Didik

5 Sebab Kenapa Ibu Bapa Perlu Bercakap Dengan Bayi Sejak Lahir

1.3K
SHARES

“Kalau aku cakap dengan anak aku masa dia baby ni, agak-agak dia faham ke? Bukan dia tahu apa pun kalau aku bercakap dengan dia. Tapi, ada orang kata, kalau nak anak petah bercakap, perlu mula bercakap dengan bayi sejak lahir, kenapa ya?”

Mungkin sesetengah ibu bapa keliru sama ada ingin mula bercakap dengan bayi atau tidak memandangkan bayi baru sahaja lahir ke dunia dan masih belum mengetahui apa-apa.

Mungkin ada juga di antara kita yang terfikir bahawa ibu bapa tidak perlu bercakap dengan bayi kerana ianya kelihatan aneh apabila bayi tidak memberikan sebarang maklumbalas atau sekadar memandang sahaja apabila kita bercakap dengannya.

Tetapi, sejauh manakah kebenaran andaian-andaian tersebut terhadap bayi yang baru lahir ini?

Foto Kredit : allwidewallpapers.com

Foto Kredit : allwidewallpapers.com

Otak Bayi Sangat Hebat

Perkembangan otak bayi bergantung kepada rangsangan yang diterima. Ianya tidak berlaku dengan sendiri tanpa bantuan atau rangsangan daripada individu sekeliling dan juga persekitarannya.

Usah sesekali kita memandang rendah terhadap kemampuan bayi kita. Walaupun mereka baru sahaja dilahirkan dan dunia ini sangat baru bagi mereka, namun ketahuilah bahawa otak bayi ibarat span. Allah mencipta otak bayi ini sangat hebat yang mana mereka sangat mudah menangkap dan mengingat setiap perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Sel-sel otak yang sedang berhubung dan berkembang pesat setiap hari mampu menyerap apa sahaja yang dilihat dan didengari oleh mereka.

Bercakap dengan bayi sejak lahir bukan sahaja dapat membantu perkembangan otak bayi, malah turut membantu perkembangan emosi, bahasa dan kemahiran komunikasi mereka, sekaligus merapatkan lagi hubungan antara ibu bapa dengan bayi.

Foto Kredit : vaikui.lt

Foto Kredit : vaikui.lt

5 Sebab Perlu Bercakap Dengan Bayi Sejak Lahir

Berikut merupakan 5 sebab bagi menjawab persoalan mengapa ibu bapa perlu bercakap dengan bayi sejak lahir.

1. Belajar Perkataan baru

Atas alasan bayi yang masih belum mengetahui apa-apa, kita sebagai ibu bapa seharusnya mula bercakap dengan mereka sejak lahir lagi. Secara tidak langsung, bayi akan mula mempelajari perkataan-perkataan baru untuk digunakan kelak.

Bayangkan sekiranya kita langsung tidak bercakap dengan bayi, daripada mana bayi dapat belajar pelbagai kosa kata tersebut sebelum mereka mula bercakap?

Foto Kredit : wallpaperim.net

Foto Kredit : wallpaperim.net

2. Belajar Perkara Baru

Bayi akan dapat mempelajari pelbagai perkara baru termasuk hubung kait antara perkataan yang dituturkan oleh ibu bapa dengan perbuatan melalui perbualan seharian tentang apa yang kita lakukan ketika bersama mereka.

Semasa kita melakukan sesuatu seperti menyikat rambut, memakai tudung, memakai stokin dan sebagainya, berbuallah dengan bayi seolah-olah mereka memahami kita. Walaupun mereka sekadar melihat kita, percayalah bahawa bayi sedang belajar dan memproses maklumat tersebut dalam mindanya. Apabila sudah tiba masanya, mereka akan mula mengeluarkan semula perkataan-perkataan tersebut ketika berkomunikasi dengan kita.

Foto Kredit : flashwallpapers.com

Foto Kredit : flashwallpapers.com

3. Belajar Tentang Emosi

Mungkin pada awalnya anak sekecil ini agak sukar untuk memahami perihal emosi melalui intonasi percakapan kita. Teruskan berusaha untuk mempelbagaikan intonasi ketika bercakap dengan bayi selari dengan keadaan ketika itu.

Bayi akan belajar tentang emosi dengan cara membezakan intonasi gembira, sedih, mengujakan, tenang dan sebagainya melalui percakapan kita setiap hari. Lama kelamaan, dengan izin Allah, bayi akan mula memahami dan dapat membezakan emosi serta intonasi perbualan kita dengan mereka.

Foto Kredit : talkwithmybaby.com

Foto Kredit : talkwithmybaby.com

4. Cepat Memahami Sesuatu

Bayi akan cepat memahami sesuatu perkara yang kita ucapkan apabila kita berulang kali mengulangi sesuatu perkataan atau ayat kepada mereka.

Jangan pernah berasa jemu dan bosan untuk mengulangi perbualan kita bersama bayi kerana dengan pengulangan, ianya akan mengukuhkan lagi ingatan dan pemahaman bayi terhadap perkara tersebut.

Foto Kredit : doutissima.com.br

Foto Kredit : doutissima.com.br

5. Cepat Bercakap

Semua ibu bapa bukan sahaja mengimpikan anak yang cepat bercakap malah petah dalam berkata-kata. Sehubungan itu, jadikan aktiviti berbual dengan bayi sebagai rutin harian yang menyeronokkan agar anak kecil ini dapat belajar bertutur dengan gembira, seterusnya merealisasikan impian kita sebagai ibu bapa untuk melihat anak cepat bercakap.

bercakap dengan bayi

Foto Kredit : enca.com

Mari Berbual Dengan Bayi!

Melihat betapa pentingnya untuk ibu bapa bercakap dengan bayi sejak lahir, ayuh mulakan berbual dengan bayi kita! Usah ragu dengan kemampuan mereka. Ajarkan mereka perkataan yang baik dalam perbualan seharian serta ketika kita melakukan aktiviti bermain dan menyanyi bersama mereka.

Nantikan perkataan pertama mereka. Kita pasti berasa sangat teruja dan gembira kerana mulai saat itu, kita tahu bahawa anak kita akan mula berkomunikasi serta memberikan maklumbalas terhadap percakapan kita dengan mereka.

Walau bagaimanapun, setiap anak mempunyai tahap perkembangan yang berbeza. Sekiranya kita dapati anak kecil masih belum boleh bercakap selari dengan usianya, segera dapatkan nasihat daripada pakar agar kita tidak terlewat untuk mengatasi masalah anak lambat bercakap (speech delay).

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×