihan. Semoga bermanfaat dan memberi kesedaran kepada kita tentang kepentingan bermain bersama mereka.
1. Belajar Perkara Baru
Anak kecil yang sememangnya gemar meneroka persekitaran mereka pasti berasa seronok apabila ibu bapa bermain bersama mereka. Ini kerana, mereka akan dapat mempelajari pelbagai perkara baru dalam proses bermain tersebut.
Mungkin anak kecil ini turut belajar perkara baru melalui gajet, tetapi ianya sekadar pada visualnya sahaja, bukan secara praktikal dan mereka tidak dapat merasai pengalaman sebenar tentang perkara tersebut.
Di sini jelas menunjukkan bahawa bermain dengan anak adalah lebih baik berbanding membiarkan anak leka dengan video dan ‘game’ pada gajet.
2. Belajar Kemahiran Baru
Sekiranya anak kecil dihidangkan dengan gajet tanpa henti saban hari, sudah pasti mereka tidak dapat mempelajari pelbagai kemahiran yang sepatutnya ada dalam diri mereka.
Dengan bermain bersama anak kecil, ianya bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran motor halus dan kemahiran motor kasar mereka, malah anak kecil ini dapat mempelajari berbagai-bagai kemahiran hidup untuk digunakan dalam kehidupan seharian mereka kelak.
3. Meningkatkan Kemahiran Komunikasi
Apabila ibu bapa bermain bersama anak kecil, mereka akan dapat mempelajari banyak perkataan baru. Selain itu, anak kecil akan belajar perkaitan antara intonasi dan emosi daripada percakapan kita ketika bermain bersama mereka. Interaksi dua hala sebegini jelas dapat meningkatkan lagi kemahiran komunikasi mereka.
Jika anak kecil didedahkan kepada gajet secara berlebihan, ianya belum tentu dapat meningkatkan kemahiran komunikasi mereka kerana kebanyakan interakasi yang berlaku hanyalah interaksi satu hala. Sekiranya berlaku interaksi dua hala sekali pun, perkara yang dipelajari adalah terhad dan mereka tidak dapat belajar tentang cara untuk berkomunikasi secara menyeluruh.
4. Menyelami Dunia Anak
Manfaat bermain dengan anak bukan sahaja terhad kepada si kecil, tetapi juga kepada ibu bapa. Apabila anak kecil bermain dengan ibu bapa, secara tidak langsung ianya dapat mengukuhkan lagi kepercayaan mereka terhadap ibu bapa dan bersikap lebih terbuka untuk berkongsi pelbagai perkara dengan kita.
Dengan ini, kita sebagai ibu bapa akan dapat menyelami dunia anak, mengenalpasti minat anak, memahami sikap dan emosi mereka sekaligus lebih mengenali personaliti mereka.
Bayangkan sekiranya kehidupan anak lebih banyak diisi dengan menonton video dan bermain ‘game’ pada gajet, sudah pasti kesemua manfaat ini sukar berlaku.
5. Merapatkan Hubungan
Apabila ibu bapa meluangkan masa bermain bersama anak kecil ini, mereka pasti berasa lebih gembira dan menghargai kehadiran kita kerana kita dapat memberi sepenuh perhatian kepada mereka. Dengan ini, hubungan antara ibu bapa dan anak pasti akan lebih rapat dan erat.
Seandainya ibu bapa hanya membiarkan anak bermain dengan gajet hampir setiap masa, adakah mungkin hubungan antara ibu bapa dan anak itu akan lebih dekat? Atau ianya semakin menjarakkan hubungan kita dengan anak? Renung-renungkan.
Jom Bermain Dengan Si Manja!
Terdapat banyak manfaat bermain bersama anak kecil, bukan? Kini, tiada lagi alasan untuk tidak bermain bersama si manja dan membiarkan mereka leka dengan gajet. Sesibuk mana pun ibu bapa dalam menjalani kehidupan seharian, curi masa untuk bermain dengan anak kecil yang kita sayangi ini.
Jom bermain bersama mereka setiap hari dan kita pasti teruja melihat perkembangan mereka!