Kes kematian seorang pegawai kastam, Norhazwani Ibrahim, 35, di kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nilai, pada Khamis 15 Oktober telah mengejutkan keluarga mangsa selepas dia dipercayai dibunuh suaminya sendiri.
Susulan kejadian itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala ahli keluarga mendedahkan Allahyarham telah memfailkan permohonan perceraian pada September lalu.
KRONOLOGI KES PEGAWAI KASTAM MAUT DIPERCAYAI DIBUNUH SUAMI

Gambar Ahmad Hasbi: Suspek dibawa polis ke lokasi kejadian.
Polis menerima maklumat mengenai kejadian
- Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 7 malam pada hari Khamis di sebuah unit rumah kakitangan kerajaan di Jalan Kuarters KLIA, Nilai, Negeri Sembilan.
- Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 8.30 malam sebelum pasukan polis digerakkan ke lokasi.
- Siasatan awal mendapati mangsa, seorang kakitangan kerajaan berusia 35 tahun, dipercayai dibunuh suaminya yang berusia 30-an.
- Suspek dikatakan menyerah diri di balai polis selepas kejadian dan turut dibawa ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan lanjut.
- Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, untuk menjalani prosedur bedah siasat.
Abang terkejut selepas dimaklumkan adiknya meninggal dunia
- Berita mengenai kejadian itu mengejutkan keluarga Norhazwani, terutama abang sulungnya, Amran Ibrahim, 59, yang menerima panggilan daripada adik lelaki mereka pada malam kejadian.
- Menurut Amran, dia dimaklumkan bahawa adik bongsunya dipercayai dibunuh suaminya selepas lelaki itu sendiri menghubungi ahli keluarga dan memberitahu perkara berkenaan.
- Amran yang ketika itu berada di rumahnya di Pinggiran Batu Caves, Selangor, berkata dia segera menghubungi balai polis selepas mendapat tahu suspek mahu menyerah diri.
- Dia kemudian bergegas ke lokasi kejadian bersama saudara-mara lain selepas mendapat pengesahan daripada pihak polis.
- Amran turut meluahkan rasa terkilan dengan cara pemergian adiknya, lebih-lebih lagi apabila lelaki yang dipercayai terbabit merupakan suaminya sendiri.
- Menurutnya, Norhazwani yang mesra disapa Wani atau Mok Su dalam kalangan keluarga merupakan seorang yang ceria dan disenangi ahli keluarga serta rakan sekerja.
Allahyarham failkan permohonan cerai pada September lalu
- Perkembangan seterusnya mendedahkan bahawa Norhazwani sebenarnya sedang berusaha menamatkan perkahwinannya.
- Abang mangsa, Hazwan Ibrahim, 38, berkata adik bongsunya itu telah memfailkan permohonan perceraian pada September lalu.
- Malah, menurut Hazwan, suspek menghubunginya sekitar jam 7.30 malam pada hari kejadian dan meminta dia menjadi saksi perceraian mereka.
- Bagaimanapun, apabila Hazwan menghubungi semula suspek kira-kira 10 minit kemudian, dia terkejut apabila diberitahu bahawa adiknya sudah meninggal dunia.
- Norhazwani dijadualkan menghadiri prosiding di Mahkamah Syariah Tumpat pada 3 November ini.
- Sementara itu, kakaknya, Marliza Ibrahim, 48, memaklumkan Allahyarham telah menghadiri prosiding pertama berkaitan tuntutan fasakh pada 6 Oktober lalu.
- Menurut Marliza, adiknya tidak bercerita secara terperinci mengenai masalah rumah tangga yang dihadapi, namun berharap proses perceraian itu dapat diselesaikan dengan segera.
Baru pulang menjenguk anak di kampung
- Keluarga turut berkongsi bahawa Norhazwani baru pulang ke kampung halaman di Kelantan empat hari sebelum kejadian untuk menjenguk anak-anaknya.
- Kakaknya, Mastura, 55, berkata Allahyarham kemudian kembali ke Kuala Lumpur dan berjanji akan pulang semula pada bulan berikutnya.
- Norhazwani merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik.
- Dua anak perempuannya yang masing-masing berusia lima dan enam tahun pula dijaga oleh ahli keluarga di Kelantan sejak kecil kerana mangsa bekerja mengikut syif dan tidak mempunyai pengasuh di Negeri Sembilan.
Baca juga: Baru Pulang Ziarah Pusara Ibu, Pelajar UTeM Maut Dalam Kemalangan Di PLUS… Tak Sempat Tiba Ke Kampus
Dua anak kecil masih belum mengetahui pemergian ibu

Gambar Siti Rohana Idris: Marliza menunjukkan foto allayharham Norhazwani Ibrahim ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Banjir, Telaga Lanas.
- Media pada petang tadi melaporkan, dua anak perempuan Allahyarham masih belum dimaklumkan mengenai kematian ibu mereka.
- Marliza berkata dia menjaga kedua-dua anak saudaranya itu sejak kecil lagi.
- Malah, pada pagi selepas kejadian, anak sulung Allahyarham meminta untuk membuat panggilan video dengan ibunya seperti kebiasaan mereka.
- Bagaimanapun, Marliza terpaksa memberikan alasan bahawa ibunya sibuk bekerja.
- Menurutnya, kedua-dua kanak-kanak itu mula berasa pelik apabila rumah mereka dikunjungi ramai orang yang datang menziarah, selain panggilan telefon yang tidak putus-putus diterima keluarga.
- Keluarga mengakui bersimpati dengan nasib dua kanak-kanak berkenaan yang kini kehilangan ibu dalam keadaan tragis.
AKPS ucap takziah atas pemergian Allahyarham
- Pemergian Norhazwani turut mendapat perhatian warga Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), tempat Allahyarham berkhidmat sebagai Pegawai Kastam WK1 di KLIA.
- Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain, bersama seluruh warga agensi itu menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga menerusi hantaran di Facebook rasmi AKPS.
- Dalam hantaran tersebut, pihak agensi memaklumkan Norhazwani kembali ke rahmatullah pada 15 Oktober 2026.
- AKPS turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan yang amat dirasai rakan sekerja dan seluruh warga agensi berkenaan.
- Selain mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, pihak agensi berharap segala jasa, pengorbanan dan kebaikannya sepanjang perkhidmatan menjadi amal jariah yang berpanjangan.
Suspek direman tujuh hari, jenazah dibawa pulang ke Kelantan
- Dalam perkembangan siasatan, suspek dilaporkan direman selama tujuh hari bermula 16 Oktober 2026 bagi membantu siasatan kes berkenaan.
- Mangsa dipercayai ditikam menggunakan sebilah pisau di kediaman mereka di kuarters KLIA. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
- Jenazah Norhazwani dijangka dibawa pulang ke kampung halaman di Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan, untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung selepas urusan berkaitan selesai.
