Suami Isteri

Kenapa Saya Dah Tak Mahu Minta ‘Tolong’ Daripada Suami Di Rumah

2K
SHARES
tanggungjawab suami

“Abang, tolong tengokkan anak-anak sekejap, saya pun nak bersiap juga. Kalau boleh, tolong bawakan apa-apa yang patut untuk mereka sekali. Makanan, mainan, buku mewarna ke. Takkan nak tengok saja. Abang kata nak suruh saya cepat kan tadi… Lagipun, itu tanggungjawab suami juga.”

Macam selalu dengar saja ayat di atas ini kan? Tapi, perasan tak apa yang tak kena dengan ayat di atas?

Selain ayat berbentuk ‘bebelan’, perkataan ‘tolong’ itu sebenarnya patut dihindarkan. “Tolong buat itu, tolong buat ini.” 

Perkataan ini tidak sepatutnya anda gunakan secara berlebihan, kecuali jika mereka betul-betul melakukan sesuatu untuk anda. Ya, hanya untuk anda seorang.

Foto Kredit: geliblog.de

Foto Kredit: geliblog.de

Kenapa Saya Dah Tak Mahu Minta ‘Tolong’ Daripada Suami Di Rumah

Ramai wanita yang tak perasan bahawa mereka telah menyalahgunakan perkataan ‘tolong’ secara berlebihan. Mungkin juga dalam budaya kita, wanita telah dibebankan dengan kerja-kerja ini sejak sekian lama sehingga ia menjadi stereotaip.

Secara psikologinya, hal ini turut disokong oleh sebuah artikel dalam laman web Psychology Today.  Ia menerangkan bagaimana kita perlu lebih selektif dalam menggunakan perkataan tersebut kerana ia mampu memberi pandangan berbeza kepada mereka yang mendengarnya.

1. Ia Meletakkan Beban Kepada Wanita

Dengan menggunakan perkataan ‘tolong’, ia nampak seperti suami anda sedang ‘membantu’ anda apabila diperlukan.

Berbanding dengan meminta suami anda membuat sesuatu seperti biasa, anda sebenarnya telah meletakkan beban itu di atas bahu 100% apabila anda meminta ‘tolong’.

Contohnya memasak makan malam – ini adalah antara tugas untuk dikongsi bersama kerana anda akan makan bersama seisi keluarga. Lainlah kalau anda nak makan mi segera seorang diri dan minta suami buatkan. Ini barulah dinamakan pertolongan!

tanggungjawab suami

Foto Kredit: es.aleteia.org

2. Ia Tidak Melambangkan Kerjasama

Walaupun perkataan tolong melambangkan adab atau sopan-santun, sebenarnya ada banyak cara anda boleh membuang perkataan ‘tolong’ tanpa perlu menggunakan nada kasar.

Malah, ramai yang telah menggunakan perkataan ‘tolong’ terlalu banyak, sehingga nada anda bertukar sinis dan tidak sesuai dengan fungsi asalnya.

Ini contoh ayat yang boleh anda lontarkan tanpa menggunakan perkataan ‘tolong’.

“Abang, hari ini abang angkat baju di luar ya.”

“Sayang, boleh bawa anak keluar petang ini? Mereka dah lama nak luangkan masa bersama awak.”

“Jom kita sediakan makan malam bersama malam ini?”

Foto Kredit: mamari.jp

Foto Kredit: mamari.jp

3. Ia Memberi Kesan Kepada Anak-Anak

Seorang wanita pernah memberitahu bahawa dia tak mahu anak-anak mereka, tak kiralah sama ada lelaki atau perempuan untuk berfikiran bahawa ibulah yang bertanggungjawab terhadap semua kerja rumah. Manakala, semua yang dilakukan oleh bapanya pula hanya ‘pertolongan’.

Hal ini ada benarnya.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Science Direct, suami isteri yang melakukan kerja rumah bersama-sama akan meninggalkan impak positif kepada perkembangan anak-anak. Malah, ia membentuk disiplin anak-anak dalam menguruskan diri sendiri.

Jika disuruh membuang sampah atau mencuci kasut sekolah, anak-anak patut tahu bahawa itu semua adalah tugas mereka sebagai salah seorang ahli keluarga. Ia juga tanggungjawab yang akan mematangkan mereka. Bukannya ‘pertolongan’ yang patut dipuji atau diharapkan balasan.

Foto Kredit: nj.com

Foto Kredit: nj.com

4. Ia ‘Merendahkan’ Nilai Seseorang

Tanggungjawab suami adalah untuk menjadi pasangan hidup anda dan juga bapa kepada anak-anak anda. Suami adalah ketua keluarga, jadi mengapa perlu minta tolong dari seorang ketua?

Dia bukannya pembantu anda atau seseorang yang memerlukan arahan anda untuk menjadikan sesebuah keluarga serta isi rumahnya lebih cantik, kemas, dan berfungsi dengan baik.

Dia seorang dewasa yang boleh berfikir dan mampu melakukan tugas-tugas tersebut dengan sendiri. Jika ada sesuatu yang anda perlukan dan dia tak perasan, tak salah untuk anda menyatakannya. Tapi, anda bukannya pembantu dia, dan dia bukanlah pembantu anda juga.

tanggungjawab suami

Foto Kredit: marriagehelper.com

Isteri Ringankan Tanggungjawab Suami

Dengan sebab-sebab yang dinyatakan di atas, artikel ini bukanlah bertujuan  meletakkan beban yang lebih kepada sesiapa, malah jauh sekali untuk merendahkan tanggungjawab suami. Sebaliknya, ia ditulis untuk meraikan kesefahaman dalam pembahagian tugas dan memfokuskan kepada keupayaan suami dalam menguruskan rumah tangga.

Ada kalanya wanita yang terlalu cerewet hingga tidak mahu ‘meluluskan kualiti’ kerja rumah yang dilakukan oleh suami. Ada juga yang mahu memonopoli semua kerja rumah demi mengambil hati suami. Cara ini adalah tidak betul kerana ia mungkin akan memberi kesan kepada rumah tangga anda dalam jangka masa panjang.

Secara tidak langsung, anda telah meletakkan semua bebanan ini ke atas diri anda.

Muafakat Jalan Terbaik

Dalam kehidupan serba moden kini, ramai wanita yang turut keluar bekerja untuk menampung keperluan bersama. Memetik daripada ulasan Dr Abdul Hayei Bin Abdul Shukor, jalan terbaik adalah dengan permuafakatan, di mana suami isteri sama-sama mempunyai tanggungjawab terhadap satu sama lain.

Tambahnya, Allah berfirman kepada para isteri yang membawa maksud: Isteri menanggung kewajipan terhadap suaminya yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik, suami juga dikehendaki melakukan kewajipan yang serupa. (al-Baqarah: 228).

Benar, memang ada suami yang sangat rajin dan lebih efisyen dalam menguruskan hal rumah tangga berbanding isteri. Dalam kes itu, mungkin anda perlu berhenti ‘minta tolong’ daripada isteri anda pula!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×