Hasrat seorang jururawat untuk menamatkan rumah tangga didakwa membuatkan dia terima ugutan bunuh daripada suaminya sebelum wanita berusia 44 tahun itu akhirnya ditikam enam kali dalam kejadian di Kampung Padang Lepai, Kadok, Kota Bharu, Isnin lalu.
Baca juga: Cuma Nak Tunaikan Mengidam Isteri, Suami Maut Di Atas Pokok Alpukat Akibat Direnjat Elektrik
JURURAWAT PERNAH TERIMA UGUTAN BUNUH BILA MINTA CERAI

Gambar Hazelen Liana
Kamarudin: Nik (kanan) menunjukkan lokasi di mana bapa tirinya bersembunyi selepas menikam ibunya pada Isnin lalu.
Anak sulung mangsa yang ingin dikenali sebagai Nik, 19, berkata ibunya sebelum ini pernah membuat laporan polis selepas lelaki berusia 52 tahun itu didakwa mengugut untuk membunuhnya sekiranya meneruskan hasrat untuk bercerai.
Menurut Nik, ibunya dan lelaki terbabit sudah berkahwin kira-kira enam tahun, namun ketika ini berada dalam proses perceraian dan tidak lagi berhubung sejak kira-kira tiga minggu lalu.
“Ibu saya nak bercerai, tetapi dia (suami) tidak mahu. Dia mahu ibu saya kembali kepadanya.
“Ibu pernah diugut akan dibunuh kalau meninggalkan dia. Sebab itu ibu buat laporan polis sebelum ini, kes ugut,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada Rabu.
Anak 12 tahun sempat tolak bapa tiri & alami trauma
Nik berkata, dia baru sahaja pulang ke rumah selepas bertemu ibunya dan neneknya yang berusia 78 tahun kira-kira jam 8.30 malam sebelum menerima panggilan yang memaklumkan ibunya diserang.
“Saya sampai di rumah, kemudian nenek telefon dan beritahu, ibu kena tikam.
“Saya terus kembali ke rumah ibu yang jaraknya kira-kira 200 meter sahaja,” katanya.
Sebaik tiba, Nik mendapati ibunya sudah berada di tepi pintu dalam keadaan berlumuran darah dan pening.
Dia kemudian membuat panggilan kecemasan sebelum mendapatkan adik-adiknya yang berusia enam dan 12 tahun bagi memastikan mereka berada dalam keadaan selamat.
Lebih menyayat hati, adik lelakinya yang berusia 12 tahun masih mengalami trauma selepas melihat kejadian berkenaan.
Menurut Nik, adiknya sempat bertindak menolak bapa tiri mereka sehingga pisau yang digunakan dalam serangan itu terjatuh dan patah sebelum lelaki terbabit melarikan diri.
“Adik saya sempat menolak bapa tiri menyebabkan pisau terjatuh dan patah. Selepas itu dia terus melarikan diri.
“Ibu mengalami enam tikaman termasuk di bahagian leher, dada dan tiga di perut.
“Walaupun ditikam enam kali, ibu masih kuat. Dia sempat pesan supaya saya ambil kad pengenalan dan kelengkapan lain sementara menunggu ketibaan ambulans,” katanya.
Mangsa yang bekerja sebagai jururawat di sebuah klinik kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Baca juga: “Syahid Untuknya…”- Anak Kedua Selamat Dilahirkan, Ibu Dijemput Ilahi Selepas ‘Collapse’ Bersalin
Suspek direman tujuh hari

Gambar Wanna Abdul Rahim: Anak jururawat menunjukkan tempat bapa tiri menyorok sebelum didakwa menyerang ibu mereka di Kampung padang Lepai, Kadok, Kota Bharu.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang lelaki direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai menikam isterinya sebanyak enam kali.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 malam sebelum pihak polis menerima laporan pada malam sama.
Suspek berusia 47 tahun itu ditahan selepas menyerah diri kepada polis.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan.
“Polis masih belum mengenal pasti motif kejadian,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.
Nik berkata, bapa tirinya tidak bekerja dan pernah mempunyai dua kes berkaitan dadah sebelum ini.
Dalam pada itu, keluarga kini berharap mangsa dapat terus pulih daripada kecederaan yang dialaminya, manakala siasatan polis berhubung kejadian serta dakwaan ugutan sebelum ini diteruskan.
