Mungkin bila baca artikel ini akan ada yang persoalkan dengan perkara “Lelaki boleh kahwin empat..”
Tidak dinafikan ada yang cakap kalau perempuan tidak melayan pasti si suami orang itu berputus asa dan perkara ini takkan terjadi. Pasti ramai yang tahu sekeras mana pun hati perempuan, mereka sangat mudah dipujuk. Dengan sedikit kata-kata manis pasti akan percaya dengan janji-janjinya. Dan akhirnya perempuan juga dipersalahkan.
Jadi sebelum anda membuat keputusan untuk melayan segala SMS dan janji manis suami orang, mungkin anda perlu baca ini terlebih dahulu.
7 Sebab Wanita Perlu Elak Bercinta Dengan Suami Orang
Saya kongsikan berdasarkan kisah kisah yang diceritakan kenalan sendiri. Pengalaman mereka sebagai rujukan untuk kita mengapa dan kenapa perlu elak bercinta dengan suami orang atau kacau suami orang.
1. Kita terlibat dalam ‘penipuan’
Disaat kamu bermula membalas mesej dengan suami orang itu maka bermula satu saat penipuan suami terhadap isterinya. Apabila ia semakin berterusan dan hubungan anda semakin serius, berterusan juga la dia akan menipu isterinya.
Sebagai contoh situasi ini:
Isteri : Abang mesej dengan siapa tu?
Suami : Dengan kawan. ada hal penting katanya.
*bila isteri sudah bertanya begini, pasti akan mesej secara sorok-sorok kemudiannya.Berterusan sehingga keluar bersama.
Suami : Sayang, abang ada meeting esok kat bandar. Dengan kawan dari Johor. Nak bincang pasal forex.
Isteri : oh.. Ok..
*hakikatnya.. Keluar berdating.. Lagi penipuan di buat..
Dia dah menipu isteri dia berkali kali, bila tiba giliran kita agak-agak macam mana pula?
Ingat, si dia mungkin akan mengulangi sikap menipu ini terhadap kamu apabila kamu berdua menghadapi masalah dalam perhubungan kamu kelak.
2. Tegarkah kita melihat kaum sejenis kita terluka?
Lagi satu sebab kita perlu elak bercinta dengan suami orang adalah kerana kita wanita.
Tegarkah kita nak lukakan hati kaum sejenis kita? Sedangkan, dulu isterinya juga mempunyai cita-cita dan impian seperti kita untuk membina keluarga bahagia.
Saya pasti kita sebagai perempuan lebih memahami perasaan sesama kita. Suami jarang dapat menelah dan ada pula yang berlagak seperti dia tahu luar dalam isterinya. Malah, ada yang sanggup memburukkan isteri masing-masing demi bersama orang ‘baru’.
Sepatutnya, sebagai wanita kitalah yang sepatutnya belajar untuk memahami kekurangan atau kesengsaraan isterinya.
3. Ia perlukan komitmen yang sangat tinggi
Pasti saban masa dia akan melahirkan rasa bahagianya berada di sisi kamu. Ini mungkin kelihatan seperti komitmen terhadap masa depan kamu. Tapi, percayalah itu hanyalah kata-kata manis sekadar untuk mendapatkan perhatian kamu saja!
Cuba ajak dia berbicara pasal kahwin. Sekiranya dia serius dia takkan berdolak dalih dan tidak akan beralasan “bukan masa yang sesuai” atau menangguh-nangguh.
Hakikatnya, kita perlu benar-benar memahami realiti dan tanggungjawab apabila seseorang suami mempunyai 2 isteri. Kecukupan yang perlu diberikan bukan sekadar pada kewangan, tetapi juga masa dan kasih sayang. Ramai yang terkandas apabila cemburu dan tidak mampu untuk memberi komitmen dalam hal ini dek terpaksa ‘berkongsi’.
4. Hubungan perlu dirahsiakan
Bagi wanita adalah perkara biasa apabila bercerita mengenai pasangan masing masing. Tapi kamu? Terpaksa merahsiakan hubungan dengan si dia bagi mengelakkan si isteri mengetahuinya.
Memang tiada lagi perhubungan cinta yang indah kerana semua perlu di rahsiakan. Sampai satu masa pasti kamu akan bosan dan mungkin tertekan dengan keadaan sebegitu.
Kamu tidak boleh berjalan berdua-duaan dengan bebas dan bangga. Ini kerana kamu akan sentiasa diselubungi oleh perasaan takut dan bimbang. Takut orang lain terlihat kamu berdua-duaan lalu mengadu kepada isteri si dia.
Sekarang ini mungkin kamu sanggup, tapi saya pasti sampai satu saat kamu jugak akan bersedih bersendirian. Sebab dia takkan ada bersama kamu selalu. Kerana dia ada komitmen pada isterinya, bukan pada kamu.
5. Siapa sangka, dia hilang hormat pada kamu
Jangan terkejut! Sebenarnya dia hilang hormat pada kamu. Walaupun sebenarnya dia menyatakan dia cinta akan kamu tetapi di dalam hati lelaki pasti dia akan pandang rendah pada wanita yang senang terpedaya dengan kata-kata lelaki seperti dia.
Siapa tahu disebalik kata-kata indah itu hanya sekadar “test market” sahaja. Tapi kamu yang senang terpedaya.
Sebab itulah penting untuk perempuan jual mahal walaupun sikit. Jangan mudah menyerah. Kalau dia yang berstatus suami orang ingin menjalinkan hubungan serius dan jujur dengan kamu, minta dia berterus-terang dengan isterinya.
Kalau dia benar-benar ikhlas terhadap kamu dan juga isterinya, pasti dia akan bersikap jujur dan tidak menyembunyikan hal ini daripada isterinya.
6. Asyik makan hati dalam hubungan
Parah, terluka dan pasti kecewa. Ini adalah ayat yang biasa di gunakan apabila hubungan kamu dengan suami orang di hujung tanduk.
Kenapa jadi begini? Mungkin sebab si isteri dah tahu kecurangan suami. Si isteri merasa diri dia ditipu dan mengugut untuk meninggalkan dia dan lari bersama anak-anak.
Tetapi suami tiada pilihan. Mereka punya anak bersama. Mereka punya komitmen yang lebih daripada sekadar ‘perasaan cinta’.
Masa itulah kamu akan sedar dimana diri kamu. Bila diminta penjelasan, mungkin dia akan mendiamkan diri dan berhenti menghubungi kamu.
7. Hidup rasa serba tak kena
Selepas ditinggalkan kerana tidak mampu untuk memujuk isteri, kamu akan sedar bertahun-tahun kamu lalui adalah perkara sia-sia. Kamu tunggu bertahun-tahun untuk ditunai janjinya, tapi bila tiba masanya tiada janji ditunaikan.
Jika pun dia memilih kamu berbanding isterinya, sanggupkah kamu melalui hidup selepas ‘menghancurkan’ rumah tangga orang lain? Saat itu kamu akan menyesal dan kehidupan akan rasa serba tak kena.
Fikirkan sedalam-dalamnya
Ini antara sebab wanita perlu elak bercinta dengan suami orang. Walaupun seorang lelaki memiliki lebih daripada seorang isteri, namun ramai yang hanya merasai kepahitannya setelah menempuh hidup berumah tangga.
Ia seolah-olah jerat percintaan yang akan memakan diri.
Fikir balik hubungan kamu dengan suami orang itu. Hakikatnya, jika anda benar-benar ikhlas, cukuplah sekadar ‘bertaaruf’ (kenal-mengenal) sebelum berkahwin. Bukan bercinta kerana perkataan ‘cinta’ itu sendiri membawa maksud memadu kasih, berbual-bual, bertemu untuk saling mencurah perasaan samada di alam maya atau alam nyata.
Saya tak menolak kalau ada suami yang mampu, jujur, dan sangat bertanggungjawab hingga mampu membahagiakan semua isterinya. Tapi, pastinya ini semua adalah hubungan yang berteraskan kejujuran dan kepercayaan.