Suami Isteri

7 Cara Perkahwinan Anda Akan Berubah Lepas Ada Anak

1.9K
SHARES

“Sejak ada anak ni,  aku rasa macam senang betul naik angin dekat suami. Kenapa ya aku boleh rasa macam ni? Aku yang dah berubah atau perangai Encik suami tu yang buat aku rasa serba tak kena?”

Pembawaan bayi selama 9 bulan sudah cukup membuat seorang wanita rasa penuh emosi – ada kalanya terlalu gembira, sedih, takut, gementar, dan mungkin ada pelbagai jenis perasaan lagi yang sukar dikenalpasti.

Sebenarnya tempoh ini hanyalah tempoh ‘percubaan’ bagi suami isteri bakal menimang cahaya mata. Sama ada anda bersedia atau tidak, kehadiran seorang bayi akan mengubah kehidupan anda yang dahulu. Ia mungkin akan berubah sekelip mata, 180 darjah, atau 360 darjah!

Foto Kredit: mamme24.it

Foto Kredit: mamme24.it

Perubahan Bukanlah Sesuatu Yang Buruk

Ramai yang ‘takut’ dengan perubahan. Tapi, perubahan tidak semestinya sesuatu yang negatif.

Perubahan itu mungkin memerlukan masa, namun ia boleh mendatangkan kebaikan kepada anda dalam jangka masa panjang. Ia bergantung kepada cara anda mengendalikannya bersama pasangan.

peranan suami ketika isteri menyusu

Foto Kredit: parenting.com

7 Cara Perkahwinan Anda Akan Berubah Lepas Ada Anak

Berikut adalah beberapa perubahan yang berlaku dalam perkahwinan. Ada perubahan yang baik, ada juga perubahan yang tidak berapa baik. Walau apa pun, pelbagai petua hubungan suami isteri boleh diamalkan jika anda dapat mengenalpasti puncanya terlebih dahulu.

1. Kerja Rumah Bertambah

Sejak kehadiran bayi, anda berdua tak pernah dapat rehat yang cukup atau tidur dengan tenang.

Ini kerana kerja rumah telah berganda dan banyak pula cara pengendalian khusus yang perlu dipelajari untuk menguruskan bayi. Tidak kiralah sama ada anda bekerja ataupun seorang surirumah, beban tugasnya tetap sama dan tak pernah putus!

Contohnya, ada pakaian bayi yang perlu dicuci berasingan, susu ibu yang perlu sentiasa dipam dan disimpan mengikut prosedurnya, dan banyak kerja lain yang tertunggak apabila perlu melayan karenah bayi.

2. Anda Mungkin ‘Bencikan’ Pasangan Anda

Akibat bertambahnya kerja rumah, kebanyakan pasangan akan mudah rasa tertekan dan mungkin menyalahkan satu sama lain apabila ia tidak dapat dilakukan dengan baik.

‘Benci’ mungkin terlalu kasar untuk digunakan kerana kebanyakan masanya anda bukanlah bergaduh dengan teruk. Tapi, anda lebih cepat berang, cemburu, dan sakit hati, terutamanya kaum ibu. Mereka berasa suami tidak mahu menolong tanpa disuruh dan ada kalanya memandang ringan terhadap semua kerja rumah yang perlu dilakukan.

Bagi suami pula, mereka menganggap isteri terlalu ‘perfectionist’ dan selalu mengkritik usaha mereka. Ada yang merendahkan atau menyindir cara suami apabila cuba membuat sesuatu untuk anak. Jadi, ego mereka pula yang tercalar.

3. Hubungan Intim Terabai

Bagi kaum lelaki pula, mungkin hal ini akan menjadikan mereka ‘naik angin’ terhadap isteri. Ini kerana, isteri menganggap hubungan intim bukan lagi keutamaan mereka.

Ini disebabkan wanita yang selesai berpantang biasanya masih ‘fobia’ untuk bersama suami kerana takut bekas jahitan belum sembuh. Lagi pula, mereka selalunya dah terlalu letih di malam hari apabila terpaksa berhadapan dengan terlalu banyak kerja rumah hingga tiada ‘mood’ untuk bermesra-mesraan.

Oleh itu, salah satu petua hubungan suami isteri kenalah bijak bertoleransi dalam soal mengagihkan kerja harian dan mengawal stres.

4. Nak Jadi Lebih Baik

Apabila anak semakin membesar, anda perasan bahawa bayi suka meniru perbuatan anda. Maka, anda lebih berhati-hati terhadap setiap perbuatan dan mahu menjadi contoh terbaik untuknya.

Secara tidak langsung, anda atau pasangan akan berubah menjadi seorang yang lebih baik, sedar terhadap kesilapan lalu, dan mula memperbetulkan sebarang kekurangan.

Masalahnya, anda mungkin akan terasa ingin mengubah pasangan anda agar turut sama menjadi seseorang yang lebih baik. Anda terlalu fokus kepada kekurangannya kerana bersikap melindungi si anak. Ingat, bukan mudah untuk mengubah seseorang!

Foto Kredit: polityka.pl

Foto Kredit: polityka.pl

5. Hati Anda Mudah Tersentuh

Berbanding dahulu, anda lebih ‘lembut hati’ terhadap anak-anak kecil yang lain. Anda mula prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi oleh anak-anak yang sakit. Sedangkan demam saja anda dah separuh ‘gila’, apatah lagi apabila memikirkan anak orang lain yang mengalami penyakit serius. Rasa nak menangis!

Tapi awas, ramai juga yang makin sensitif apabila pasangan memberi komen terhadap pakaian, tubuh badan, atau cara anda menguruskan anak. Walaupun nampak remeh, inilah antara topik yang paling mudah menyebabkan pergaduhan.

Foto Kredit: seleni.org

Foto Kredit: seleni.org

6. Campur Tangan Ibu Bapa Dan Mertua

Siapa tak sayang cucu? Bila keluarga dah bertambah seri, makin keraplah kaum keluarga, sanak-saudara dan ipar duai yang akan berkunjung ke rumah untuk melawat dan bermain dengan anak.

Bagi sesetengah pasangan, ini menjadi suatu perkara yang mencabar lebih-lebih lagi apabila terlalu banyak nasihat dan sindiran yang dilontarkan terhadap ‘parenting style’ atau cara membesarkan anak.

Ini akan menjadikan pasangan tadi kurang menghormati antara satu sama lain, serba-salah untuk mempertahankan pihak yang terlibat, dan akhirnya mencetuskan perang dingin yang akan berlarutan.

Walau apa pun, kita perlu percaya terhadap diri sendiri bahawa anda sedang melakukan yang terbaik untuk bayi.

pengalaman bersalin caesar

Foto Kredit: malibuvist.com

7. Mendahulukan Anak Berbanding Pasangan

Tak ada salahnya mendahulukan anak kecil dalam beberapa hal, kerana mereka masih belum mampu berdikari dan menguruskan diri sendiri.

Namun, ada kalanya anda perlu juga mendahulukan pasangan kerana mereka adalah seorang dewasa yang turut mempunyai hak terhadap anda. Anda pernah berjanji setia untuk mendampingi mereka di saat susah dan senang, anda pernah jatuh cinta terhadap mereka dan anak anda turut memerlukan mereka apabila besar nanti.

Sebagai petua hubungan suami isteri, cubalah luangkan sedikit masa untuk mendengar keluhan mereka, melayani fizikal dan emosi mereka, bisikkanlah ayat cinta kepada mereka, dan rancanglah kejutan sebagai menghargai mereka.

petua hubungan suami isteri

Foto Kredit: verywell.com

Petua Hubungan Suami Isteri Yang Terpenting

Walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai kepayahan dan perubahan, kehadiran anak ini adalah sesuatu perancangan Tuhan yang amat tepat untuk anda dan pasangan. Oleh itu, cubalah mencari keseimbangan dalam setiap perbuatan. Inilah petua hubungan suami isteri yang terpenting!

Lama-kelamaan, anda akan menyedari bahawa kurniaan anak ini adalah anugerah terhebat yang pernah dimiliki dan tiada penggantinya lagi. Malah, anak ini jugalah yang akan ‘mengajar’ anda agar lebih menghargai pasangan anda serta menerima mereka seadanya

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×